Hael Husaini kekal 'Bujang'? Bila 'Kahwin' dan jadi 'Suami'?
Published byKEKAL dengan judul lagu sepatah perkataan seperti ‘Hajat’, ‘Jampi’ mahu pun ‘Haram’ sebelum ini, pemenang Anugerah Juara Lagu dua tahun berturut-turut, Hael Husaini kembali dengan single terbaharunya dengan sebuah lagi judul satu perkataan iaitu “Bujang”. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan Hael Husaini:
https://kitareporters.com/search?search=hael+husaini
Hasil nukilan beliau sendiri dengan kerjasama komposer-komposer penuh berbakat yang menggelarkan diri mereka MFMF, lagu ‘Bujang’ yang diberi suntikan kelainan dengan melodi ala Western 80-an sepatutnya dilancarkan pada April 2020 lalu, namun disebabkan wabak COVID-19 melanda negara ia terpaksa ditangguhkan.
Kini, ‘Bujang’ bakal menghangatkan industri muzik tanah air malah dikatakan bakal menjadi hit seperti mana karya-karya pemilik nama sebenar Hal Husaini Razmi, 32, sebelum ini.
“Lagu ini berkisar tentang seorang lelaki ‘bujang’ yang berusaha mencari cinta. setelah melihat orang di sekelilingnya mempunyai pasangan dan teman hidup masing-masing,” ujar plantun lagu 'Terlanjur Cinta' nyanyian bersama penyanyi Indonesia, Cakra Khan yang kini sedang berada dalam ‘Top 5 Carta RIM ‘(Persatuan Industri Rakaman Malaysia) .
Bercerita lanjut, Hael memberitahu, tercetusnya idea lagu tersebut berikutan statusnya yang masih bujang malah kebanyakan teman-teman rapatnya pun masih bujang.
“Maka terhasillah lagu ini mewakili kaum ‘bujang’ di luar sana,” tambah Hael ringkas sambil memuji rakan komposer MFMF sebagai kumpulan genius dalam muzik. MFMF dianggotai tiga komposer - Brendan Lim Seng Meng, Justin Seow Seng Tack dan Wee Zhen Yong.
Setiap seorang daripada mereka, kata Hael, mempunyai kelebihan dan peranan masing-masing dalam setiap karya yang dihasilkan bersama malah mereka juga bersikap terbuka dalam setiap idea dan penambahbaikan yang diberikan antara satu sama lain.
Dalam perkembangan lain, Hael memberitahu bakal menyiapkan sebuah album penuh yang pertama sebelum berakhirnya tahun 2020.
"Saya jangkakan ada beberapa lagu baharu yang akan turut dimuatkan dalam album tersebut dan saya juga impikan sebuah konsert berskala sederhana seiring dengan pelancaran album berkenaan,” harapan Pemenang Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular bersama Dayang Nurfaezah di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2019 ini.
Menjengah ke laman Instagramnya, apabila Hael mempromosikan lagunya dengan pertanyaan 'kalau gabung nama kita jadi apa ek?' , ia menarik perhatian ramai termasuk teman duetnya, Dayang Nurfaezah yang menjawab, "Haeyang' (cantuman nama Hael dan Dayang).Wah! Lepas ni mesti tular nama 'Haeyang' ni ... Dayang Nurfaezah kut yang cadangkan.. ke dah ada jalinan cinta antara mereka? Tak salah pun, dua-dua pun 'bujang' kan?
Semoga impian Hael Husaini menjadi kenyataan dan mungkin selepas ‘Bujang’ beliau berjaya mencari pasangan hidupnya dan mendapat ilham bagi menghasilkan lagu berjudul ‘Kahwin’ atau pun ‘Suami’ pula selepas ini. Ya tak?
Apa pun jika korang mahu mendengar lagu baharu “Bujang” ini boleh dimuat naik di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman dalam talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.
Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Bujang’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. Jom layan…. - KitaReporters