Cegah Covid-19: Keranda, pocong beri amaran kepada penduduk!
Published byMENAKUTKAN! Keranda dan jenazah siap dikafan ‘mengganggu’ dan menakutkan penduduk sebuah desa di Kediri, Jawa Timur, pada musim Hari Raya Aidilfitri dan ketika pelaksanaan perintah ‘duduk di rumah’ di Indonesia. Kerana itu, penduduk desa tidak berani sembarangan keluar masuk kampung sesuka hati, sebaliknya lebih memilih berada di rumah meraikan hari lebaran. : KitaReporters
KEDUDUKAN Kediri di Jawa Timur, Indonesia. - Kredit foto: maps of worlds.com
Sebenarnya, itu pun tujuan warga Dusun Tondomulyo di Kediri.
Mereka meletakkan keranda dan jenazah berkafan atau pocong di pintu keluar masuk desa tersebut sebagai ingatan kepada sesama penduduk agar jangan sesuka hati berkeliaran ke sana ke sini dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Pada musim
Aidilfitri di mana pergerakan penduduk dijangka melebihi daripada biasa,
keranda dan pocong ini adalah amaran kepada mereka agar jangan bebas ziarah
menziarahi atau berkumpul beramai-ramai sekalipun pada hari raya.
KERANDA dan pocong di hadapan pintu keluar masuk Dusun Tondomulyo, Kediri, Jawa Timur sebagai peringatan kepada penduduk agar mematuhi peraturan kesihatan mencegah penularan Covid-19. - Kredit foto: detik.com
Tindakan penduduk ini sebagai ingatan agar masyarakat setempat khususnya sentiasa takut dan berwaspada terhadap bahaya penularan Covid-19 yang boleh membawa maut.
Memetik laporan detik.com, penduduk sengaja meletakkan
keranda dan pocong buatan itu di depan Jalan Melon, Dusun Tondomulyo sejak hari
raya pertama pada 24 Mei 2020.
Mereka bukan sahaja meletakkan keranda dan pocong tetapi juga bunga
rampai yang biasa ditabur di atas kubur, tikar dan payung jenazah.
Menurut Ketua Dusun Tondomulyo, M Solikin, pada awalnya mereka memang
sudah memasang sekatan di pintuk\ keluar masuk desa tetapi sering dibuka dan
ditutup oleh penduduk.
Cadangan untuk meletakkan keranda dan pocong disuarakan oleh mereka yang
kembali dari ziarah tanah perkuburan pada hari raya pertama.
Menurut Solikin, ia adalah peringatan serius bahawa penduduk berdepan bahaya maut jika berterusan meremehkan atau ingkar mematuhi garis panduan kesihatan mencegah penularan Covid-19.
PINTU gerbang Kota Kediri di Jawa Timur, Indonesia.- Kredit AllIndonesia Tourism.com
Diharapkan dengan langkah itu penduduk akan menjaga kebersihan diri, tidak sesuka hati berkeliaran, memakai penutup muka apabila keluar rumah serta tidak cuba memperlekehkan ancaman Covid-19.
Untuk rekod, sehingga minggu Aidilfitri (24 Mei 2020), terdapat 81 kes
Covid-19 yang disahkan di Kabupaten Kediri dengan lapan kematian dicatatkan.
Pada peringkat nasional pula, Indonesia telah merekodkan lebih 23,000 pesakit disahkan positif Covid-19 dengan angka kematian menghampiri 1,500 orang setakat Rabu, 27 Mei 2020.
Kerana itulah penduduk Desa Tondomulya khususnya diingatkan agar
sentiasa menjaga gaya hidup sihat, bersih, memakai penutup muka serta
mengamalkan perjarakan sosial atau social distancing.
Memang kreatif dan berkesan idea penduduk Desa Tondomulyo meletakkan
keranda dan pocong untuk menanamkan rasa takut dan insaf serta sentiasa waspada
akan ancaman Covid-19.
Seperti juga di Malaysia, kita sentiasa diingatkan agar ‘duduk di rumah’ dan jaga diri sendiri serta keluarga.
Kita sendirilah yang sebenarnya bertanggung jawab mengekang Covid-19 dan memutuskan rantaiannya. - KitaReporters