DALAM tempoh dunia masih berperang dengan pandemik COVID-19, tidak dinafikan ramai dalam kalangan masyarakat yang berdepan masalah depresi. Depresi bukanlah isu remeh yang boleh dipandang ringan. Realitinya ia boleh membawa kepada kemudaratan hidup sehingga sanggup membunuh diri. 

Meletakkan situasi bila mana seseorang itu ‘berperang’ dengan perasaan sendiri untuk berterus-terang dengan insan tersayang tentang penyakit yang dideritainya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan sebuah karya mengangkat isu depresi melalui telemovie berjudul ‘Rujuk’.

Di bawah arahan pengarah yang terkenal dengan kisah kemasyarakatan yang menyentuh jiwa naluri penonton, Rashid Sibir sekali lagi akan berkongsi rasa dan perasaan sama melalui karya terbaharunya, ‘Rujuk’.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Rosyam Nor:

https://kitareporters.com/search?search=rosyam+nor



Bakal mengisi mengisi slot Citra di TV2 pada 19 Februari 2021 ini, pukul 9.30 malam, Rashid Sibir mampu mengajak penonton berkongsi rasa dan perasaan lelaki bergelar suami, ayah dan rakan sekerja menerusi watak Jefry yang dilakonkan oleh pelakon veteran hebat, Datuk Rosyam Nor.

Melalui telemovie itu, Rosyam digandingkan bersama Marissa Yasmin yang berlakon sebagai isterinya, Dian, bersama dua orang anaknya, Amira (Yuna Rahim) dan Amirul lakonan Fimie Don.

Bagi seorang lelaki yang bertanggungjawab dan penyayang, Jefry dilihat sebagai seorang suami mithali waima sentiasa melayan isteri serta dua orang anaknya dengan penuh kasih sayang.

Kisah depresi yang ditanggungnya bermula apabila kematian rakan sepejabatnya yang dikenali sebagai Amy merubah segalanya.


Amy yang berdepan dengan tekanan perasaan setelah ditinggalkan suami yang mati akibat kanser dipercayai membunuh diri akibat kemurungan.

Sehubungan itu, apa yang berlaku kepada Amy mula menghantui  Jefry mengakibatkan fikirannya berlegar dan terganggu dengan macam-macam hal.

Rupa-rupanya, Jefry tidak mahu musibah yang sama menimpa isteri dan anak-anaknya apabila dia disahkan menghidap kanser iaitu situasi sama yang pernah dilalui Amy dan suaminya sebelum ini.

Ketika itu tiada apa yang mampu dilakukan oleh Jefry. 

Apa yang terbayang di fikirannya dia rela mati sendirian jauh daripada keluarganya kerana tidak sanggup melihat keluarganya menderita dan meratapi kematiannya. 

Namun apakah jalan penyudahnya? 



Dapatkah mereka menerima ketentuan takdir bahawa ajal dan maut itu di tangan Allah yang Maha Pencipta? 

Nak tahu kesudahannya, jangan lupa tandakan kalendar anda pada 19 Februari 2021 ini dan saksikan apa tindakan Jefry. 

Jika berlaku pada anda, apa agaknya tindakan terbaik anda pula?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV,  usah bimbang, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan RTM mobile dengan memuat turun aplikasinya dalam Google Play dan App Store. 

Selamat menonton.... tetapi ingat ambil yang jernih, buang yang keruh, kalau jahat jadikan sempadan, kalau baik jadikan teladan! - KitaReporters


0
1
0
1
0

Copy Link: