Taylor Reagan, bertindak sebagai benteng pertahanan dan ketua pasukan Sarawak United musim ini. - Kredit foto: FB SUFC


SARAWAK United FC (SUFC) bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang individu bernama Wazien Wafa kerana didakwa cuba mencemarkan nama baik kelab itu dengan pelbagai dakwaan tidak benar.

Presidennya, Datuk Posa Majais dalam satu kenyataan media berkata, surat tindakan saman bakal diserahkan oleh peguam SUFC kepada individu berkenaan pada Isnin, 27 September, 2021 sebagai pengajaran agar tidak mencampuri urusan pasukan lain.

“SUFC akan mengambil tindakan undang-undang kerana fitnah ini sedikit sebanyak telah mencalarkan imej kelab kami. Ia sebagai pengajaran kepada individu itu yang sebelum ini pernah tular ekoran gemar masuk campur dalam pengurusan kelab-kelab lain, tidak hanya SUFC.

“Langkah ini diambil sebagai peringatan agar tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi yang boleh menjatuhkan Sarawak United. Pesanan kami, tidak pasti jangan buat andaian sendiri dan berhenti mencari spekulasi murahan dengan tujuan menjatuhkan sesebuah kelab,” tegas Posa.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan



Sebelum ini tular menerusi media sosial ciapan seorang individu bernama Wazien Wafa yang membuat pelbagai dakwaan membabitkan pasukan Sarawak United. Antaranya, beliau mendakwa gaji pemain pasukan itu tidak dibayar sejak Julai, 2021 sementara gaji barisan jurulatih tertunggak sejak Jun.

Selain itu, individu berkenaan mendakwa kelab itu masih berhutang bonus tujuh kemenangan kepada pemain dan pegawai  serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) pemain tidak dilunaskan sejak tahun 2020.

Dia juga mendakwa insurans pemain tidak dibayar dan pasukan itu dikeluarkan daripada gelembung kerana tidak membayar bayaran penginapan. Individu itu mempersoalkan apa berlaku dengan bola sepak kita?

Lebih memeranjatkan beliau membuat dakwaan, ekoran masalah-masalah yang disebutnya, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), badan yang mengendalikan liga bola sepak negara ini, tidak akan mengeluarkan lesen untuk Sarawak United bertanding pada Liga Super musim depan sebaliknya tempat pasukan itu akan diganti oleh Kuching City FC.

Untuk rekod, pasukan bimbingan E Elavarasan itu layak secara merit ke Liga Super 2022 selepas muncul naib juara Liga Perdana musim 2021.

Difahamkan individu yang membuat dakwaan ini adalah pegawai sebuah pasukan Liga Super. Ekoran itu, beliau menerima kecaman bukan sahaja daripada penyokong Sarawak United malah peminat bola sepak pasukan lain.


Sarawak United layak ke Liga Super 2022 selepas muncul naib juara Liga Perdana 2021.  Kredit foto: FB SUFC.


Kenyataan media SUFC.


Menjawab isu itu, Posa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku tunggakan gaji dalam kalangan pemain dan jurulatih.

“Bayaran gaji semua pemain, jurulatih dan pegawai sudah dibayar penuh. Untuk bulan Ogos, pembayaran sedang dilakukan. Pengemaskinian akaun Sarawak United sedikit kurang teratur dan memerlukan penelitian memandangkan ada pemain yang memohon pendahuluan gaji Ogos terlebih awal.

“Sebagai pengurusan yang peka dan bertanggungjawab, kami sentiasa memastikan kebajikan semua ahli keluarga SUFC baik daripada segala segi dan kami sangat menekankan perkara ini sebagai keutamaan.

“Memang tidak dinafikan pernah berlaku sedikit kesilapan dan kadang-kadang kelewatan tapi tidak bermakna pihak kami alpa akan tanggungjawab pengurusan sesebuah kelab,” jelas Posa.


Uche Agba, salah seorang pemain import yang memperkuatkan Sarawak United musim ini. - Kredit foto: FB SUFC


Posa mengakui SUFC bukanlah sebuah kelab yang sempurna namun berharap penyokong akan terus memberi sokongan dalam membina semula empayar bola sepak Sarawak.

Sarawak pernah menjadi antara kuasa besar bola sepak Malaysia apabila mereka menjuarai Piala FA pada 1992, Liga Perdana (1997), Liga Premier (2013), Piala Sumbangsih (1998) dan naib juara Piala Malaysia 1999.

Sarawak United yang berwajah baharu musim ini dengan dibarisi pemain berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha, Christie Jeyaseelan, Muhammad Rizqi Gopi Abdullah, K Reuben, S Chanturu serta diperkukuhkan oleh pemain import, Taylor Reagan, Sandro da Silva, Uche Agba dan Lee Chang-Hoon, dilihat mampu memberi cabaran pada pertandingan Piala Malaysia yang bermula pada Ahad, 26 September, 2021.

Berada dalam Kumpulan A, Sarawak United bakal berdepan tiga pasukan Liga Super, Penang FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC. - KitaReporters



14
14
0
10
0

Copy Link: