Berita Terkini| Diskaun 50% saman trafik! Tawaran guna MyBayar Saman dilanjut hingga 15 April

Published by
KitaReporters

Seramai 708,030 pengguna telah pun mendaftar dengan aplikasi MyBayar Saman setakat ini.


TEMPOH tawaran diskaun 50 peratus  bagi pembayaran saman kesalahan trafik melalui aplikasi MyBayar Saman dilanjutkan empat hari lagi sehingga 15 April 2021 ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, lanjutan tempoh tawaran itu dilakukan ekoran sambutan menggalakkan diterima daripada orang awam.

“Lebih RM73 juta bayaran saman berjaya dikutip dalam tempoh 18 hari sejak dilancarkan 25 Mac (2021) lalu. Jumlah berkenaan membabitkan sebanyak 659,998 saman yang dibayar.

“Ekoran sambutan baik diterima, Polis Diraja Malaysia akan melanjutkan tawaran diskaun ini sehingga 15 April (2021).

“Setakat ini juga, seramai 708,030 pengguna telah pun mendaftar dengan aplikasi MyBayar Saman, manakala 5,340 aduan e-mel terkumpul diterima,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur pada 12 April 2021.

Sempena Hari Polis ke-214 pada 25 Mac 2021, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan PDRM menawarkan diskauan 50 peratus sehingga 11 April 2021 bagi semua jenis kompuan kecuali enam kesalahan utama.

Kesalahan itu ialah memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak berhenti di lampu isyarat. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporters

1
0
0
0
0

Copy Link: