ISU penganiayaan terhadap warga emas diabaikan oleh ahli keluarga selepas lanjut usia dan uzur kerana menghidap pelbagai penyakit mendorong 38 ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Flat Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, pada 7 Ogos 2022 lalu.

Dalam kunjungan itu mereka berharap dapat mengetahui masalah sebenar yang menimpa warga emas penghuni pusat berkenaan sehingga tidak sanggup dijaga atau dipelihara waris termasuk anak sendiri walaupun sesetengahnya mereka itu berjaya dalam kehidupan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan warga-warga emas

Ahli Jiran Wanita mendengar penerangan mengenai menu yang disediakan setiap hari untuk warga emas di PJMM oleh cef yang bertugas.


Pengerusi KRT berkenaan, Masariman Zainur, berkata kunjungan ke PJMM yang tertangguh sebelum itu dianggap penting untuk diteruskan bagi memberi peluang kepada ahli dalam kalangan Jiran Wanita KRT untuk menyelami masalah warga emas di pusat berkenaan.

Menurutnya, dengan cara itu sahaja dapat dijadikan panduan serta pedoman bagi memotivasikan serta memberi kesedaran kepada generasi muda di komuniti mereka terutama untuk menjadi warga negara atau anak yang bertanggungjawab menjaga ibu bapa sehingga hujung nyawa.

Jelasnya, apabila diadakan program komuniti nanti sudah tentu ahli yang menyertai kunjungi itu dapat berkongsi pengalaman dengan ahli muda dalam KRT untuk tidak mengabaikan ibu bapa di bawah jagaan mereka walaupun kurang berjaya dalam kehidupan.


Mohd Nazeri Din dan Masariman Zainur (dua dari kanan) menyantuni warga emas di PJMM yang ditaja makan tengah hari oleh KRT berkenaan.


“Ini merupakan lawatan kali pertama ke pusat jagaan warga emas dan seharusnya ahli perlu memanfaatkan kehadiran mereka sebaik mungkin terutama dengan bertanya khabar penghuni yang ditemui bagi mencari jalan penyelesaian apabila menceritakan kepada komuniti.

“Saya sendiri berasa terkejut dan terharu apabila diceritakan oleh warga emas di PJMM ini dia dihantar ke situ sebaik selesai menerima rawatan di hospital tetapi ditimpa nasib malang anak sendiri tidak mahu menjaganya dengan memberi pelbagai alasan.

“Sepatutnya sebagai anak perkara ini tidak wajar berlaku kerana ibu dan bapa bersusah payah berkorban apa sahaja membesarkan kita hingga berjaya dalam kehidupan dan tiba pula giliran kita sebagai anak untuk menjaga serta menguruskan mereka tanpa sebarang rungutan,” katanya.


Pengerusi PJMM, Azman Rasman memberi taklimat kepada ahli Jiran Wanita KRT Flat Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, yang mengunjungi pusat jagaan berkenaan mengenai warga emas terlantar di atas katil dengan mendapat penjagaan rapi daripada petugas pusat itu.


Turut menyertai kunjungan berkenaan Pengerusi Warga Emas KRT itu, Aziz Latif dan bendaharinya, Mohd Nazeri Din. Pengerusi PJMM, Azman Rasman dan Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado juga hadir bagi memberikan taklimat mengenai pusat berkenaan.

Dalam kunjungan itu ahli KRT terbabit dibawa melawat bilik menempatkan warga emas termasuk mereka yang terlantar di atas katil, dapur memasak menu harian, bilik dobi pakaian, pengurusan jenazah, surau dan halaman bagi penghuni beristirahat.

Masariman berkata, dalam kunjungan akan datang beliau bercadang membawa ramai ahli muda KRT dan belia di komuniti itu datang mengunjungi PJMM supaya mereka dapat melihat dengan lebih dekat nasib warga emas yang disisihkan ahli keluarga.


Ahli Jiran Wanita KRT diberikan taklimat oleh Azman mengenai Laman Hijau sebagai tempat istirahat bagi warga emas.


“Mungkin kita akan mengadakan aktiviti bergotong-royong bersama penghuni di sini dalam memberi kesedaran yang lebih berkesan kepada mereka apabila berpeluang beramah mesra dengan warga emas secara lebih dekat,” katanya.

Azman dalam taklimatnya berkata, sesetengah ahli keluarga khususnya anak ada menziarah untuk menemui warga emas di situ yang didakwa ibu atau bapa mereka tetapi tidak berhajat membawa pulang supaya dapat menjaga sendiri dengan memberi pelbagai alasan.

Menurutnya, warga emas di situ dijaga seperti ibu atau bapa sendiri manakala yang sakit atau memerlukan rawatan susulan kami bawa ke hospital berkenaan mengikut janji temu yang dijadualkan dengan diiringi petugas PJMM.


Aziz Latif (kanan), Masariman dan Mohd Nazeri menyerahkan sumbangan KRT kepada Azman dan Mohiadin.


Tambahnya, walaupun tidak mengenakan sebarang bayaran dan hanya bergantung kepada infak serta sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak untuk beroperasi, warga emas itu tidak pernah diabaikan malah cuba memenuhi permintaan mereka termasuk mengesan waris.

“PJMM menerima apa sahaja sumbangan dari luar termasuklah perkakas atau peralatan untuk kegunaan seperti di dapur, meja, katil, tilam, kerusi dan sebagainya bagi menggantikan yang sudah rosak,” katanya. - KitaReporters


Ahli Jiran Wanita KRT Flat Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur merakam kenangan di depan pintu utama PJMM.

29
17
2
13
0

Copy Link: