Video| Laungan merdeka di puncak Gunung Reng! Staf Felcra Bukit Sudu sahut cabaran merdeka 65 tahun!
Published bySETIAP kali tibanya Bulan Kemerdekaan, pastinya pelbagai cara dilakukan rakyat Malaysia bagi mengibarkan Jalur Gemilang sebagai menzahirkan semangat patriotisme serta cintakan tanah air.
Tidak terkecuali, lapan kakitangan Felcra Bukit Sudu, Kuala Nerus, Terengganu yang memilih untuk menawan puncak Gunung Reng berketinggian 1,889 meter dari paras laut terletak di Jeli, Kelantan iaitu kira-kira 125 kilometer daripada Kota Bharu.
Program dinamakan Cabaran Kibaran Jalur Gemilang Merdeka 65 Tahun bagi mewakili Kelab Sukan Felcra Wilayah Timur (Kesukaf), Felcra Timur dan Felcra Berhad itu diadakan pada Hari Kebangsaan Ke-65 pada 31 Ogos 2022 baru-baru ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sambutan kemerdekaan
MD AZLI MOHD TEH
Pengurus
Kawasan Felcra Bukit Sudu, Md Azli Mohd Teh, 60, berkata aktiviti mendaki gunung
itu sebagai simbolik dan inspirasi bagi menghayati kesusahan serta kepayahan pejuang
menuntut kemerdekaan.
“Program mendaki ini salah satu pengisian program sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan bagi Felcra Bukit Sudu. Pengalaman dan pendedahan dalam aktiviti pendakian mampu menyemai semangat cintakan negara.
“Perjalanan selama hampir tiga jam dengan laluan sangat mencabar, berbatu tajam dan kecerunan 90 darjah, kami akhirnya berjaya ke puncak bagi sama-sama kibarkan Jalur Gemilang serta bendera logo Felcra dengan diiringi laungan merdeka.
“Bukan sesuatu yang mudah untuk sampai ke puncak, ia perlukan kekuatan dan motivasi selain semangat berkumpulan untuk terus menyokong antara satu sama lain. Hal sama jugalah diperlukan dalam skop kerja tugasan sebagai satu pasukan,” katanya.
Sementara itu, untuk info berdasarkan kisah rakyat, di bawah Gunung Reng pernah wujud sebuah perkampungan bernama Kampung Tala kira-kira lebih 1,400 tahun lalu yang dibuka seorang lelaki keturunan Jawa bernama Tok Tak Dok (juga dipanggil Tok Tadoh).
Suatu hari, sewaktu majlis keraian melibatkan laga anjing dan kucing tiba-tiba cuaca cerah berubah hujan lebat serta ribut taufan hingga menyebabkan penduduk lari bertempiaran menyelamatkan diri sehingga ke Kampung Gantang.
Bagaimanapun, setelah keadaan reda mereka terkejut apabila mendapati perkampungan di Kampung Tala telah lenyap di bawah batu besar yang kini dikenali sebagai Gunung Reng. - KitaReporters