Demi organ hati Keluarga Malaysia! Sime Darby Oils Nutrition, Uncle Kentang bersama berkolaborasi!
Published byKEMPEN #SayaDanNatrieo, Sime Darby Oils Nutrition (SDON) Sdn Bhd bukan setakat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan organ hati tetapi merupakan juga tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan dalam kalangan Keluarga Malaysia.
Kempen yang sudah berlangsung tiga bulan bermula dari April sehingga Jun 2022 itu mengambil inisiatif iaitu untuk setiap pembelian Natrieo Tri.E Tocotrienols 50mg, RM5 akan disumbangkan kepada Pertubuhan Amal Uncle Kentang bagi membantu menyediakan keperluan bagi warga emas di pusat jagaan yang telah dipilih pertubuhan berkenaan dan sebagainya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kuan Chee Heng (Uncle Kentang)
Zaki Zin menyerahkan cek replika kepada Uncle Kentang sambil diperhatikan oleh Azman Rasman (kiri) dan Mohiadin Bahado (kanan).
Ketua SDON Sdn Bhd, Zaki Zin, berkata hasil kempen tiga bulan itu SDON berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM17,895 yang akan serahkan kepada pertubuhan berkenaan dan difahamkan Kuan Chee Heng atau lebih dikenali dengan nama Uncle Kentang akan menginfak RM10,000 kepada pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM).
Menurutnya,
selebih lagi wang dana itu akan digunakan Uncle Kentang untuk membeli katil
hospital yang menggunakan kuasa elektrik untuk kegunaan pesakit paliatif yang
mungkin beliau sudah kenal pasti terlebih dahulu.
Jelas beliau, walaupun nilainya tidak seberapa, namun kolaborasi antara SDON dan Uncle Kentang itu ibarat satu kemenjadian serta dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam menjayakan CSR serta tidak akan hanya terhenti di sini sahaja.
Tambahnya, paling penting CSR itu secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan antara warga kerja SDON dengan Pertubuhan Amal Uncle Kentang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan kebajikan lain dalam bergiat aktif membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Zaki Zin (kanan) dan Uncle Kentang (kiri) mengagihkan cenderamata kepada warga emas yang menjadi penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor pada 5 Oktober 2022.
Zaki berkata demikian pada majlis penyampaian cek replika dana berkenaan kepada Uncle Kentang di PJMM, Semenyih, Selangor pada 5 Oktober 2022.
Turut hadir pada majlis itu Pengurus Pemasaran SDON, Puteri Shireen Syed Othman; Penolong Pengurus Natrieo, Intan Zaritha Mokhtar; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado; Pengerusi Pusat Jagaan Insan, Muhammad Syafiq Mohiadin dan kakitangan SDON.
“Bantuan kepada PJMM ini menjadi contoh terbaik kolaborasi dengan Uncle Kentang dalam menyantuni warga emas di pusat berkenaan yang berhak mendapat kemudahan selesa selain menjadi pendorong ke arah meningkatkan kerjasama serta menggembleng tenaga perkhidmatan kesukarelawan pada masa akan datang.
“SDON sendiri amat kagum dengan komitmen Uncle Kentang yang gigih berusaha dari segi tenaga dan masa membantu mereka yang memerlukan pertolongan dalam apa jua bentuk tanpa mengira bangsa dan agama yang menjadi aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.
Zaki dan Puteri Shireen Syed Othman (kanan) membantu warga emas membuka bungkusan makanan tengah hari yang ditaja oleh SDON.
Dalam kempen pengguna yang pertama dilancarkan itu, Zaki berkata, turut mempunyai objektif utamanya iaitu mendedahkan lebih daripada 500 fungsi hati untuk kesihatan tubuh badan.
Di negara kita, katanya, setiap seorang daripada lima orang menghidap penyakit hati berlemak bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa tetapi juga membabitkan remaja.
Menurutnya, kesihatan hati adalah penting untuk imuniti seseorang, jika fungsi hati terganggu akan mula menjejaskan fungsi antibodi tubuh yang akan menyebabkan kita mudah mendapat jangkitan kuman dan penyakit.
“Penyakit hati berlemak sememangnya tiada simptom sehinggalah terlambat kalau tidak dirawat, hati akan berparut dan kemudiannya mengeras serta akan menyebabkan penyakit kanser hati. Oleh demikian itu adalah penting untuk kita menjaga kesihatan hati,” ujarnya.
Zaki menyampaikan cenderamata kepada Azman sambil diperhatikan oleh Mohiadin.
Sementara itu, Uncle Kentang berharap semua pihak membantu pusat jagaan seperti PJMM itu atas dasar kemanusiaan bagi membela nasib warga emas tersisih tanpa waris atau yang tidak dipedulikan ahli keluarga bagi meneruskan kehidupan dalam usia lanjut.
Bagaimanapun beliau turut berasa sedih apabila mengetahui pusat jagaan sebegitu disalah anggap banyak pihak atau sebilangan masyarakat apabila melemparkan pelbagai tohmahan tanpa usul periksa yang sepatutnya berlapang dada menghulurkan bantuan.
“Kita bernasib baik kerana kerajaan sentiasa ambil peduli masalah rakyat terutama menyediakan kemudahan kesihatan untuk semua tanpa membeza antara satu sama lain ibarat dalam satu Keluarga Malaysia.
“Saya berasa bertuah kerana mendapat kepercayaan SDON untuk berkolaborasi dalam kerja kebajikan ini bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan dan secara tidak langsung menguatkan semangat untuk terus berbakti secara sukarela kepada masyarakat,” katanya. - KitaReporters
Intan Zaritha (kanan) bersama-sama rakan dari SDON gembira dapat menyantuni warga emas di PJMM.