AMIRUL Hisham Awang Kechik tetap turun bermain untuk Kedah walaupun tidak menerima gaji. - Kredit foto: KDA FC


BERMAIN 10 bulan tanpa gaji tapi kesetiaan Amirul Hisham Awang Kechik untuk terus menabur bakti kepada pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak pernah luntur!

Ketika ada pemain yang sudah angkat kaki gara-gara kecewa dengan kemelut gaji yang seakan tiada kesudahan, Amirul tetap bersemangat memperagakan aksi di tengah padang.

Amirul berkata dia akan terus bermain sambil mengharapkan masalah tunggakan gaji yang membelenggu KDA FC dapat diselesaikan, sekali gus mampu mengembalikan kegemilangan skuad Hijau Kuning itu.

“Saya akan terus bermain sambil mengharapkan perkembangan positif. Saya sayangkan pasukan Kedah kerana sudah 10 tahun bersama pasukan itu,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Difahamkan tunggakan gaji pemain KDA FC kini sudah berlanjutan selama 10 bulan malah sepanjang musim ini mereka tidak pernah menikmati gaji penuh sebaliknya dibayar secara beransur-ansur.


BARISAN pemain bersama pengursan dan pegawai KDA FC tetap bersemangat menghadapi Piala Cabaran namun mereka tewas di peringkat separuh akhir kepada PDRM FC. - Kredit foto: KDA FC.


Walaupun mengakui sedikit sebanyak tertekan dengan keadaan itu namun Amirul tetap bersyukur kerana dapat meneruskan kelangsungan hidup hasil daripada pembabitannya dan isteri dalam perniagaan.

“Untuk teruskan kehidupan, saya terpaksa menggunakan wang simpanan. Pada masa sama, saya menjalankan perniagaan sebagai kontraktor binaan rumah, sementara isteri berniaga makanan seperti mi sup celup, pulut ayam dan goreng-gorengan.

“Ia sedikit sebanyak meringankan beban kewangan saya selepas pasukan Kedah gagal membayar gaji. Mereka (KDA FC) berjanji akan melunaskan tunggakan itu dan kini sedang berusaha mendapat tajaan,” katanya.

Mengenai masa depannya bersama KDA FC, Amirul yang mula mewakili skuad senior Kedah pada 2016 berkata segala-galanya bergantung keadaan.

“Saya ada menerima tawaran daripada pasukan lain tapi buat masa ini belum buat keputusan. Kalau boleh, saya mahu terus mewakili Kedah kerana masih sayangkan pasukan ini.

“Tapi, saya serahkan pada takdir, jika rezeki saya di tempat lain, mungkin itu yang terbaik,” kata pemain yang bermain di posisi tengah itu.  

Selain Amirul, pemain senior lain yang masih bertahan bersama KDA FC adalah Ifwat Akmal Chek Kassim, Arif Farhan Md Isa, Halim Saari, Shafiq Ahmad, Rizal Ghazali dan Akhmal Md Zahir. 


ARIF Farhan Md Isa (kanan) antara pemain senior yang masih kekal bersama KDA FC. - Kredit foto: KDA FC


Kemelut gaji yang melanda skuad yang pernah mencipta sejarah sebagai pasukan pertama mengukir kejayaan double treble pada 2007 dan 2008 itu ternyata memberi kesan negatif kepada prestasi mereka musim ini.

Pasukan itu yang dibimbing oleh Victor Andrag selepas jurulatih, Nafuzi Zain mengundur diri, kini berada pada pertengahan carta liga sementara impian mereka untuk menjulang Piala Cabaran MFL tersekat pada peringkat separuh akhir.

KDA FC dinafikan peluang ke perlawanan akhir selepas ditewaskan 4-5 oleh PDRM FC menerusi penentuan sepakan penalti ekoran kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregat susulan keputusan 3-3 pada separuh akhir pertama di Stadium Selayang dan 1-1 pada separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman.


KDA FC lancarkan Misi 20,000 The Wing dalam usaha memikat penaja. - Kredit foto: KDA FC.


Sementara itu, KDA FC mengambil inisiatif melancarkan pelantar (platform) keahlian secara ‘virtual’ dengan sasaran 20,000 keahlian sebagai salah satu usaha menarik minat penaja, sekali gus membantu mereka mengatasi kemelut kewangan dihadapi kelab itu.

"Inilah masanya untuk bersama-sama memulihkan kewangan kelab dengan mendapat dana penajaan yang besar bagi membayar segala hutang tertunggak dan mengorak langkah ke musim baharu," kata pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar seperti dilaporkan akhbar Harian Metro.

Beliau juga pada masa yang sama mengajak dan menyeru semua penyokong agar terus mendaftar keahlian The Wing secepat mungkin kerana pelbagai manfaat bakal ditawarkan antaranya kad diskaun, program dan aktiviti kelab, juga perkhidmatan pembayaran yang akan ditawarkan dari semasa ke semasa.

"Semua penyokong bola sepak Kedah Darul Aman FC boleh mendaftar sebagai ahli "The Wing" yang berharga RM10 sahaja. Sasaran lebih 20,000 keahlian The Wing dengan semangat baharu untuk musim 2025/2026," katanya.

Bagi Amirul langkah diambil KDA FC perlu disokong sambil mengharapkan ada cahaya di hujung terowong untuk pemain! -KitaReporters


AMIRUL (tengah) menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pada separuh akhir kedua Piala Cabaran tapi KDA FC akhirnya tewas kepada PDRM FC menerusi sepakan penalti. - Kredit foto: KDA FC.

14
17
0
6
0

Copy Link: