.


Tiada kejutan besar dalam Pertandingan Akhir Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) anjuran Astro Ris. Tiada saingan sengit dalam memburu tempat teratas.

Walaupun kesemua peserta peringkat akhir cuba memberi persembahan terbaik, namun peserta pilihan Liza Aziz ternyata tidak tersaing. Dia sudah diramal juara sejak muncul kali pertama muncul dalam GV11 dan menjadi juara mingguan paling banyak.

Meremang dan melambung pujian sebagai ‘ratu vokal’ untuk Liza Aziz ketika menyaksikan dia memperlihat kemampuan vokal sebagai penyanyi profesional menyampaikan lagu ‘I Surrender’ yang dipopular Celine Dion serta lagu ‘Cinta’ berduet dengan bintang Indonesia Kris Dayanti.


Liza Aziz diumum sebagai juara GV11 sambil diperhatikan oleh para juri-juri.


Liza muncul sebagai juara dengan meninggalkan naib juara Ning Baizura agak jauh iaitu lebih 6 markah. Liza memperoleh 77.89 sementara Ning mendapat 71.04.

Pemilik nama sebenar Norliza Abdul Aziz yang lahir pada 18 Mei 1963 ini membuktikan usia bukan penghalang untuk berjaya. 

Liza menjadi juara ketika berusia 61 tahun 8 bulan. Sebelum ini Aishah menjadi juara GV4 ketika berusia 52 pada tahun 2017.

Bermula dari awal 1980-an sebagai penari dan menjadi salah seorang penyanyi latar Allahyarham Sudirman kemudian berpeluang membuat rakaman dengan dua buah album penuh dan beberapa album rakaman bersama beberapa penyanyi lain. Namun kejayaan sebagai artis rakaman kurang memberansang. 

Walaupun setelah puluhan tahun terbabit dalam bidang seni, namanya kurang menonjol sebagai artis rakaman, namun tetap laris membuat persembahan di hotel, kelab eksekutif dan majlis korporat dan menjadi antara penyanyi lagu iklan (jingle) termahal negara.


Liza puas hati penyertaan dalam GV11 berbaloi


Bagi membuktikan dirinya masih relevan sebagai insan seni, anak kepada bintang seni pelakon dan penyanyi, Aziz Jaafar dan Normadiah serta adik kepada penyanyi Azlina Aziz ini menyahut tawaran Astro Ria untuk menyertai GV11 setelah sebelum ini menolak dalam beberapa siri GV terdahulu.

Bagi memastikan dirinya sentiasa cergas, Liza melakukan senaman, latihan vokal lebih rapi dan mengurangkan berat badan.

Liza tetap memilih untuk menyertai GV11 walaupun sebelum ini ada yang mencadangkan agar dia menyertai pertandingan ‘Kilauan Emas’ iaitu pertandingan untuk penyanyi berusia 45 tahun ke atas.



Bagi Liza, GV adalah medan terbaik untuk mempamerkan kebolehan menyanyi pelbagai genre dan meredam ego dengan menerima teguran juri profesional Datuk Ramli MS, Hetty  Koes Endang dan Datuk Stafinaz Selamat dengan hati terbuka.

Persembahan duet dengan Kris Dayanti dianggap persembahan terbaik yang membuat Hetty berdiri dan mengajak penonton melaungkan ucapan 'gebrek' yang bermakna hebat luar biasa. 

Ketua juri, Ramli MS dalam sidang media selepas pertandingan menyifatkan Liza sebagai penyanyi hebat dan layak menang,

Tambahnya penyanyi undangan secara  pasangan duet memberi semangat kepada peserta untuk memberi persembahan terbaik.

Liza kini membuktikan bahawa dia adalah antara dua juara terbaik yang dihasilkan oleh GV.

Sebelum ini Jaclyn Victor menjadi juara dua kali iaitu GV9 dan GV10 (All Stars Gegar Vaganza). Jika ada All Stars Gegar Vaganza 2 nanti siapa yang bakal juara antara Jaclyn Victor dan Liza Aziz? - KitaReporters



Berikut adalah kedudukan markah peserta GV11 Akhir di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad 9 Februari 2025:

Juara: Liza Aziz – 77.89

Naib Juara: Ning Baizura – 71.04

Tempat Ketiga: Sheila Abdul – 66.61

Keempat: Dyrga Dadali – 66.23

Kelima: Zehra Zamri -64.38

Keenam: The Lima – 63.42


13
12
0
12
0

Copy Link: