Robert Choe tiada lagi! Penyumbang kenduri gol Malaya 15-1! Gangsa Sukan Asia dan emas Sukan SEAP!
Published byROBERT Choe (barisan depan, dua dari kanan) menganggotai pasukan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, yang muncul juara Pestabola Merdeka 1958, bersama-sama Tunku Abdul Rahman (barisan tengah, berkot putih).
EMPAT jaringan Stanley Gabrielle, empat lagi oleh Arthur Koh dan hatrik oleh Abdul Ghani Minhat serta satu menerusi M. Govindarajoo selain gol sendiri pemain Filipina, Camacho.
Di mana peranan Robert Choe Kim Chwee apabila Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya mencipta rekod kenduri gol terbesar dalam sejarah dengan membelasah Filipina 15-1 tanggal 26 Ogos 1962 pada Sukan Asia Jakarta 1962 ini?
Pemain Melaka itu turut menyumbangkan satu jaringan untuk
skuad kendalian Choo Seng Quee ini mendahului 6-1 sehingga rehat babak pertama
saingan Kumpulan A bola sepak Sukan Asia Jakarta di depan 8,000 hadirin Stadium Ikada (kini Medan Merdeka).
Robert yang berusia 22 tahun ketika itu juga bersama-sama adiknya,
Richard Choe dan 17 rakan sepasukan negara dikalungi pingat gangsa temasya
pelbagai sukan edisi keempat di ibu kota Indonesia ini.
Inilah pencapaian sulung dan kedua terbaik Malaya/Malaysia dalam sejarah bola sepak Sukan Asia selepas menewaskan Vietnam 4-1 dalam perlawanan penentuan pingat itu pada 3 September 1962.
ROBERT Choe (depan, tengah) ketika dikunjungi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Halim (depan, duduk kanan) dan Yakeb di kediamannya di Ujong Pasir, Melaka pada 2023. - Kredit foto: Yakeb
Episod hebat bola sepak negara ini sudah pun berlalu bersama-sama
pemergian Robert selama-lamanya akibat sakit tua dalam usia 85 tahun di sebuah hospital di
Melaka pada 21 Januari 2025.
Mendiang yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya
tanggal 13 Januari 2025 lalu, meninggalkan balu, Alice dan dua anak lelaki.
Bekas pemain negara dari 1958 hingga 1966 dan Melaka dari 1957
hingga 1972 ini menurut laman sosial Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), terdahulu diserang angin ahmar pada malam, 20 Januari 2025 lantas dikejarkan ke hospital
tersebut.
Dia yang pernah melatih pasukan negeri kelahirannya dalam kempen Piala Malaysia pada awal 1980-an juga dilaporkan menjadi ketua pasukan Malaysia pada Sukan Asia Bangkok 1966.
ROBERT Choe menyumbat gol buat skuad negara dalam satu pertandingan antarabangsa.
MENDIANG Robert Choe Kim Chwee meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki.
Koleksi kejayaan antarabangsanya juga melebar dengan kejuaraan
Pestabola Merdeka 1958 dan 1959, pingat gangsa Sukan SEAP Bangkok 1959 dan
pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961.
Kepada satu wawancara sebuah akhbar tabloid, Robert mendedahkan
betapa dia rela mengambil cuti tanpa gaji ketika bertugas dengan sebuah bank sehingga
108 bulan asalkan dapat menyarung jersi negara.
Namun ekoran kejayaan menjuarai Pestabola dua kali itu, dia pernah dihadiahkan
jam Rolex oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaya/Malaya (FAM) ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra.
Robert juga pernah tewas kepada Ghani yang beroleh 61 peratus
undian untuk memenangi anugerah
Olahragawan Malay Mail (akhbar harian berbahasa Inggeris) pada 1959 dengan
hanya sembilan peratus menyebelahinya di tempat ketiga.
Dengan Ghani ‘Si Raja Bola’, mereka juga dihantar menjalani latihan dengan kelab Eintracht Frankfurt (Jerman Barat) dan Burnley (England) selama empat bulan pada 14 Oktober 1962.
ROBERT Choe (kanan) dan Abdul Ghani Minhat mengapit jurulatih Eintracht Frankfurt, Paul Oswald pada 1962.
Kedua-duanya ke sana dengan tajaan hampir RM20,000 hasil Tabung Derma syarikat akhbar Utusan Melayu, Malayan Tobacco dan FAM untuk memenuhkan dada mereka dengan ‘ilmu bola sepak moden Eropah’ supaya dapat dicurahkan semula ke tanah air.
Namun gara-gara cuaca buruk di England, sesi latihannya gagal
disempurnakan sehingga menimbulkan rasa kurang senang kalangan penderma dan
penaja yang menganggap mereka sekadar makan angin dengan menghabiskan duit
orang ramai.
Robert yang berpendidikan Sekolah Tinggi Melaka, pernah bertugas di Hospital Besar Melaka pada 1957 dan sebuah bank komersial dari 1961 hingga 1976.
HIMPUNAN keratan akhbar mengenai kisah kehebatan Robert Choe Kim Chwee ketika sebagai pemain negara dan jurulatih Melaka. - Kredit foto: FAM