KECERIAAN terpancar pada wajah penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, di Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor, apabila disantuni kakitangan pusat berkenaan dan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada 14 Mei 2022 lalu.

Majlis itu juga suatu yang amat bermakna apabila 70 warga emas yang menghuni pusat berkenaan terpaksa berkurung tanpa sebarang aktiviti terutama membabitkan kunjungan orang luar lebih dua tahun berikutan pandemik Covid-19 yang melanda Negara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan nasib warga emas

Sebahagian warga emas melahirkan rasa gembira disantuni tetamu dan waris pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri.


Pengerusinya, Nurul Atikah Mohd Azmi, berkata matlamat utama majlis itu adalah untuk menggembirakan hati warga emas terbabit yang rata-ratanya uzur dan menghidap pelbagai penyakit untuk berasa seronok menyambut Aidilfitri dan melupakan seketika kesedihan.

Menurutnya, kesempatan majlis itu juga bagi menguar-uarkan mengenai kewujudan pusat jagaan berkenaan yang masih beroperasi seperti biasa untuk menyantuni dan menjaga warga emas yang disisih keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Tambahnya, selepas pengasas pusat itu arwah bapa beliau, Mohd Azmi Md Zain meninggal dunia pada Ogos 2021 lalu ramai yang mengatakan Al-Fikrah ditutup, tetapi berita tidak benar sama sekali kerana ia terus beroperasi macam biasa sehingga sekarang dengan mendapat sokongan dan galakan daripada rakan-rakan arwah bapanya.


Antara tetamu jemputan yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri itu termasuklah dermawan Pak Wan (kiri) dan Dr Faridah (dua dari kanan) bersama suaminya.


“Pada majlis ini kami turut mengundang waris warga emas yang masih ada untuk hadir bersama-sama tetamu jemputan dan orang ramai bagi menyantuni penghuni yang sekian lama hidup sendirian dan turut terkesan apabila pelawat tidak dibenarkan hadir sepanjang pandemik Covid-19 kecuali untuk menghulurkan sumbangan.

“Saya sendiri tidak dapat menahan rasa sayu apabila melihat warga emas ini yang diibaratkan sebagai ayahanda serta bonda begitu gembira menerima kunjungan orang ramai apabila dapat menjamu juadah disediakan bersama-sama,” katanya.

Nurul Atikah berkata, majlis rumah terbuka itu didahulukan dengan bacaan tahlil untuk arwah bapa beliau dan juga penghuni yang sudah meninggal dunia sebelum warga emas terbabit membuat persembahan karaoke bersama-sama kakitangan Al-Fikrah dan tetamu jemputan.


Pengerusi Al-Fikrah Malaysia, Nurul Atikah Mohd Azmi (empat dari kanan) bersama-sama anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nur Shahirah dan Peribadi Mulia yang diraikan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Pusat Jagaan Al-Fikrah pada 14 Mei 2022 lalu.


“Pada majlis ini juga kami turut menyantuni anak yatim dari dua rumah anak yatim iaitu Nur Shahirah dan Peribadi Mulia selain dikunjungi Kaunselor Berdaftar, Dr Faridah Kastawi yang banyak memberi sokongan dan nasihat.

“Kunjungan ramai tetamu pada majlis ini khusus penyumbang yang banyak menginfak dan kawan arwah bapa memberikan suntikan semangat untuk saya meneruskan legasi menguruskan Al-Fikrah dengan mendapat kerjasama daripada semua kakitangan dan ahli keluarga,” katanya.


Sebahagian Anak Yatim Al Kitab disantuni Sukarelawan Kasih pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Dataran Dato Mohd Said, Rinching Tengah, Semenyih, Selangor.


Sementara itu di Rinching Tengah, Semenyih, Selangor, pertubuhan Sukarelawan Kasih (SK) pula menyantuni Tahfiz Anak Yatim Al Kitab dan Tahfiz Khadijatul Kubro Lil Banad pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Dataran Dato Mohd Said, pada 15 Mei 2022 lalu.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Mohd Nazri Abdul Latif, berkata selain dijamu dengan juadah istimewa anak yatim terbabit turut menerima agihan duit raya serta sumbangan kepada pengurusan rumah anak yatim terbabit.

Menurutnya, majlis itu diharap meningkatkan kesedaran kepada semua sukarelawan termasuk 120 ahli berdaftar dengan Sukarelawan Kasih yang hadir bersama ahli keluarga untuk terus bersikap terbuka dan sentiasa mengasihi anak yatim.

“Ini adalah program pertama selepas terhenti berikutan pandemik Covid-19 dan akan meneruskan aktiviti membantu golongan yang memerlukan bantuan termasuklah di pusat jagaan warga emas, madrasah tahfiz, keluarga asnaf dan sebagainya.

“Majlis ini turut dihadiri Dato' Mohd Said dan Nazir Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu, Shamsuddin yang memberi kata-kata perangsang supaya Sukarelawan Kasih terus aktif membantu mereka yang serba kekurangan seperti anak yatim ini,” katanya. -KitaReporters


Sukarelawan Kasih merakamkan kenangan bersama-sama Anak Yatim Al Kitab dan Khadijatul Kubro Lil Banad pada Majlis Sambutan Aidilfitri.

35
7
0
10
0

Copy Link: