Pencarian 'Nona Superwomen' beralih pada usahawan wanita B40, M40! Usahanita mana jadi juara?
Published byKredit foto: Mingguan Wanita
PADA tiga tahun lalu, anugerah ‘Nona Superwomen’ yang mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan golongan wanita dalam pelbagai bidang diterima oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Kini, kesinambungan misi pencarian untuk memperkasakan kaum Hawa tersebut dikembangkan serta diangkat sebagai program realiti menerusi kerjasama strategik di antara Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., dan saluran Astro Prima selaku penganjur bersama dan penyiar rasmi.
Pertandingan berkonsepkan realiti untuk mencungkil potensi golongan usahawan wanita khususnya kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19, sekali gus memberi inspirasi dan dorongan positif kepada segenap lapisan masyarakat yang ingin meneroka peluang sumber pendapatan baharu dengan menceburi bidang keusahawanan.
Lagi cerita-cerita menarik wanita hebat
“Sumbangan besar kaum wanita kepada pembangunan dan ekonomi negara tidak dapat disangkal dan sememangnya telah lama diiktiraf. Seperti yang kita dapat lihat, penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan pada hari ini juga sudah semakin meluas, bahkan banyak bidang perniagaan kini didominasi oleh kaum Hawa. Ini membuktikan wanita juga mampu melangkah jauh untuk sama-sama menyemarakkan industri ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang,” ujar Norzeha Mohd Salleh (gambar atas) selaku Pengurus Saluran Astro Prima.
Menurut Norzeha, platform pencarian seumpama ini juga bukan sahaja mampu menyuntik semangat dan motivasi untuk mendorong kejayaan kaum wanita dalam apa saja bidang yang diceburi, malah berperanan mewujudkan persekitaran positif untuk meningkatkan keyakinan setiap wanita yang pastinya berhasrat mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik dan berkualiti.
Untuk tahun ini, seramai 250 calon peserta telah menghadiri sesi uji bakat yang dikendalikan sepenuhnya secara dalam talian pada bulan Mei lalu.
Penyertaan terbuka kepada golongan usahawan wanita kumpulan B40 dan M40, berusia di antara 25 ke 45 tahun yang mempunyai perniagaan sendiri sama ada sepenuh atau separuh masa.
Daripada jumlah tersebut, seramai 12 finalis terbaik berjaya dipilih untuk menyertai pencarian 'Nona Superwomen' musim pertama mengikut norma baharu.
12 finalis berkenaan terdiri daripada Syu Ramli (33, Melaka), Fazsfaozi (35, Perak), Linda Roos (36, Kuala Lumpur), Ana (26, Perak), Rina (35, Kelantan), Ayu Omar (28, Kuala Lumpur), Sya (32, Kelantan), Jiejie (26, Sabah), Ayda (30, Kelantan), Emma (37, Selangor), Sarah Ismail (34, Kuala Lumpur) dan Fazlia Akma (37, Kuala Lumpur).
Kredit foto: bellajamal.com
Nasib mereka akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh anggota juri profesional iaitu selebriti Awal Ashaari dan Ketua Pengarah Eksekutif Usanita, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan yang juga merupakan penerima anugerah ‘Nona Best Strategic Business Thinker’ di Nona Superwoman Award 2020.
Selain mereka, turut diundang personaliti popular secara bergilir-gilir setiap minggu sebagai juri jemputan manakala pelakon dan pengacara yang semakin meningkat naik, Uyaina Arshad (gambar atas) bakal mengemudikan pencarian kali ini sebagai hos program.
Para finalis akan dinilai mengikut kriteria utama termasuklah elemen keyakinan diri, kebijaksanaan, keluasan pengetahuan am, kreativiti, personaliti dan karisma yang menarik.
Bagi menyemarakkan lagi musim pertama ini, program berbentuk kapsul berjudul ‘Profil Peserta Pencarian Nona Superwoman’ menerusi paparan 12 buah episod sudah mula ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 5.55 petang bermula 6 September 2021 lalu.
Manakala program ‘Kapsul Pencarian Nona Superwoman’ pula akan mula disiarkan selama 8 buah episod pada setiap hari Rabu, jam 7.00 malam mulai 22 September 2021 iaitu sebelum program utamanya bersiaran jam 9 malam pada hari sama.
Juara ‘Pencarian Nona Superwoman’ akan membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta trofi manakala peserta yang mendapat kedudukan di tangga kedua dan ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.
Siapa agaknya yang akan membawa gelaran juara? Sama-sama kita nantikan ya! - KitaReporters