Video| Yasin Sulaiman ada penyakit bipolar teruk! Berdepan hukuman mati! Dituduh edar, tanam ganja!
Published by/
Yassin dibawa ke mahkamah untuk didakwa
Komposer dan penyanyi nasyid, Muhammad Yasin Sulaiman, 47, yang merupakan anggota kumpulan Brothers, berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac 2022. Dia didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pagi Khamis, 31 Mac 2022.
Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di sebuah unit kondominium di Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Lagi cerita-cerita jenayah membabitkan dadah
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati.
Sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Yasin juga mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen. Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin.
Tertuduh ditahan bersama 17 pasu pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, Khamis 24 Mac lalu. Polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.
Sementara itu peguam Yasin, Yusmadi Yusof memohon mahkamah supaya Yasin dibenar ikat jamin memandangkan tindakan anak guamnya menanam ganja bukan mempunyai niat lain sebaliknya khusus untuk perubatan kerana menghidap bipolar dan memiliki rekod perubatan.
Ketika ditemui media, Yusmadi berkata penyanyi itu perlu dibela memandangkan dia mempunyai penyakit bipolar yang teruk dan memerlukan rawatan.
Sementara itu ketika dibawa ke mahkamah Yasin sempat memaklumkan kepada media kesihatannya terjejas dan bimbang boleh membawa kepada “gila”.
Yasin juga sempat menyampaikan salam kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman dan meminta presiden MUDA itu memperjuangkan supaya kerajaan membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.
“Kirim salam kepada YB Syed Saddiq Abdul Rahman, minta (kerajaan) segerakan kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.
Yasin yang lahir pada 30 Oktober 1975 mula popular melalui kumpulan nasyid Brothers sejak 1995 dan popular dengan lagu ciptaannya ‘Teman Sejati’.
Selepas kumpulan Brother berpecah, Yasin bergerak secara solo dan menumpukan bidang ciptaan lagu dan memperjuangkan lagu berentak ‘world music’.
Lagu solo nyanyiannya berjudul ‘Mimpi Laila’ berjaya menaikkan namanya sebagai penyanyi dan komposer apabila memenangi gelaran juara keseluruhan di Anugerah Juara Lagu 2001.
Album solo keduanya yang berjudul ‘Salsabila’ pula memenangi anugerah Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-10 pada tahun 2003.