Lebih 30 tahun tak bertemu! Reunion satukan semula Aku Budak Sempang! Bersahabat sejak 1960-an!
Published byBERTEMU semula rakan-rakan pada alam persekolahan pasti menjadi momen indah. Apa tidaknya, berkumpul sehari semalam belum tentu 'selesai' bercerita kisah-kisah silam yang dilalui bersama,
Itulah yang berlaku kepada kumpulan sahabat Aku Budak Sempang (ABS) dari Melaka yang berjaya mengadakan reunion (perjumpaan semula) selepas hampir 30 tahun meninggalkan kampung halaman.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan persahabatan
Ahli ABS bergambar bersama-sama jemaah Surau Tengah Sempang Tanjung, Melaka selepas mengadakan program reunion serta bacaan yasin, tahlil, doa selamat dan solat hajat.
Selepas sekian lama tertangguh beberapa kali berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik COVID-19 akhirnya hasrat mengadakan program silaturahim pertemuan semula ABS berjaya diadakan pada awal Januari 2022 lalu.
Suasana sedih dan sayu menyelubungi kira-kira 20 ahli ABS apabila lebih 30 tahun meninggalkan kampung halaman untuk berkelana mencari rezeki di perantauan kembali bersatu dan bertemu jua sahabat sepermainan.
Walaupun seketika dalam reunion yang julung kali diadakan di Surau Tengah Sempang Tanjung Kling, Melaka, pelbagai momen manis dikongsi bersama.
Pengerusi ABS, Johar Mohd Alwi berkata, program itu sudah dirancang begitu lama namun terpaksa ditangguhkan beberapa kali akibat PKP, tetapi disebabkan keinginan untuk bertemu dengan sahabat sekampung usaha berkenaan tetap diteruskan.
Menurut beliau, ABS terdiri daripada anak-anak Sempang Tanjung Kling, Melaka yang dilahirkan sekitar tahun 60-an dan semua rakan sepermainan yang bergaduh, berkelahi, berdamai semula serta pergi ke sekolah rendah bersama-sama dan meninggalkan banyak kenangan indah.
Ahli ABS, Mahmod Mat Ali (kiri) bersama-sama Md Nor Hamid yang menetap di Liverpool turut hadir dalam program reunion berkenaan.
“Apabila balik ke kampung bersama-sama keluarga kami tidak berkesempatan untuk bertemu serta berborak hanya sekadar menyapa di jalanan kerana masa terhad untuk menziarah ibu bapa serta sanak-saudara terdekat.
“Bagaimanapun dengan kerjasama dan semangat yang tinggi daripada ahli ABS akhirnya program ini berjaya dilaksanakan.
"Paling syahdu apabila mereka yang berada jauh di perantauan sanggup pulang ke kampung bagi memenuhi hajat yang tertangguh,” katanya.
Johar menambah, paling manis apabila Md Nor Hamid berusia 84 tahun merupakan anak jati Sempang Tanjung Keling kini menetap di Liverpool sempat meluangkan masa untuk menghadiri program itu yang kebetulan pulang bercuti menziarah saudara mara.
Aku Budak Sempang berswafoto di tepi sawah selepas bertemu dalam program reunion yang diadakan pada awal Januari 2022 lalu.
Jelas beliau, sebagai memanfaatkan program berkenaan pelbagai pengisian yang dirancangkan berjaya dilaksanakan seperti menziarah rumah warga emas dan penduduk yang kurang berkemampuan.
Menurutnya, 20 keluarga terpilih menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas harian dan cenderahati daripada ABS di samping berjaya mengumpul dana untuk diinfak kepada pengurusan surau bagi pemasangan kubah sebagai mercu tanda.
“Pada sebelah malamnya, iman surau, Hashim Ahmad mengetuai solat berjemaah diikuti dengan bacaan yasin, tahlil, doa selamat dan solat hajat bersama-sama ahli ABS serta penduduk kampung,” katanya.
Seorang wakil ahli ABS, Rashid Ahmad, berkata program itu amat bermakna kepada mereka semua kerana dapat mengeratkan hubungan persaudaraan serta persahabatan yang terbina sejak kecil.
Selain dapat bersua muka dengan penduduk kampung yang sudah lama tidak bertemu serta bertanyakan khabar.
“Ada dalam kalangan kami ahli ABS sudah lebih 30 tahun tidak berjumpa kerana berkelana ke negeri lain demi melaksanakan tugas kerjaya yang diceburi dan masing-masing sayu menitis air mata mengenangkan kembali sejarah silam, saya berharap program reunion seperti ini dapat diadakan pada tahun berikutnya,” kata beliau. - KitaReporters
Ahli ABS berjaya mengumpul dana untuk pemasangan kubah surau kampung berkenaan sebagai mercu tanda.