MASIH ingat kepada insiden seorang personaliti media sosial berpengaruh (influencer) didakwa menghina bentuk fizikal atau body shaming pengikutnya dalam Facebook yang telah viral pada Ogos lalu?  Hari ini, Rabu 14 Oktober 2020, mangsa yang juga Pesuruhjaya Sumpah, Suharnizan Md Sidek bertindak memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap pelaku body shaming (mengejek bentuk tubuh) berkenaan. : KitaReporters

Suharnizan Md Sidek hari ini memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap seorang personaliti media sosial berpengaruh (influencer) yang didakwa mengejek bentuk tubuhnya atau body shaming.


Peguamnya, Mohd Rasheed Hassan berkata, saman sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan kemudiannya akan diserahkan kepada pihak pelaku, iaitu Eira Aziera atau nama sebenarnya Noorazira Pissal, 37.

"Saman sudah didaftar di mahkamah dan petang ini saya sudah terima emel daripada Tetuan Yahaya Ahmad & Co dari Sungai Petani, Kedah, yang mengatakan bertindak bagi pihak Eira Aziera.

"Jadi saman dan pernyataan tuntutan akan diserahkan menerusi emel dan kurier kepada peguam Eira (personaliti) dan dalam tempoh 14 hari, kehadiran perlu difailkan.

"14 hari selepas itu, pembelaan perlu difailkan. Tarikh sebutan pertama di Mahkamah Tinggi Johor Bahru adalah pada 11 November depan," katanya kepada pihak media.

Sebutan pada 11 November ini akan dilakukan secara dalam talian dengan pendaftar sahaja.

 


Kisah ini bermula dengan Suharnizan menulis komen 'live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?' menerusi video secara 'live' sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera, pada 18 Ogos 2020 lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Eira Aziera merupakan seorang influencer telah memuat naik satu video 'live' dengan mengeluarkan pelbagai tohmahan dan kata-kata kesat kepada Suharnizan.  Lebih teruk, Eira turut menyamakan bentuk tubuh individu tersebut dengan haiwan termasuk memaparkan gambar dia dan anaknya secara 'live' dalam video berkenaan.



Namun langkahnya itu tidak seperti kebiasaan yang menjemput pelbagai pujian, sebaliknya ia mengundang pelbagai kecaman netizen sebelum Eira Aziera tampil sekali lagi dalam sebuah video memohon maaf atas perbuatannya.

Eira telah mendakwa gagal mengawal emosinya dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak rasa tersinggung semasa video permohonan maafnya itu.

Suharnizan ditemani Mohd Rasheed kemudian mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di Johor Bahru pada 15 September 2020 lalu berhubung kes tersebut.

Mohd Rasheed memaklumkan walaupun terdapat permohonan maaf yang dibuat secara langsung menerusi Facebook 'influencer' itu, isu 'body shaming' boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - KitaReporters

1
1
1
0
7

Copy Link: