AZIZULHASNI Awang (kiri) dibatalkan penyertaan pusingan pertama keirin berbasikal Sukan Olimpik Paris 2024 kerana didapati memotong derny (pemandu bermotor) di depan lebih awal. Rayan Helal di sebelah Azizulhasni. - Kredit foto: MOM  


SUDAH jatuh ditimpa tangga!

Menangis air mata darah Team Mas dan para peminat sukan tanah air sekalipun tidak mungkin mengubah malang yang menimpa ‘Si Roket Saku’ (Pocket Rocketman) Datuk Mohd. Azizulhasni Awang.

Jaguh pecut berbasikal Malaysia ini kehilangan peluang akhirnya untuk menambah koleksi pingat Sukan Olimpik selepas gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2021 dalam acara keirin berbasikal pada 10 Ogos 2024.

Apatah lagi Team Mas begitu terdesak dan hanya sukan ini kesempatan yang penghabisan untuk memburu pingat emas sulung Olimpik dan mengumandangkan lagu Negaraku di Paris ini. 

Jijoe (julukannya) dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines kerana memotong ‘derny’ atau 'pacer' (pemandu bermotor) sebelum pusingan trek yang dibenarkan.

Dia yang mengumumkan mahu bersara selepas temasya ke-33 ini (penampilan kelimanya termasuk Beijing 2008 dan London 2012), meluahkan isi hati ekoran keputusan komisar yang tidak mahu berganjak sekalipun jurulatih, John Beasley dan pengurus pasukan, Izham Mohammad cuba merujuk semakan video.


AZIZULHASNI Awang (kiri) memecut memotong pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland (kanan) dan Jair Tjon En Fa (Surinam). - Kredit foto: MOM 


Ulasan Jijoe dipetik daripada laman sosialnya:

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

“Ketika undian dibuat, saya mendapat posisi terakhir iaitu keenam. Saya kekal tenang dan untuk berlumba dengan posisi tersebut, ada perancangannya.

“Hasil perbincangan bersama Beasley, pelan terbaik adalah untuk terus ke hadapan dan cuba mendapatkan posisi paling hadapan seawal mungkin kerana ada beberapa pelumba pemecut depan (senko) yang jika memecut awal, menyukarkan saya untuk mendorong laju.

“Akan ada kemungkinan adangan dan himpitan mereka jika taktik saya menunggu. Taktik terbaik meningkatkan peluang menang ialah bergerak awal seperti mana Olimpik Tokyo.

“Berbaki satu pusingan sebelum pacer (derny) keluar saya sudah bergerak ke hadapan secara perlahan-lahan dari belakang, seperti ketika Kejohanan Asia di Nilai.


JOHN Beasley (dua dari kiri) memohon panel komisar perlumbaan menyemak video tetapi gagal mengubah keputusan pembatalan Azizulhazni Awang (kiri). - Kredit foto: MOM


“Perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua dan selepas pacer keluar, saya akan terus memecut untuk merebut posisi pertama.

“Namun ketika melepasi selekoh ketiga dan sebelum selekoh keempat, saya dihimpit pelumba Perancis, Rayan Helal yang terlalu agresif yang bagi saya, dia berniat sengaja dan saya hampir terjatuh tetapi saya terselamat kerana reaksi cepat dan kemahiran pengendalian saya.

“(Helal) juga masih mengekori rapat di sebelah dan masih cuba menghimpit lagi dan dalam keadaan itu, reaksi saya ialah bergerak ke hadapan untuk mengelakkannya.



“Sebagai seorang pelumba keirin elit, kita tahu kelajuan pacer sebelum keluar. Biasanya dalam pusingan terakhir, pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh keempat daripada kelajuan 50-55 kilometer sejam (kmj) tetapi pada perlumbaan ini, dia bergerak lebih perlahan berbanding kadar sebenar dan tidak memecut keluar selepas selekoh itu.

“Saya yang tengah bergolak dengan Helal, perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut dan cuba back pedal (mengundur) sebagai cara untuk brek tetapi malangnya tidak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan.

“Berdasarkan peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di pursuit line (garisan mengejar) iaitu garisan halus di tengah front stretch (unjuran depan).

“Ya, tayar belakang saya memotong pacer sebelum pacer keluar tetapi bukan berniat (sengaja) dan disebabkan dua keadaan, adangan dan himpitan berterusan Helal juga kelajuan pacer pada 40-45 kmj dan tidak pada kelajuan sepatutnya dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan.

“Beasley dan Izham terus berjumpa panel komisar selepas kejadian (pembatalan) dan menjelaskan keadaan serta memohon mereka menyemak semula video perlumbaan dan keputusan. Namun mereka kekal dengan keputusan itu.


AZIZULHASNI Awang (kiri) menjelaskan kejadian ketika perlumbaan pusingan pertama keirin itu kepada Shah Firdaus Sahrom. - Kredit foto: MOM


“Masih ada pelumba yang melakukan kesalahan terang secara sengaja atau tidak sengaja yang menyalahi undang-undang perlumbaan tetapi tidak dikenakan kesalahan atau diberikan peluang oleh panel komisar?

“Boleh rujuk perlumbaan separuh akhir 200 meter pecut antara pelumba Great Britain (Jack Carlin) dan Belanda (Harrie Lavreysen) dan suku akhirnya antara pelumba Great Britain itu (Carlin) dan Jepun (Kaiya Ota).   

 “Insiden itu juga mengingatkan saya kembali kepada perlumbaan akhir keirin Olimpik Rio 2016 yang harus diberhentikan dua kali dan dimulakan kembali tanpa seorang pun pelumba dikeluarkan daripada perlumbaan.

“Sukan berbasikal trek ini memang keputusan mutlaknya panel komisar. Walaupun dahulu jurulatih dan pasukan boleh membawa hujah dan video untuk semakan kembali tetapi sampai suatu ketika, semuanya diubah sepenuhnya.

“Terus maju, saya berharap semua dapat berikan sokongan dan doa kepada rakan sepasukan saya, Shah Firdaus Sahrom yang menggalas tanggungjawab dan harapan baru membawa pulang pingat emas untuk kontinjen Malaysia.

“Saya percaya Shah mampu melakukannya.”


SHAH Firdaus Sahrom menebus kehampaan Jijoe dengan mara ke pusingan suku akhir keirin walaupun terpaksa melalui pusingan repechage (penebusan) pusingan ketiga. - Kredit foto: MOM 

16
18
0
10
0

Copy Link: