Video| Piala AFF 2022: Malaysia menang bergaya ke separuh akhir! Harimau Malaya akan bertemu Thailand!

Published by
KitaReporters


MALAYSIA membuktikan bahawa mereka layak ke separuh apabila mengalahkan Singapura 4-1 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B Piala AFF 2022 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari 2022. 

Bermain di hadapan penyokong sendiri, Malaysia sedar hanya kemenangan saja boleh menjamin kemaraan mereka dan sebaik wisel dimulakan, Malaysia terus bermain secara agresif. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Piala AFF


Beberapa percubaan bahaya dari Safawi Rasid, Faisal Halim dan beberapa pemain lain hampir meletakkan Harimau Malaya di hadapan namun penjaga Singapura menafikan setiap percubaan itu. 

Jaringan yang dicarikan akhirnya menjelma pada minit ke-35 apabila hantaran cantik daripada Safawi disudahkan dengan baik melalui tandukan Darren Lok. 

Jaringan tersebut memberi tonik kepada anak buah Kim Pan-gon untuk terus mengatur serangan sementara Singapura mula bermain secara terbuka selepas tertinggal satu gol. 



Pada babak kedua, pemain tengah negara, Stuart Wilkin membuktikan kenapa beliau layak bermain apabila meledak dua jaringan pantas dalam masa lima minit iaitu pada minit ke-50 dan ke-54.

Jaringan tersebut menggegarkan sorakan di stadium yang dipenuhi lebih 65 ribu penonton. 

Ketika mendahului 3 gol, anak buah Pan-gon mula mengambil mudah berapa gerakan lawan. Akhirnya barisan pertahanan dihukum oleh pemain gantian, Faris Ramli pada minit ke-85 untuk merapatkan kedudukan. 

Jaringan tersebut membuatkan pemain Malaysia mula mengatur kembali serangan dan menambah satu lagi gol menerusi pemain gantian, Sergio Aguero yang melengkapkan kemenangan bergaya 4-1. 

Kemenangan ini membolehkan Malaysia bertemu dengan Thailand pada separuh akhir nanti. Vietnam selaku juara kumpulan akan bertemu Indonesia untuk mencari slot ke pentas akhir. - KitaReporters


Kredit foto-foto: FB FAM 

14
10
0
12
0

Copy Link: