Satu pasukan sedang melakukan tarik tali bagi menguji kekuatan masing-masing untuk memenangi pertandingan.

Tarik! Tarik! Tarik! Begitulah jeritan kedengaran peserta yang menyertai pertandingan tarik tali empat penjuru yang diadakan di padang awam Taman Kaya, dekat Taiping pada 24 Februari 2025.

Jeritan itu memecahkan keheningan pagi yang mengejutkan penduduk yang tinggal berhampiran padang berkenaan.

Jeritan itu terbukti apabila pasukan Parit 13 dari Bota, Perak mengungguli pertandingan setelah menewaskan Bomba Alor Pongsu dari Kerian dengan Parit 13 Bota memperoleh sembilan mata berbanding enam mata diperolehi Bomba Alor Pongsu.

Pasukan Polis Taiping pula menduduki tempat ketiga dengan dua mata dan keempat Pasukan Gabungan Lembaga Air Perak (LAP) dengan satu mata.


Pasukan Parit 13 dari Bota muncul johan acara tarik tali empat penjuru.


Ketua Teknikal Pengadilan Tarik Tali Nurzanan Ismail berkata, acara tarik tali merupakan salah satu permainan yang popular dan menjadi amalan gaya hidup sihat.

“Pertandingan empat penjuru ini bertujuan untuk penyediaan pasukan bagi menghadapi beberapa kejohanan tarik tali yang diadakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Nurzanan yang juga jurulatih tarik tali berkata, pertandingan ini juga bagi menguji ketahanan pasukan dan kerja berpasukan serta kekuatan fizikal.

Katanya, ia juga menjadi simbol kesepaduan, ketahanan dan strategi dalam memastikan kemenangan dicapai bukan secara bersendirian tetapi kerjasama dan usaha pasukan. - KitaReporter


Dua pasukan yang menyertai pertandingan tarik tali bergambar sebelum pertandingan bermula.

16
9
0
13
0

Copy Link: