Joehari calon tunggal Presiden FAM! Shahriman tarik diri! Tapi berminat rebut jawatan Presiden PHKL!
Published byMEGAT DANISH SHAHRIMAN ZAHARUDIN
HANYA Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin yang mengesahkan pembatalan hasratnya untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Beliau adalah antara lima nama yang pada awalnya menawarkan diri.
Alasan ahli perniagaan ini menarik balik hasrat yang diumumkan pada 3 Januari 2025 lalu di Bukit Kiara ialah kerana kekangan masa dan perlu menumpukan perhatian dan tanggungjawab sebagai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
“Memang pada awalnya saya amat berminat untuk bertanding, tetapi dalam keadaan kekangan masa saya yang sibuk, saya menangguhkan niat itu dulu.
“Secara peribadi, saya memang berminat membantu sukan bola sepak negara, tetapi mungkin belum masa lagi.
“Lebih penting, saya mahu menumpukan tanggungjawab yang sedia ada di MPM dan beberapa lagi dalam persatuan sukan lain,” ulasnya dalam kenyataan kepada media pada 16 Januari 2025.
FONG Wan Hor (kiri) menayangkan borang pencalonan calon-calon pemilihan FAM penggal 2025-2028 kepada tiga lagi ahli Jawatankuasa Pemilihan. - Kredit foto: FAM
Jawatankuasa Pemilihan bagi Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM penggal 2025-2029 hanya baru menyemak dan membuka borang-borang pencalonan sebaik sahaja batas waktu penghantarannya berakhir pukul 5.30 petang pada 16 Januari 2025, lapor laman sosial persatuan.
Jawatankuasa pemilihan bebas yang dipengerusikan oleh Prof. Datuk Abdullah Mohamad Said turut mengadakan mesyuarat kemudian di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor dengan tiga lagi ahlinya ialah, Datuk Ab. Jalil Abdullah, Salleh Ramli dan Fong Wan Hor.
Kongres pemilihan pucuk pimpinan baharu FAM dijadualkan diadakan di sebuah hotel di Subang, Selangor pada 15 Februari 2025 dengan Presiden sekarang, Tan Sri Hamidin Amin mengumumkan tidak akan mempertahan ‘kerusi panas’ miliknya sejak 14 Julai 2018 ketika mempengerusikan mesyuarat Exco pada 4 Disember 2024.
Jawatankuasa Pemilihan turut telah mengesahkan hanya Naib Presiden FAM, Datuk Joehari Ayub sebagai calon tunggal yang layak, sekali gus bakal disahkan sebagai menang tanpa bertanding jawatan Presiden ketika Kongres di Subang itu nanti.
Sebelum ini, terdapat tiga lagi nama iaitu bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail; mantan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah; dan bekas pemain ragbi negara, Iskandar Salleh.
Menurut Statut FAM, sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada kalangan 18 ahli gabungan FAM menjadi prasyarat kelayakan mereka bagi jawatan Presiden.
Joehari Ayub
Kata Shahriman, “tugas presiden bukan hanya pada gelaran sebaliknya tanggungjawab besar kepada rakyat yang mengharapkan perubahan positif serta mencapai sasaran.”
Beliau yang kini berada di Chennai, India atas urusan perniagaan, menambah, “hari ini (16 Januari 2025) tarikh akhirnya, jadi saya memang tidak sempat untuk menghantar pencalonan.”
Shahriman walau bagaimanapun dilaporkan masih berminat merebut jawatan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) yang bakal menjalani mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan Majlis Eksekutifnya pada 25 Januari 2025 ini di sebuah hotel di ibu kota.
Beliau yang turut pernah memimpin Persatuan Kanu Malaysia (Masca) dan mengekalkan jawatan Presiden MPM pada 14 Disember 2024 lalu, mahu mencabar Presiden PHKL sekarang yang juga bekas pemain hoki negara, I. Vikneswaran. - KitaReporters
JAWATANKUASA Pemilihan bebas yang dipengerusikan Prof. Datuk Abdullah Mohamad Said (dua dari kanan) mengadakan mesyuarat menyemak dan menyaring calon-calon di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor dengan Ab. Jalil Abdullah, Salleh Ramli dan Fong Wan Hor. - Kredit foto: FAM