Video| Lagi gegar! All Stars Gegar Vaganza! Tampilkan 10 Juara GV terdahulu! 5 lagi dipilih peminat!
Published by“Siapakah yang terbaik antara yang terbaik?
Itulah persoalannya yang mengujakan ramai peminat industri muzik tanah air malah satu cabaran pula yang menanti 10 pemegang gelaran Juara Gegar Vaganza (GV) sejak ia mula diperkenal memasuki musim ke-10 (GV10) tahun ini.
Mereka terdiri daripada Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).
Seterusnya, menambahkan lagi kemeriahan persaingan pada GV10 ini, kesemua juara GV itu akan bersaing pula dengan lima penyanyi dari musim-musim terdahulu yang bakal dipilih menerusi undian para peminat bermula 29 Ogos 2023 sehingga undian ditutup pada 10 September 2023 jam 11.59 malam.
“Bayangkan betapa gahnya apabila kesemua juara ‘Gegar Vaganza’ serta pilihan peminat dihimpunkan sekali untuk merebut takhta juara ‘All Stars Gegar Vaganza’,” ujar Raqim Ahmad selaku Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro pada majlis pelancaran ‘All Stars Gegar Vaganza’ yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion KL baru-baru ini.
Raqim Ahmad (tengah) bersama Shafinaz Selamat (enam dari kanan) serta barisan Juara GV terdahulu.
Menurut Raqim, dengan menampilkan 10 juara sepanjang sembilan musim serta lima pilihan para peminat, GV kali ini (GV10) semestinya lebih sengit kerana para peserta bakal berentap dengan yang terbaik di persada muzik tempatan bahkan nusantara.
“Kegemilangan musim kesepuluh menampakkan keinginan Astro untuk mencabar penyanyi-penyanyi tersohor rantau ini lantas menobatkan juara dalam kalangan juara dan jua pilihan peminat untuk musim ini,” tambah Raqim.
‘All Stars Gegar Vaganza’ masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional.
Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200, 000.
Dan barisan juri pula masih diketuai Dato’ Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi ikonik Indonesia, Hetty Koes Endang.
“Inilah pertempuran realiti nyanyian yang tiada bandingan. Hampir kesemua mereka sudah merasai kejuaraan ‘Gegar Vaganza’, dan mereka kembali malah mengetahui bahawa pertandingan kali ini tidak mudah, dipenuhi dengan cabaran sengit,” jelas Raqim sambil memberitahu, Astro rasa berbangga mampu membawa kesemua juara kembali ke satu pentas dan sekali lagi memberi peminat peluang untuk mengundi peserta terdahulu untuk bertanding sekali lagi bersama barisan juara.
Mungkinkah mereka yang pernah terlepas kejuaraan mampu menembus kekalahan yang lalu?
Saingan ternyata lebih dahsyat dan tiada kompromi.
Sesungguhnya para peserta, juara-juara mahupun fan favourites bakal memberikan 100% komitmen kepada setiap persembahan mereka.
“Pihak kami pun tidak sabar untuk mementaskan pertandingan yang bakal meninggalkan impak terhadap para penonton menerusi setiap episod. Setiap epsiod pasti ada elemen kejutan tersendiri, Jadi, tunggu dan saksikan debarrannya,” akhiri Raqim.
‘All Stars Gegar Vaganza’ akan berlangsung selama dua belas (12) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 24 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).
Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam mulai 18 September 2023. - KitaReporters