Jelajah Bengkel Intensif Muzik Xpress! Anak muda teruja, IRAMA berkongsi pengalaman industri muzik!
Published by
KitaReporters
--title--
INISIATIF Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mengadakan jelajah Bengkel Intensif Muzik Xpress mendapat sambutan menggalakkan daripada ramai anak muda.
Dianjurkan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Pulau Pinang bersama unit Rakan Muda/Rakan Muzik Daerah, bengkel itu diadakan di lima tempat antaranya Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Baling dan penutup di Pulau Pinang.
Apa yang boleh disaksikan, mereka yang hadir tampil lebih yakin bagi menunjukkan bakat muzik yang ada pada diri masing-masing.
Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, bengkel yang dikhususkan kepada anak-anak muda dari peminat muzik, pemuzik dan pencipta lagu/lirik dari umur 15 ke 30 tahun ini berjalan dengan baik dan tersusun.
Ayob yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang promosi artis rakaman berkata, ramai peserta awalnya malu-malu, takut dan kurang yakin untuk menonjolkan diri.
"Namun, apabila sesi ‘jamming’ santai bermula, ada yang memberanikan diri untuk mencuba menyerlahkan bakat yang ada tersimpan.
"Yang lebih penting, mereka teruja dengan beberapa ilmu dan info bagaimana menyertai industri muzik secara bijak sama ada untuk menjadikan sebagai kerjaya serius pada masa depan atau sekadar hobi.
"Bagaimanapun dalam masa yang sama, ia boleh memberikan pendapatan lumayan hasil daripada menyanyi, membuat lagu dan rakaman," katanya.
Menerusi bengkel ini juga, banyak tip dan panduan didedahkan oleh panelis yang sudah berpengalaman selama 30 hingga 40 tahun dalam industri muzik dan masih tetap aktif sehingga kini yang diketuai Othman Masri atau nama popularnya Man Senoi.
Dia yang menaikkan nama kumpulan rap 4U2C membawakan topik cara mudah mencipta lagu, membuat gubahan muzik dengan minimum chord, asas mengenal alat muzik termasuk vokal, cara membuat rakaman dengan mudah menggunakan software, laptop dan alat-alat home studio.
"Saya kongsikan pengalaman lebih 40 tahun bergelumang sebagai komposer, penerbit dan penggubah lagu serta pernah menjadi pensyarah muzik dan teknologi audio di beberapa kolej dan universiti seperti Aswara dan LimKokWing.
"Kolej muzik Icon menjadikan saya berupaya mengenali bakat-bakat anak muda dalam bengkel dan memberikan kaedah-kaedah mudah serta nasihat berkenaan topik," katanya.
Bengkel ini diperkasakan lagi dengan pembabitan Rozman Abas, pemilik syarikat rakaman dan pengedaran digital Loonaq Records, yang bercerita topik berkenaan kenapa dan bagaimana mendaftarkan sesebuah lagu yang sudah dirakam bagi mendapatkan kad pengenalan digital atau ID kode.
“Ini perlu bagi memastikan semua Digital Streaming Platform (DSP) di seluruh dunia dapat mengenali siapakah pencipta lagu/lirik, pelaku (penyanyi/pemuzik) dan pemilik rakaman audio dan video sesebuah lagu yang ditonton atau didengar dalam alam internet.
“Saya turut menasihatkan anak-anak muda ini agar setiap rakaman yang telah siap sebaiknya didaftar dahulu bagi mengelakkan kita memuat-naik rakaman yang dikategorikan sebagai konten percuma dan terdedah kepada pencurian hakmilik,” katanya.
Dia turut berkongsi kaedah-kaedah membuat pendaftaran sama ada secara terus atau melantik Badan Pengutip Royalti Persembahan Awam atau melantik pemborong digital (aggregator) bagi memasar atau monetize lagu dalam Spotify dan DSP-DSP lain.
Tambahnya lagi, beberapa tip lain turut dikongsi iaitu pendedahan berkenaan pendapatan pasif dari kutipan royalti pencipta lagu/lirik dari hakmilik rakaman dan dari royalti pelaku rakaman.
"Pengalaman lebih dari 35 tahun dalam perniagaan dan kini mengurus lebih daripada 3,000 lagu dalam semua DSP pelbagai genre termasuk nasyid adalah aset berguna yang dikongsi kepada semua yang berminat.
“Saya fokuskan kepada anak-anak muda dan bakat baharu dalam program Rakan Muda dengan nafas baharu yang baru-baru ini dijenamakan semula,” katanya.
Sementara itu, Sheikh Qalam, seorang pencipta lagu dan lirik yang pernah memenangi beberapa anugerah Industri Muzik dan berpengalaman sebagai pengurus dan repertoire artis di beberapa syarikat rakaman antarabangsa pula, berkongsi mengenai topik bagaimana membina jenama dan membuat promosi di media sosial serta peluang-peluang berkolaborasi penerbitan dengan penyanyi atau artis yang lebih popular.
Dia juga bersama-sama mempelopori program TV popular suatu ketika dulu iaitu Akademi Fantasia dan Maestro Records yang menguruskan semua artis daripada Akademi Fantasia.
Selain Kedah dan Pulau Pinang, jelajah Bengkel Intensif Muzik Xpress turut diadakan di beberapa lokasi lain antaranya Kuala Pilah dan Paroi, Negeri Sembilan serta Bukit Beruang, Melaka menerusi kerjasama Jabatan Belia dan Sukan negeri terbabit. - KitaReporters/Kenyataan Media
16
6
0
8
0