HARUN Rasheed, pemenang pingat emas Sukan SEAP Singapura 1973. - Kredit foto: FB HRO


HARUN Rasheed Othman mendukung cucu kesayangannya. - Kredit foto: FB HRO


BERSAMA-SAMA Peyadesa Singha, S. Sabapathy dan Hassan Osman, mereka pernah membaharui rekod kebangsaan 4x400 meter olahraga sambil muncul pemenang pingat emas Sukan SEAP Singapura 1973.

Harun Rasheed Othman juga menaiki podium tengah di Stadium Nasional, Singapura dalam temasya dwitahunan edisi ketujuh itu untuk bangga menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku hasil kejayaan tersebut dengan catatan 3 minit 11.1 saat.

Rangkaian pelari berganti-ganti negara ini mengatasi tuan rumah yang diketuai jagoan pecutnya, C. Kunalan yang mencatat 3:11.3 saat dan Thailand, 3:12.0 saat yang di podium perak dan gangsa.

Mundar maju ke 2010, peranannya yang beralih kepada ketua jurulatih negara, mentransformasikan Siti Zubaidah Adabi, Nor Jannah Hafizah Jamaludin, Yee Yi Ling dan Nurul Sarah Abdul Kadir pula sebagai pemecah rekod kebangsaan 4x100 meter wanita.

Catatan lama yang sudah berusia 21 tahun ketika itu digantikan dengan 45.33 saat milik mereka dalam Grand Prix Olahraga Poland tanggal Julai 2010.

Siri pencapaian gemilang Harun bersambung dengan skuad negara pimpinannya membawa pulang lima pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa Sukan SEA Indonesia 2011.


POSTER ucapan takziah daripada MA buat keluarga Allahyarham Harun Rasheed Othman. - Kredit foto: MA 


Koleksi pencapaian hebat itu mungkin melebar lebih gemilang andainya ketua jurulatih negara ini tidak terpalit dengan kontroversi enam atlet melarikan diri ke Bulgaria daripada menjalani ujian doping di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil pada 24 Mei 2011.  

Malang sekali dia yang dikatakan mendalanginya, telah digantung daripada penglibatan dalam olahraga selama 10 tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland mulai 12 September 2011.

Kesnya diheret ke CAS atas gesaan Agensi Antidoping Dunia (WADA) ekoran hanya penggantungan setahun yang dikenakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terhadapnya.

Enam atlet terbabit, Nor Jannah, Nurul Sarah, Mohamad Noor Imran Hadi, Siti Zubaidah dan Yi Ling serta Siti Fatimah Mohamad digantung antara 18 bulan hingga dua tahun.

Harun sudah pun kembali ke rahmatullah dalam usia 70 tahun kira-kira pukul 5 pagi hari ketiga Ramadan 1446 Hijrah bersamaan 4 Mac 2025 di kediamannya di Kajang, Selangor. Dia dilahirkan pada 5 Jun 1954.


NOORUL Ariffin Abdul Majeed (depan, kiri) turut mengusung keranda jenazah Allahyarham Harun Rasheed Othman di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang. - Kredit foto: Yakeb


NOORUL ARIFFIN ABDUL MAJEED


Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, “Allahyarham juga aktif menghadiri program-program Yakeb dan pernah menyertai kursus keusahawanan yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Kali akhir Allahyarham berhubung dengan kami pada hujung Disember 2024 untuk mendapatkan surat jaminan bagi rawatan perubatan.

“Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang selepas solat zuhur dan solat jenazah di Masjid Jamek Pekan Kajang.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan kalangan orang beriman. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Antara bekas atlet negara yang memberikan penghormatan akhir kepada Allahyarham ialah Rahman Koyakutty, Azhar Hashim dan Yazid Imran serta bekas ketua jurulatih kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil, kata Noorul.

Beberapa laporan media pada 2019 turut menyebut Harun pernah mahu ditawarkan sebagai ketua jurulatih negara semula walaupun sepanjang penggantungan, dia sudah pun beralih ke bidang perniagaan sajian makanan kecil-kecilan selain kerja amal.

Olahraga Malaysia (MA) dalam laman Facebooknya mengucapkan, "takziah kepada keluarga Allahyarham, mantan atlet dan jurulatih negara yang telah banyak berjasa kepada arena sukan tanah air."

MSN turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. - Kredit foto: MSN

8
14
0
13
0

Copy Link: