Gara-gara kerbau bawa lumpur! Kemeriahan AJL 39 tercemar! Akibatnya kemenangan Marsha hilang seri!
Published by
PENAMPILAN pempengaruh lelaki tampil berpakaian wanita pada acara karpet merah Anugerah Juara Lagu 39 mencetuskan kontroversi.
SUDAH tiga hari Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 berlalu. Pemenangnya juga telah diketahui apabila lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, nyanyian Marsha Milan dinobatkan sebagai juara.
Pada malam anugerah itu, naib juara menjadi milik lagu Bukan
Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini hasil ciptaan serta lirik oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh sementara
tempat ketiga diraih oleh Akim & The Majistret dan Bunga Cantik menerusi
lagu Saksama.
Ernie Zakri pula memenangi kategori Vokal Terbaik menerusi lagu Aura dan Aina Abdul yang mendendangkan lagu Puas Sudah mengungguli kategori Persembahan Terbaik
Tapi, bukan itu menjadi perbualan dan topik tular, tetapi kemeriahan AJL 39 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad, 16 Februari, 2025 dibayangi kontroversi sehingga kisah kemenangan Marsha dan peserta-peserta lain ditenggelami oleh isu berkenaan.
MARSHA mengungguli kategori Lagu Terbaik menerusi Hening Rindu.
Semuanya gara-gara aksi empat pempengaruh lelaki yang tampil bergaya bagai bidadari dengan memperagakan pakaian wanita semasa acara karpet merah.
Walaupun gelagat mereka tidak mencacatkan perjalanan pertandingan pada malam itu tapi impak yang dicetuskan oleh kontroversi itu telah merosakkan reputasi AJL dan tempiasnya turut membias kepada stesen televisyen, TV3.
Rata-rata netizen mengecam TV3 yang dianggap tidak cakna dengan sensitiviti masyarakat khususnya umat Islam yang sama sekali tidak boleh berkompromi dengan isu seumpama itu.
Walaupun stesen televisyen terkemuka itu sudah membuat permohonan maaf dan mengambil maklum insiden itu namun kerosakan sudah berlaku yang ternyata mencalar imej mereka dan AJL sebagai sebuah pertandingan berprestij.

KENYATAAN TV3 berhubung kontroversi AJL39.
“Kami mengambil maklum bahawa insiden ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, dan memohon maaf atas kejadian tersebut.
“TV3 ingin menegaskan bahawa pakaian menyerupai wanita oleh
tetamu tersebut tidak pernah dibenarkan dan tidak selari dengan norma dan
nilai-nilai yang dijunjung oleh masyarakat Malaysia serta peraturan yang
ditetapkan oleh kerajaan,” kata stesen televisyen itu dalam satu kenyataan pada
Selasa, 18 Februari 2025.
Tambah kenyataan itu lagi, TV3 berjanji akan
mengambil langkah proaktif untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak
berulang.
Namun permohonan maaf dan kenyataan itu tidak mampu meredakan kemarahan masyarakat. Mereka mempersoalkan bagaimana empat individu yang membuat onar itu boleh terlepas masuk dan dengan bangga berjalan di atas karpet merah.
EMPAT pempengaruh lelaki yang mendapat penghormatan mengambil bahagian dalam acara karpet merah AJL39.
Seorang bekas kakitangan stesen televisyen yang pernah menerbitkan pelbagai program berbentuk hiburan memberitahu KitaReporters, kontroversi yang berlaku dapat dielak jika pihak produksi lebih sensitif dengan adat, budaya apatah lagi yang menyentuh soal agama.
“Mereka mungkin tidak berniat mencetuskan
kontroversi, cuma tidak peka. Empat lelaki yang berpakaian wanita itu pun
mungkin menganggap pemakaian itu sekadar fesyen dan bersesuaian dengan program
yang akan mereka sertai.
“Pada saya, soal pihak produksi tidak
tahu yang empat lelaki berkenaan akan berpakaian sedemikian tidak timbul kerana
keempat-empat individu itu bukan menceroboh masuk ke karpet merah sebaliknya
mereka memang diundang untuk menjayakannya.
“Berdasarkan pengalaman saya menerbitkan
siaran langsung berbentuk hiburan, setiap individu yang terbabit pada sesi
karpet merah dipilih oleh stesen TV, bergantung apa bentuk program pada malam
itu.
“Jarang penonton dapat peluang berjalan atas karpet merah kerana ia adalah laluan istimewa sebagai penghormatan kepada artis atau VIP yang hadir pada majlis itu.
“Dalam kes AJL itu, sudah tentu penampilan empat pempengaruh lelaki itu adalah atas pilihan TV3 selaku penganjur dan pasti pihak TV sudah tahu apakah pakaian yang akan diperagakan mereka pada malam itu.
“Cuma, mereka mungkin tidak menyangka ia akan mencetuskan kontroversi. Langkah TV3 memohon maaf adalah terpuji namun mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab,” kata bekas penerbit itu yang enggan namanya didedahkan.
ANUGERAH Juara Lagu Ke-39 menampilkan persembahan mantap namun dibayangi kontroversi acara karpet merah.
Ramai meminta Kerajaan jangan memberi muka dan mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran kepada mereka yang terbabit.
Contohi ketegasan mantan Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamad Rahmat yang mengharamkan penyanyi berambut panjang muncul membuat persembahan dalam rancangan televisyen.
Memandangkan ketika itu televisyen merupakan medium paling berkesan untuk penyanyi meraih publisiti maka ramai artis yang akur dengan arahan berkenaan.
Satu peristiwa yang menjadi sejarah adalah apabila Mohamad sendiri memotong rambut dua penyanyi rock, Amy Searh dan Awie dari kumpulan Wings dalam satu upacara yang disiarkan secara langsung oleh RTM pada 1 November, 1992.
DETIK bersejarah pada1992 apabila Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat melakukan upacara potong rambut ke atas dua penyanyi rock, Amy Search dan Awie Wings.
Dalam hal ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas ke atas stesen televisyen yang melanggar peraturan dan garis panduan ditetapkan.
"Keingkaran mematuhi garis panduan dan
syarat-syarat lesen ditetapkan boleh mendatangkan kesan kepada pihak yang
terlibat.
"Saya memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas," katanya.
Malah, tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil serius mengenai isu berkenaan juga harus dipuji dengan harapan sebarang cubaan untuk menormalisasi tingkah laku sedemikan dapat dicegah sebelum merebak menjadi wabak.
Ketua pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meneliti isu itu berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
"Jakim turut akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan
penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi
memberikan nasihat dan bimbingan," katanya.
Apa yang berlaku pada malam itu jelas menepati pepatah Melayu yang berbunyi "seekor kerbau membawa lumpur, semua habis terpalit"! - KitaReporters