.


REVOLUSI pasukan bola sepak kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekarang dengan sasaran membawa lebih ramai pemain warisan bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya ternyata menimbulkan resah dalam kalangan bakat tempatan.

Ramai yang melihat langkah drastik FAM itu, ditambah dengan penggunaan khidmat pemain naturalisasi, akan mengakibatkan pintu untuk pemain tempatan menyertai skuad kebangsaan kian sempit malah mungkin akan tertutup rapat, sekali gus mensia-siakan bakat anak watan.

Ia ditambah dengan kebanjiran ramai pemain import dalam Liga Malaysia yang menyaksikan bakat tempatan makin tersisih dan sekadar memanaskan kerusi pemain simpanan atau bermain dalam liga kelas bawahan.

Namun, di sebalik kebimbangan itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Afif Amiruddin melihatnya dari sudut postif dengan menganggap kekangan itulah sebagai cabaran yang perlu didepani genarasi muda pemain bola sepak negara sekarang jika mereka mahu berjaya.


MOHD Afif Amiruddin curah ilmu kepada pemain muda melalui AA19.


“Zaman berubah, situasai bola sepak juga berubah. Ini adalah cabaran baharu yang perlu dilalui pemain muda yang bercita-cita tinggi mahu menyarung jersi negara.

“Saya percaya pintu skuad kebangsaan belum tertutup. Penggunaan pemain warisan dan naturalisasi hanya bersifat sementara untuk kita mencapai kejayaan segera. Akhirnya, bila pemain tempatan sudah benar-benar mencapai tahap diperlukan, mereka akan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan.

“Tapi, untuk itu mereka perlu menjadi pemain yang benar-benar luar biasa, contohnya macam Arif Aiman (Hanapi) yang kini memang seorang bintang bertaraf antarabangsa,” kata Afif.

Atas keyakinan itu, Afif yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pemain, menubuhkan sebuah pusat latihan yang dinamakan AA19 Personal Trainer’ bermatlamat membimbing bakat-bakat muda bola sepak negara menggapai impian mereka.



“Untuk berjaya, pemain muda perlu bekerja lebih keras dan sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan mereka, tidak cukup sekadar berlatih bersama pasukan masing-masing sebaliknya perlu mencari sesuatu yang ekstra.

“Di sinilah tercetusnya idea saya menubuhkan AA19 Personal Trainer sebagai wadah tambahan untuk pemain muda meningkatkan bakat dan kebolehan. Saya yakin, dengan pengalaman sebagai bekas pemain kebangsaan dan Liga Malaysia, saya mampu menurunkan ilmu yang bermanfaat kepada mereka.

“AA19 bukan sebuah akademi tapi ibarat kelas tuisyen yang memberi latihan tambahan kepada pemain-pemain muda. Konsepnya sama seperti murid sekolah yang memasuki kelas tuisyen, bertujuan meningkatkan lagi prestasi pembelajaran mereka dengan matlamat mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Konsep inilah yang saya terapkan dalam AA19. Kebanyakan peserta kelas saya adalah mereka yang terdiri daripada pemain remaja yang sudah ada pasukan pada peringkat bawah umur.

“Tapi, dengan menyertai kelas AA19, mereka dapat mempertingkat permainan serta kemahiran. Di sini, saya bersama beberapa bekas pemain seperti Ahmad Ezrie Shafizie, Rizal Fahmi (Rosid) dan Qayyum (Marjoni Sabil) akan membimbing mereka,” jelas Afif.



Menurut Afif, AA19 yang ditubuhkan pada 2023 hanya bermula dengan 15 orang peserta tapi kini meningkat kepada 150 orang yang terdiri daripada pemain berusia 8 hingga 14 tahun.

Setiap peserta individu dikenakan bayaran sebanyak RM200, sementara berkumpulan RM100 untuk empat sesi latihan yang merangkumi kecergasan, kemahiran dan teknik permainan.

“Setiap sesi terbahagi kepada tiga bentuk latihan iaitu latihan di gimnasium, di padang dan di gelaggang futsal. Mereka boleh menentukan jadual sendiri ikut kesesuaian masa mereka.

“Latihan di sini menggunakan kaedah latihan pasukan Liga Super dengan penekanan diberikan kepada kecergasan kerana permainan bola sepak hari ini bercorak pantas.

“Pada awalnya memang ada peserta yang sukar untuk mengikutinya tapi lama kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri dan enjoy dengan corak latihan yang kami terapkan.


JADUAL latihan.


“Buktinya, mereka yang pernah mengikuti sesi latihan bersama AA19 akan menyambung untuk musim seterusnya. Malah, semakin ramai ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak menyertai kami.

“Ada juga yang baru hendak berjinak-jinak dengan bola sepak dan belum mempunyai kelab. Mereka akan diberikan latihan dari asas. Bagi memastikan mereka dapat merasai perlawanan, maka kami bentuk satu pasukan dengan menyertai pelbagai pertandingan sekitar Lembah Kelang,” kata Afif.

Pada masa sama, AA19 turut menerapkan faktor siasah dan kerohanian peserta dengan mengutamakan kewajipan sebagai umat Islam iaitu membimbing mereka dalam tuntutan agama terutama solat.

“Saya akan membimbing mereka perkara asas seperti mengambil wuduk, azan dan solat berjemaah kerana saya mahu kejayaan yang akan mereka capai dalam bola sepak biarlah seiring dengan tanggungjawab sebagai makhluk Allah,” katanya.



Mengenai matlamat jangka panjang AA19, Afif mempunyai impian untuk melihat anak didiknya berjaya memasuki sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari dan seterusnya dapat mewakili Harimau Malaya.

“Saya mengimpikan suatu hari nanti, ada pemain yang menelefon saya dan mempelawa saya menonton permainannya bersama pasukan kebangsaan.

“Kami mahu melahirkan seramai mungkin Arif Aiman dan melihat lebih ramai pemain tempatan menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang,” kata Afif.

Untuk rekod, Afif yang bermain di posisi pertahanan pernah mewakili Kelantan, PDRM, Kedah, Sime Darby, Perlis dan Pahang dalam Liga Malaysia. 

Pada peringkat antarabangsa pula, beliau mempunyai 9 cap bersama pasukan kebangsaan, antaranya beraksi pada kelayakan Piala Dunia, kelayakan Piala Asia dan Piala Suzuki AFF. - KitaReporters


22
8
0
12
0

Copy Link: