Video| Jangan terburu-buru! Santai-santailah! Kuda tua mungkin tak laju! Apa mesej Faizal Tahir?

Published by
KitaReporters


Berjudul ‘Santai’, lagu ini bukan seperti yang dibayangkan tetapi mempunyai mesej dan nasihat berguna mengenai sikap sebilangan daripada kita yang sentiasa tergesa-gesa atau terburu-buru dalam membuat atau mendapatkan sesuatu.

“Malah, sikap tergesa-gesa manusia ini sudah disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran,” ujar empunya penyanyi lagu, Faizal Tahir atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 43,  yang sekali lagi ‘bersuara’ menerusi mesej dan nasihat berguna dalam single terbaharunya itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Faizal Tahir atau FT


Mengingatkan kembali kepada lagu ‘Ragaman’ yang sarat dengan ‘teguran’ dalam kehidupan berumah tangga antara suami isteri, penghasilan lagu 'Santai', karya Faizal bersama Ezra Kong pastinya mampu juga menjentik hati setiap pendengar.

Menurut Faizal atau lebih terkenal dengan panggilan akronimnya FT sahaja, idea menghasilkan lagu terbitan syarikat rakamannya, Faithful Music  itu pun hadir secara spontan.

“Idea ini datang secara spontan bersama Ezra Kong sewaktu dia menyebut perkataan santai dalam satu sesi menulis lagu. Idea lirik dan hala tuju lagu secara keseluruhannya adalah berdasarkan sikap kita yang sentiasa tergesa-gesa atau terburu-buru untuk mencapai sesuatu,” ujar FT.



Sama seperti kebanyakan lagu yang pernah dihasilkan, Faizal tidak hanya memberi fokus kepada komposisi lagu malah mengutamakan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat. 

“Kelebihan lagu 'Santai' terletak dalam mesej dan cara penyampaiannya. Lagu ini membawa getaran yang sangat santai dan mudah dihadam berbagai lapisan masyarakat,” katanya yang sering mengadaptasikan sesebuah karya daripada apa yng terjadi dari segenap aspek kehidupan hari ini. 

Tambahnya,  kebanyakan lagu yang dihasilkan sejak kebelakangan ini membawa mesej yang dekat dengan kehidupan seharian atau kritikan sosial memandangkan ia cara terbaik dalam memberi kesedaran dan nasihat buat diri sendiri seterusnya orang ramai.

“Kita lebih mudah memahami dan menghadam perkara yang lebih dekat dengan kita. Setiap nasihat atau teguran dalam karya saya adalah untuk diri saya sendiri terlebih dahulu. Saya harus memahami dan mampu menghadam mesej dari karya saya terlebih dahulu. Itu yang paling penting. Sekiranya pendengar mendapat manfaat dari menghayati karya saya, maka ia satu bonus untuk saya,” tegasnya.



Benar kata Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, lagu dan irama tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan kehidupan yang mana tidak pernah sunyi daripada sebarang masalah. 

Apa yang pasti, setiap yang berlaku itu ada punca di sebaliknya. Tinggal lagi bagaimana cara untuk menangani. 

Dan inilah yang diadaptasikan oleh Faizal Tahir dalam ‘Santai’ sebagai karya kolaborasinya yang ketiga bersama Ezra Kong selepas kali terakhir melalui lagu 'Malaysia' (2018) dan 'Kamu' (2019).

“Bekerjasama dengan Ezra Kong adalah peluang yang memang sudah lama saya tunggu memandangkan Ezra dan saya masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Dia tahu apa yang dia mahu dan apa yang perlu untuk mendapatkan yang terbaik daripada penyanyi. Memang saya cari peluang untuk bekerja dengan yang terbaik,” kongsi Faizal lanjut.

Dalam masa sama, lagu 'Santai' yang siap dirakam pada Mei 2022 lalu bukanlah kesinambungan daripada lagu 'Ragaman' biarpun lirik berunsurkan nasihat.

“Ia bukanlah satu kesinambungan kepada karya 'Ragaman'. Mesej 'Ragaman' lebih ‘direct’ dan ‘straightforward’ mengenai ragam kehidupan suami isteri. Sementara lirik lagu Santai lebih berkias dan boleh diguna pakai dalam apa sahaja situasi kehidupan harian kita,” jelas FT.


Ezra Kong. - Kredit foto: Kosmo Digital


Sementara itu, Ezra yang turut bertindak selaku penerbit lagu Santai melihat mesej yang cuba disampaikan perlu dijadikan iktibar sekali gus mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

“Lumrah kehidupan masa kini membuatkan kita menjadi semakin serakah dan terdesak untuk memperoleh kekayaan dunia dalam waktu yang paling singkat. Sebenarnya, wang ringgit, harta, pangkat, kereta mewah, berpoligami hanyalah selingan sementara daripada kesengsaraan dan realiti yang perlu dihadapi setiap insan. 

“Sebab itu dalam lagu ini, Faizal menyeru agar kita selalu santai dan tidak bertindak secara terburu-buru. Kuda yang tua memanglah tak laju seperti dulu, namun tetap ‘steady’ dan padu,”  Ezra berpendapat. - KitaReporters


23
9
0
11
0

Copy Link: