Keluarga Malaysia jamah ubi kayu rebus sambut merdeka! Usaha SK Sungai Sireh ingati pejuang merdeka!
Published byUBI kayu rebus dijamah bersama kelapa parut dihidangkan kepada guru dan murid Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh (SKeSS), Tanjung Karang, Selangor sebagai acara kemuncak menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65 yang diadakan di sekolah itu sepanjang Ogos 2022.
Mahu tidak
mahu, sama ada guru atau murid yang tidak biasa dengan makanan itu terpaksa
mencuba juga sebagai usaha mengimbau santapan rutin penduduk pada zaman Jepun yang menjadi gimik menarik yang dicadangkan Panitia Sejarah SKeSS.
Guru-guru dan ibu bapa menyambut baik idea tersebut bertepatan dengan matlamat Bulan Kemerdekaan iaitu menyemai rasa cinta kepada negara dan semangat untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan di samping bersesuaian dengan temanya Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tanaman dan makanan ubi
Ubi kayu rebus yang dijamah bersama kelapa parut, ikan masin goreng, sambal tumis ijo berserta lempeng, keledek dan cucur pisang serta stewol dihasilkan oleh guru SKeSS secara bergotong-royong.
Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman, berkata Panitia Sejarah merancang untuk membuat satu program yang berfokus pada zaman sebelum kemerdekaan terutama tentang cara hidup masyarakat semasa penjajahan Jepun.
Menurutnya,
salah satu perkara yang paling diingati tentang zaman berkenaan ialah sumber
makanan yang sangat terhad disebabkan masyarakat pada ketika itu terpaksa
menyerahkan hasil padi kepada penjajah dan hanya mengalas perut dengan ubi kayu
rebus.
Terang beliau, bagi menjayakan hasrat itu guru-guru mengambil bahagian dengan menyediakan bahan masakan beberapa hari sebelum program berlangsung dan pada hari kejadian mereka bergotong -royong untuk merebus, memasak dan menyediakan semua makanan bersama-sama.
Guru menyuapkan ubi kayu rebus kepada murid yang belum pernah menikmati makanan itu.
“Antara
makanan yang diperkenalkan ialah ubi kayu rebus yang dijamah bersama kelapa
parut, ikan masin goreng, sambal tumis ijo berserta lempeng, keledek dan cucur
pisang serta stewol yang ternyata asing bagi sesetengah guru dan murid,”
katanya.
Bagi
menggambarkan keakraban semangat Keluarga Malaysia sebagai Nor Mahali memulakan
program dengan menyuapkan ubi kayu rebus kepada pengawas dan diikuti guru-guru menyuapkan makanan berkenaan kepada murid mengikut kelas.
Nor Mahali berkata, reaksi yang diterima daripada murid sangatlah positif dan rata-rata mereka menyukai makanan itu walaupun mereka belum pernah merasa ubi kayu yang direbus serta dicicah bersama kelapa dan sambal untuk dimakan.
Menurutnya, keadaan menjadi gamat dengan riuh rendah suara murid apabila apabila ramai antara mereka menambah ubi kayu untuk dimakan beramai-ramai seperti satu komuniti kampung yang terdiri daripada murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“Ada segelintir murid yang pada awalnya dipelawa untuk menjamah ubi kayu tetapi tidak mahu yang mungkin kerana kali pertama melihat makanan itu namun apabila dipujuk dan selepas sekali mencuba mereka sangat menyukainya,” ujar Nor Mahali.
Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman menyuapkan ubi kayu rebus dicicah kelapa parut kepada murid pada Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65.
Sementara itu, Guru Penyelaras sambutan itu, Ramnah Hassim, berkata ada sesetengah murid minta disuapkan berulang-ulang kali manakala murid tahap 1 dan prasekolah pula banyak bertanya kepada guru nama makanan yang dihidangkan berikutan mereka tidak pernah melihat makanan berkenaan.
Menurutnya,
ada juga murid yang tidak menyukai kerana mereka tidak biasa dengan makanan
yang direbus tetapi menyifatkan program itu satu pengalaman berharga serta
menyuntik semangat untuk tidak membenarkan negara kita dijajah lagi.
“Paling menarik sesi suap-menyuap makanan zaman pendudukan Jepun ini ibarat satu kolaborasi dengan program Guru Penyayang apabila ikatan kasih sayang serta saling hormat-menghormati tersemai antara guru dan murid,” katanya.
Murid perempuan turut menikmati ubi kayu rebus bersama kelapa parut yang disuapkan oleh guru dengan penuh kasih sayang.
Beberapa guru menyifatkan program itu sangat memotivasikan diri murid dan guru untuk sentiasa berusaha mempertahankan tanah air daripada penjajahan dengan bangkit menjadi masyarakat yang berpendidikan, bersemangat dan beriman.
Menurut
mereka, menanam rasa syukur terhadap pengorbanan generasi sebelum ini yang
banyak menderita demi memastikan kebebasan anak bangsa walaupun hanya
diingatkan dengan ubi kayu rebus.
“Program seperti ini sangat sesuai dibuat setiap tahun malah wajar membabitkan ibu bapa murid bagi sama-sama menaikkan rasa syukur dan semangat juang untuk memelihara kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.
“Program ini mencetuskan idea mengimbau kesusahan nenek moyang kita sebelum merdeka, kerana kesusahan dan penderitaan inilah menyebabkan ramai yang bangkit berjuang menentang penjajahan. Kini, peranan generasi masa kini harus sedar dan kuat mempertahankan kemerdekaan negara kita,” ujar mereka.
Nor Mahali bersama guru SKeSS yang menjayakan Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-65 dengan hidangan ubi kayu rebus dan sebagainya.