Jom membeli sambil menderma! Aeril-Wawa ajak bina masjid!
Published byPASANGAN artis suami isteri popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal mengajak orang ramai bersama-sama mengumpul saham akhirat dengan pembelian set produk kecantikan terbaharu mereka, 'Bukhary' dan 'Muslim'. Ini kerana setiap keuntungan daripada hasil kutipan jualan akan digunakan untuk mengubah suai sebuah masjid lama sedia ada di Kampung Rengit, Batu Pahat, Johor. - KitaReporters
Wawa dan Aeril di majlis pelancaran set kosmetik terbaharu mereka, 'Bukhary' dan 'Muslim' semalam.
Lagi cerita-cerita mengenai Aeril Zafrel dan Wawa Zainal:
https://kitareporters.com/search?search=aeril
Menyuarakan harapan itu, Aeril, 31, dan Wawa, 29, berharap mampu menghabiskan kesemua 80,000 unit bagi pengeluaran produk ‘Bukhary’ dan ‘Muslim’ edisi terhad, keluaran syarikat mereka, Wawa Cosmetic Sdn Bhd.
“Kesemua hasil keuntungan akan dikumpul dan dilaburkan kepada pembinaan masjid di kampong halaman saya di Rengit, Batu Pahat,” ujar Aeril yang menyasarkan pendapatan mampu mencecah RM1.2 juta untuk tujuan tersebut.
Aeril dan Wawa ditemui selepas majlis pelancaran produk mereka itu di Pusat Konvensyen Shah Alam, Shah Alam, Selangor yang turut disaksikan bersama oleh kira-kira 500 ejen/stokis Wawa Cosmetics.
Memperlihatkan dua produk 'Bukhary' dan 'Muslim' yang dimuatkan dalam packaging model masjid.
Bercerita lanjut, pemilik nama sebenar, Suhairil Sunari ini memberitahu, cetusnya idea untuk melabur kepada pembinaan masjid disuarakan oleh Wawa setelah isterinya itu mendengar syarahan pendakwah dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad yang menyebut mengenai ganjaran di akhirat bagi seseorang individu yang membina masjid jika mempunyai wang yang lebih.
“Terkesan dengan ceramah itulah yang membuatkan Wawa mencadangkan kepada saya untuk membina masjid sebagai saham akhirat kami sekeluarga,” ujar Aeril yang berharap netizen jangan pula anggap mereka riak apabila mendedahkan jumlah pelaburan yang perlu dikumpul bagi pembinaan masjid yang mampu memuatkan lebih kurang 700 orang jemaah itu.
Menyambung lanjut, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin memberitahu, pada asalnya mereka merancang untuk membina sebuah banglo di Bangi, tetapi hasrat itu terpaksa ditangguhkan dahulu demi memberi laluan kepada kehendak membina masjid.
'Teaser' untuk klip video dirakam penggambarannya di Dubai. Hebat kan?Sehubungan itu, kata Wawa, segala perancangan telah pun dibincang oleh Aeril dengan ketua kampungnya dan pengubahsuaian masjid yang tersedia dijangka akan bermula awal tahun hadapan.
Jika perlu, masjid lama yang sudah usang akan dirobohkan sama sekali untuk membina yang baru, tambah Aeril.
“Tetapi masjid berkenaan akan terus kekal dengan namanya, saya tidak akan menukarkannya,” ujar Aeril yang mahu berkongsi kerja amalnya itu bersama sokongan orang ramai.
“Marilah kita sama-sama mengumpul saham akhirat,” seru Aeril sambil berpaling ke arah isteri tercinta.
Set kosmetik, Edisi Glam Raya yang terdapat dalam dua versi, 'Bukhary' dan 'Muslim' dijual pada harga RM79 seunit mengandungi 2 produk pengilat bibir (lip matte), 2 jenis minyak wangi dan satu set 'makeup'.
“Beza antara dua versi terletak pada warna dan bau pewanginya,” jelas Wawa.
Sementara itu, beralih ke bidang seni lakonan, Wawa dan Aeril memberitahu yang kedua-dua mereka baru sahaja habis penggambaran telemovie di bawah produksi sendiri yang diberi judul ‘Sabda Kekasih’.
“Setelah 4 tahun tidak berlakon, ini dikira ‘comeback’ Wawa dalam industri,” akui Wawa sambil mendapat usikan dari Aeril yang memberitahu ‘Wawa nak jadi penyanyi pula’.
Biar betul? Korang pernah ke dengar Wawa menyanyi?
“Mungkin untuk lagu OST telemovie je,” jawab Wawa diringi ketawa namun mengakui beliau minat dalam menghasilkan lagu.
Pun begitu, bila telemovie berkenaan dapat disiarkan dan di kaca TV mana pula ia akan ditayangkan, belum dikenal pasti.
“Segalanya masih dalam perbincangan dengan pihak stesen TV,” akhiri pasangan romantis ini.
Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang bernikah secara rahsia pada 2013 dikurniakan tiga cahaya mata, seorang lelaki berusia 7 tahun dan dua orang perempuan 5 tahun dan 7 bulan. - KitaReporters
"Kita nak ke mana sayang...." tanya Wawa. Jawab Aeril "Kita nak bina masjid"... antara dialog dalam teaser promo ini.