Bertemu lagi.... Piala Malaysia, pertandingan bola sepak tertua di Asia memasuki usia satu kurun pada tahun 2021 ini. Bukan mudah untuk sesebuah pertandingan mampu kekal lama apatah lagi pada ketika liga mula mengambil tempat. Tapi, itulah keunikan Piala Malaysia yang bukan sahaja masih kekal relevan malah tetap terpancar auranya. 

Maka sewajarnya, sempena 100 tahun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku pentadbir atau Malaysian Football League atau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), badan pengendali pertandingan bola sepak negara ini, memikir suatu sambutan luar biasa untuk meraikan ulang tahun itu.

Namun, setakat ini, bahang sambutan itu belum terasa, hambar dan seolah-olah ulang tahun ke-100 itu tidak membawa sebarang pengertian. Ikuti komen Semut Api mengenai hal ini.


Selangor pasukan paling unggul dalam pertandingan Piala Malaysia apabila menjuarainya sebanyak 33 kali.


SAMBUTAN 100 TAHUN PIALA MALAYSIA HAMBAR

Tahun ini (2021), genap 100 tahun pertandingan Piala Malaysia atau pada awal diwujudkan pada 1921 dikenali sebagai Piala Malaya dan kemudian mulai 1933 dikenali sebagai Piala HMS Malaya sebelum bertukar kepada Piala Malaysia pada 1967.

Semut Api sangat menghargai inisiatif MFL yang berusaha memeriahkan ulang tahun ke-100 ini dengan merancang pelbagai program. Namun, khabarnya banyak terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Melalui rancangan Jejak 100 Tahun Piala Malaysia yang disiarkan melalui saluran YouTube MFL, kita dibawa mengimbas kembali pengalaman beberapa orang bekas pemain terutama yang beraksi pada perlawanan akhir.

Ini memang satu usaha yang baik, namun alangkah lebih menarik jika MFL dapat mengimbas secara lebih mendalam terutama berkaitan sejarah awal pertandingan ini kerana setakat ini, fokus lebih terarah kepada pertandingan era 1980-an dan 1990-an hingga sekarang. Tak taulah kot Semut Api terlepas episod lain.

Pada masa sama Semut Api hendak mencadangkan supaya MFL mengeluarkan pelbagai cenderamata khas sebagai meraikan ulang tahun ke-100 itu. Mungkin mereka boleh bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk mengeluarkan stem edisi khas terutama menjelang final Piala Malaysia 2021 nanti.

Cenderamata berbentuk jersi, mafla, pelitup muka, syiling dan lain-lain juga boleh diusahakan bagi dijadikan kenangan oleh peminat bola sepak tanah air.

Sebagai penulis, satu perkara yang Semut Api ingin sangat FAM atau MFL usahakan adalah menerbitkan sebuah buku khas sempena 100 Tahun Piala Malaysia. Buku ini kelak boleh dijadikan rujukan oleh generasi akan datang.

Walaupun mungkin ramai beranggapan, bahan cetak sudah tidak relevan dengan zaman teknologi sekarang tapi bagi Semut Api ia tetap mempunyai nilai tersendiri yang bakal menjadi khazanah negara pada suatu hari kelak.

MFL juga boleh berkolaborasi dengan Hall of Fame Selangor yang diusahakan oleh sahabat Semut Api, Norrisyam Ramli untuk mengadakan pameran khas Piala Malaysia dari 1921 hingga sekarang.

Sebenarnya, banyak yang boleh dilakukan untuk meraikan ulang tahun kelahiran Piala Malaysia ke-100 ini.

Rasanya, orang-orang yang duduk dalam MFL sekarang pun bukan calang-calang, semuanya mempunyai latar belakang serta pengalaman yang luar biasa, jadi hasilkanlah sesuatu yang luar biasa untuk meraikan 100 Tahun Piala Malaysia!

Semut Api: Orang biashe-biashe


Amirudin (baju hitam) sedang menurunkan tandatangan sebagai tanda perasmian Hall Of Fame Selangor di Stadium Shah Alam, 24 Oktober, 2021. Kredit foto: FB Shammokh Hall Fame Selangor.


HOFS, WAHAI FAM JELING-JELING LA SIKIT

Bila disebut Hall Of Fame Selangor (HOFS), tidak dapat tidak Semut Api kena beri tabik spring kepada seorang individu bernama Norrisyam Ramli atau lebih dikenali sebagai Shammokh.

Ini kerana segala usaha keras Sham membangunkan HOFS sejak bertahun-tahun lamanya dengan menghadapi pelbagai rintangan akhirnya mendapat pengiktarafan daripada kerajaan negeri Selangor apabila ia dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 24 Oktober, 2021 lalu.

Sebagaimana pernah dilaporkan oleh KitaReporters.com, pada peringkat awal, Sham terpaksa menggunakan duit sendiri untuk memastikan HOFS menjadi realiti sehinggakan pada suatu ketika hanya tinggal RM1 dalam poketnya!

Kini, dengan kerajaan negeri sendiri sudah mengiktiraf usahanya itu, diharap pihak yang terbabit secara langsung dengan bola sepak Malaysia seperti FAM, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), MFL serta persatuan-persatuan dan kelab-kelab lain bolehlah turut membantu.

Ini kerana difahamkan HOFS turut mahu mengumpul khazanah bola sepak Malaysia secara keseluruhan, bukan hanya tertumpu di Selangor. 

Pada Semut Api, usaha ini wajar disokong dan dibantu kerana HOFS kelak boleh dijadikan hab rujukan bola sepak Malaysia bagi generasi akan datang. FAM jeling-jeling la sikit.

Semut Api: Hanya mampu beri sokongan moral.


Gambar acara makan-makan di bilik VVIP Stadium Hang Jebat yang tular melalui media sosial.


MU LANGGAR SOP, MFL JANGAN BAGI MUKA

Semut Api sangat setuju dengan ketegasan ditunjukkan oleh CEO MFL, Stuart Ramalingam berhubung isu pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) oleh pasukan Melaka United (MU) FC sebagaimana tular melalui media sosial, baru-baru ini.

Sebagaimana ditularkan, MU mengadakan acara makan-makan di bilik VVIP Stadium Hang Jebat selepas perlawanan antara Melaka dengan Kelantan United FC pada aksi Piala Malaysia, Jumaat, 29 Oktober, 2021 lalu.

Stuart menegaskan MFL tidak akan berlembut dan akan mengambil tindakan tegas atas sebarang pelanggaran SOP oleh mana-mana pasukan termasuk MU jika didapati dkawaan itu benar. Sebagai rekod, dalam SOP ditetapkan MFL selepas membenarkan kehadiran penonton, aktiviti makan dan minum tidak dibenarkan.

Semut Api memang sokong ketegasan MFL kerana soal SOP memang tidak boleh dikompromi memandangkan negara kita belum selamat daripada ancaman Covid.

Lihatlah apa berlaku pada Negeri Sembilan, habis satu pasukan dilanda Covid-19 sehingga mereka terpaksa menarik diri daripada pertandingan Piala Malaysia 2021. Kita tidak mahu perkara sama berlaku ke atas pasukan lain kerana kecuaian pihak tertentu. So, jangan bagi muka kepada pasukan yang ingkar SOP! 

Semut Api: Minat lagu ‘Apa Guna Berjanji’ nyanyian Saloma. - KitaReporters

14
12
0
12
0

Copy Link: