Pusat Jagaan Sang Riang amal Keluarga Malaysia! Urus warga emas tersisih! Pelbagai bangsa, agama!
Published byASPIRASI Keluarga Malaysia seolah-olah sudah dipraktikkan oleh Pusat Jagaan Pertubuhan Pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Triang, Pahang, apabila menempatkan warga emas tersisih tanpa waris daripada pelbagai bangsa dan agama duduk di bawah satu bumbung.
Pusat yang sudah beroperasi lebih 10 tahun itu bukan setakat
menyediakan pelbagai kemudahan mengikut kesesuaian pegangan agama warga emas terbabit
seperti menyediakan surau, bilik pengurusan jenazah dan dapur serta petugas
bagi memasak makanan bagi mereka yang beragama Islam.
Yap Yoke Moey memberi penerangan mengenai operasi Pusat Jagaan Pertubuhan Pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang kepada sukarelawan PJMM dan PJNH baru-baru ini.
Pengerusinya, Yap Yoke Moey, berkata pusat itu tidak mengamalkan sebarang paksaan, pengawalan terhadap warga emas terbabit kerana mereka bebas bergaul serta meneruskan ibadat mengikut anutan agama masing-masing.
Menurut beliau, di pusat berkenaan ada warga emas daripada
bangsa Cina, India, Melayu dan sebagainya yang ditempatkan di situ oleh pihak
terbabit terutama selepas mendapatkan rawatan di hospital kerana tidak memiliki
waris untuk menumpang kasih.
“Kita menerima mereka dengan hati yang terbuka dan tiada
bayaran yang dikenakan kerana pusat ini beroperasi hasil daripada sumbangan dan
keprihatinan masyarakat untuk menghulurkan bantuan atau dana bagi memastikan
warga emas dapat meneruskan kelangsungan hidup.
“Jika ada warga emas ingin meninggalkan pusat ini apabila
berasakan diri mampu berdikari serta sihat, kami tidak melarang untuk mengelak
mereka berasa tertekan dan perkara itu membabitkan beberapa proses supaya tidak
disalah anggap oleh masyarakat di luar.
“Di sini kami jaga mereka dengan penuh rasa bertanggungjawab, dipupuk nilai kasih sayang dan menyediakan pelbagai kemudahan rawatan kesihatan termasuk ambulan bagi membawa warga emas segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Sebahagian sukarelawan PJMM dan PJNH tekun mendengar penerangan petugas pusat jagaan berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam taklimat ringkas kepada pihak
pengurusan dan 30 sukarelawan Pusat Jagaan Mahmudah (PJMM) dari Semenyih dan Pusat Jagaan Nur
Hasanah (PJNH) dari Beranang, Selangor, yang mengadakan lawatan ke
pusat berkenaan pada hujung minggu lalu.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia,
Azman Rasman; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; dan Timbalan Pengerusi Badan Didikan Islam UDA Holdings
Berhad (BADIM), Azhar Yop.
Lawatan berkenaan diatur menerusi Pegawai Sosial Perubatan, Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Azhar Ahmad bersama-sama aktivis masyarakat di Temerloh, Siti Hawa Abdul Latiff bersempena Program ‘Kasihku Tertumpah di Pahang’ untuk menginfakkan 600 naskhah al-Quran, kelengkapan solat dan barangan makanan keperluan asas.
Infak dalam program itu adalah untuk beberapa pusat, pondok dan madrasah tahfiz serta kepada keluarga mangsa banjir awal tahun ini sekitar Temerloh, Mentakab, Bera, Triang dan Chenor.
Program penyerahan infak al-Quran, kelengkapan solat serta barangan makanan keperluan asas itu berlangsung di rumah aktivis masyarakat, Rosmawati Mohd Hanafiah di Kampung Seberang Guai, Bera, Pahang.
Sukarelawan PJMM dan PJNH merakam kenangan dalam pusat jagaan berkenaan yang kelihatan bersih dan selesa.
Yoke Moey berkata, pusat berkenaan sentiasa menerima kunjungan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melihat secara lebih dekat bagaimana operasi dan pengurusan dilaksanakan selain dapat merapatkan hubungan perpaduan.
Jelas beliau, kebiasaan mereka yang datang itu kagum apabila
melihat suasana pusat ini yang mengutamakan kebersihan, penyediakan tempat
ibadat serta pelbagai kemudahan lain terutama penjagaan kesihatan warga emas
yang dibekalkan ubat-ubatan.
“Kami sangat mengalu-alukan kunjungan sebegini kerana
berkesempatan untuk berkongsi ilmu dalam menguruskan rumah kebajikan di samping
dapat bertukar pandangan dan maklumat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan
menjaga warga emas,” katanya.
Sementara itu jurucakap kepada PJMM dan PJNH, Alias Ahmad,
berkata kunjungan itu bukan sahaja memberi peluang kepada semua pihak
mempelajari perkara baharu khusus selok-belok mengurus warga emas tersisih
kerana kebiasaan ada antara mereka itu boleh bertindak agresif apabila
berasakan diri tidak mendapat jagaan sempurna.
“PJMM dan PJNH akan mengambil sikap proaktif untuk melakukan sesuatu perubahan baharu di pusat jagaan masing-masing selepas kunjungi ini kerana banyak perkara boleh dipelajari selain mempraktikkan konsep Keluarga Malaysia yang dicanangkan kerajaan sekarang ini,” katanya. - KitaReporters
Yoke Moey (depan tiga dari kiri) bersama-sama sukarelawan PJMM dan PJNH sebelum bersurai.