Terbaiklah KPLB, KKM! Tunggu di rumah! Petugas datang ke rumah beri vaksin! Warga emas, OKU!
Published byKredit foto-foto: Facebook Abdul Rahman Mohamad
Zaman sekarang telah berubah, jika rakyat tiada kemampuan untuk datang ke premis kerajaan, maka jentera kerajaan itu sendiri yang akan turun dan masuk ke rumah rakyat berkenaan.
Begitulah yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam usaha mempercepatkan proses pendaftaran dan penerimaan vaksin Covid-19 di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kawasan pedalaman
KPLB sedar saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa 'jalan keluar' utama yang kita ada pada hari ini dari pandemik Covid-19 hanyalah melalui pembentukan imuniti kelompok, iaitu 70 hingga 80 peratus dari populasi yang boleh divaksin telah terima vaksin yang lengkap.
Tidak tunggu lama, KPLB telah melakukan kerjasama baik dengan KKM untuk memastikan lebih ramai penduduk luar bandar dan pendalaman berjaya mendaftar dan menerima vaksin Covid-19 pada kadar segera.
Menariknya, Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar sendiri telah turun padang bersama-sama pasukan pendaftaran dan pemberi suntikan vaksin Covid-19 dari petugas KKM.
Dalam satu hantaran dalam laman Facebook, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menceritakan tindakan KPLB tersebut mendapatkan seberapa ramai penduduk luar bandar dan pendalaman bagi menyokong dan menjayakan proses imunisasi.
"Saya bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lipis telah turun padang bagi membantu urusan pendaftaran dan pemberian vaksin kepada masyarakat warga emas yang terlantar dan OKU di Kampung Kuala Kenong, Lipis.
"Bagi mencapai objektif utama Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 iaitu imuniti kelompok dan seiring dengan usaha kerajaan untuk mempercepatkan roll-out vaksinasi, sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), prihatin dan mengambil kira maklum balas rakyat terutama di kawasan luar bandar bagi memastikan tiada satu pun golongan yang tercicir dalam program ini," tulisnya dalam laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis memaklumkan, usaha ini juga hasil daripada rintihan anak-anak perantau yang risau dengan ibu bapa mereka di kampung yang tiada peranti untuk mendaftar vaksin.
Mereka juga turut risau tentang kekangan ibu bapa di kampung terutama yang berada di pedalaman dan OKU untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya sudah tiba masa janji temu vaksinasi.
"Saya juga mendengar beberapa keluhan dan kerisauan anak-anak di perantauan kerana ada antara warga emas ini yang tidak mempunyai peranti untuk mendaftar mysejahtera, ada juga anak-anak yang bantu daftarkan, namun ada kekangan untuk membolehkan mereka hadir ke pusat vaksinasi seperti tiada kenderaan terutama yang terlantar dan tidak boleh bergerak atas faktor kesihatan.
"Dalam masa yang sama usaha untuk meyakinkan masyarakat luar bandar tentang kepentingan vaksinasi terus dilakukan. Saya yakin dengan usaha, pujukan, dan penerangan menggunakan sains dan data, mereka ini akan ubah fikiran dan seterusnya mendaftarkan diri secara sukarela bagi mendapatkan vaksin ini," katanya lagi.
Ternyata usaha yang dilakukan oleh KPLB dengan kerjasama KKM ini dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan berbangkit dalam kalangan warga emas, OKU dan mereka yang berada di pendalaman luar bandar.
Berikut merupakan beberapa keping gambar semasa program pendaftaran dan pemberian vaksinasi yang dilakukan di Kampung Kuala Kenong, Lipis, Pahang baru-baru ini. - KitaReporters
Kredit-kredit foto: Facebook Abdul Rahman Mohamad