KALAU rakyat Malaysia bakal menikmati Bantuan Prihatin Nasional bagi meringankan beban mereka mengharungi pandemik Covid-19, bola sepak antarabangsa juga dijanjikan dengan dana yang mirip dan kini popular untuk ‘Mak Cik Kiah dan keluarganya’ itu. : KitaReporters

PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kanan) mempunyai hubungan erat dengan Gianni Infantino (tengah) yang sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia. - Kredit foto FAM


Atas erti sebenar bola sepak dan semangat sepasukan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga bersedia menghulurkan dana kepada 211 persatuan negara ahli gabungannya yang terjejas dek penularan pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menangguhkan segala aktiviti sukan itu terutama liga bola sepak kebangsaan masing-masing.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan ahli gabungan penuh FIFA sejak 1958 ketika dipimpin oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, dua tahun selepas menganggotai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). 

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, “inilah maknanya bola sepak dan semangat sepasukan. Kita perlu berterusan begini.

“Bagi dana bantuan kecemasan (akibat Covid-19)… hasil usaha yang kami lakukan bersama dalam FIFA sepanjang empat tahun lalu, kami hari ini berada dalam satu situasi kewangan yang amat kukuh.

“Anda perlu tahu bahawa kami akan berada di sana dan kami akan mencari penyelesaian bersama,” kata pemegang dwikerakyatan Switzerland dan Itali berusia 50 tahun ini dalam pesanan video dari ibu pejabat FIFA di Zurich pada Sabtu, 11 April 2020.

Seakan meminjam dan mahu menyerap semangat slogan bakal juara Liga Perdana England 2019/2020, Liverpool, kata Infantino kepada Majlis FIFA dan ahli gabungan persekutuan: 

“Anda tidak akan bersendirian (you'll never walk alone) dan dunia akan tahu ke mana wang itu pergi dan sama pentingnya, mengapa wang itu ke sana.”

"Ini bukanlah wang FIFA (tetapi) wang bola sepak. Apabila diperlukan, kami mesti fikirkan apa yang boleh dibuat untuk membantu," kata Infantino. - Kredit foto MFL


Infantino mengakui, FIFA kini menikmati satu reputasi yang baik pada pasaran kewangan yang membantu mereka menyatukan sebuah yayasan kukuh dengan simpanan yang besar.

“Namun simpanan kami bukanlah wang FIFA. Itulah wang bola sepak. Jadi apabila bola sepak memerlukan, kami mesti fikir apa yang boleh kami buat untuk membantu. 

"Inilah tanggungjawab dan tugas kami,” katanya yang menyandang ‘kerusi panas’ sukan paling popular di muka planet ini sejak 26 Februari 2016.

Proses perundingan katanya, sudah pun berjalan untuk menilai impak kewangan terhadap bola sepak ekoran wabak Covid-19  dalam menyediakan tindak balas yang betul berdasarkan sebuah dana dengan sebuah struktur tadbir urus yang bebas.

FIFA katanya, yang masih bergantung kepada kelulusan jawatankuasa berkaitan, akan cuba mendahulukan segera bantuan kewangan itu menerusi pembayaran kedua kos operasi ahli-ahli gabungan dari Program Maju FIFA yang dijadualkan lewat tahun ini.

“Memandangkan keadaan luar dugaan ini, saya akan memohon supaya syarat-syarat tambahan yang perlu dipenuhi berkaitan program itu, dikecualikan bagi tahun 2019 dan 2020 supaya pembayaran penuh dapat dijelaskan,” katanya.

SELAIN FIFA, FAM bekerjasama rapat dengan AFC melalui Presidennya, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa (kiri) dalam kempen memerangi kesan Covid-19. - Kredit foto MFL


Jika bola sepak mampu mengadakanperbincangan di mana setiap orang menyumbangkan secara positif dan sentiasa memikirkan kepentingan dunia berbanding individu, Infantino juga yakin masa depan mampu bertambah baik dari yang lepas dan semua pihak akan lebih bersedia.

Namun kesihatan sentiasa akan menjadi keutamaan malah tegasnya, “tiada perlawanan, tiada pertandingan, tiada liga yang berbaloi untuk membahayakan walau satu nyawa manusia pun. 

"Semua orang di dunia wajar berfikir dengan jelas mengenainya.

“Akan lebih tidak bertanggungjawab untuk memaksa pertandingan diteruskan jika keadaan tidak 100% selamat.

"Jika kita perlu menunggu lebih lama, kita mesti melakukannya. Lebih baik menunggu lebih lama sedikit daripada mengambil sebarang risiko.

“Saya yakin bola sepak akan memainkan satu peranan penting dalam membawa orang ramai bersama semula apabila keadaan selamat untuk bermain kembali dan bersama rakan-rakan dan keluarga kita dalam kumpulan yang besar.

“Ayuhlah bersedia bagi detik itu.

"FIFA bersama anda dalam masa-masa segetir ini dan bersama, kita akan menang!,” kata Infantino, bapa kepada empat anak. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: