SEKARANG ini di mana saja kita dapat lihat orang ramai berbasikal yang kini menjadi salah satu hobi masyarakat Malaysia. Sukan berbasikal ini menjadi ikutan akibat kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pandemiK COVID-19.  Golongan artis termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza juga dilihat sering berbasikal secara berkumpulan (sebelum hamil kali kedua) sebagai salah satu aktiviti beriadah. : KitaReporters 


Azhan Rani sudah lama melakukan aktiviti berbasikal pada waktu senggang. - Foto kredit: IG Azhan Rani


Lagi kisah-kisah berkaitan basikal:

https://kitareporters.com/search?search=basikal


Malah akhir-akhir ini timbul isu yang memaparkan penunggang basikal (baharu) tidak tahu etika berbasikal dengan cara selamat dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain. 

Salah seorang  penunggang basikal yang aktif sebelum ini tapi telah menggantung basikalnya ialah pelakon Azhan Abdul Rani, 44. Azhan yang sinonim dengan watak Ustaz Syed Hamadi dari drama bersiri Nur memberitahu, beliau aktif berbasikal sejak 2016.

Kata Azhan, beliau mempunyai beberapa koleksi basikal iaitu folding bike (basikal lipat), mountain bike (basikal gunung) dan road bike (basikal jalan raya).

“Bila shooting jauh-jauh saya bawa basikal dalam kereta. Kalau saya tak ada scene atau sampai sehari awal saya akan kayuh dulu, tak kisahlah penggambaran di Kedah atau Perlis, saya akan bawa basikal. 



Impian untuk berbasikal dari Kuala Lumpur ke Langkawi tinggal kenangan dan kini sibuk dengan aktiviti hiking pula.


“Saya ada basikal jenis folding bike, mountain bike, road bike, touring bike dan juga motorbike. Saya punya perancangan nak kayuh basikal dari Kuala Lumpur sampai Langkawi, dah complete semua barang, sudahnya, arwah bapa sakit, jadi rancangan itu tergendala. 

“Tahun 2016, arwah bapa saya meninggal. Tahun itu sepatutnya saya nak buat kayuhan. Saya dah ada kawan-kawan hiking yang nak joint dan beli basikal macam saya. Masa tu kami lima orang, bila saya tak main basikal, mereka pun tak main dah,” katanya tentang aktiviti berbasikal ditinggalkan sudah lama itu dan kini aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi pula.

Bagaimanapun kata Azhan, beliau masih menyimpan touring bike, sementara basikal lain sudah dijual.

“Kalau nak mula kayuh balik pun mungkin basikal tu la (touring bike). Sekarang ini jadi trend orang main basikal. Bila ramai main, saya nak mula balik pun malas. Saya dulu main basikal untuk suka-suka bagi melepaskan bebanan kerja.

“Tapi bila terlalu ramai, saya tak akan main basikal kerana saya tak dapat balik aim saya dulu. Aim saya adalah untuk release daripada satu watak, satu job daripada job yang lain. Basikal atau hiking adalah cara untuk saya lepaskan tension,” katanya ketika ditemui di lokasi telefilem Fateema Azzahra di kuarters Bomba Sri Hartamas, baru-baru ini.


Inilah teman baik Azhan Rani selepas menggantung basikal. 


Bercerita lanjut tentang aktivitinya jika tidak terikat di set penggambaran, Azhan mengakui rindu untuk kayuh basikal namun sekarang ini beliau lebih kepada hiking (mengembara).

“Saya rindu untuk kayuh basikal tapi sekarang ini saya lebih fokus kepada hiking. Kalau hiking saya tak akan seorang diri tetapi dengan grup. Kalau COVID-19 ini habis cepat, saya nak mula balik hiking.

“Umur pun semakin lanjut, saya perasan tenaga pun dah tak macam dulu. Saya nak explore banyak gunung di luar Malaysia. Saya sempatlah hiking ke Everest Base Camp. Itu sebenarnya dah terlalu tinggi buat saya dan tak ada dalam senarai pun nak ke sana.

“Paling jauh saya pernah pergi di Indonesia, Gunung Rijani. Bila orang jemput saya untuk ke Everst Base Camp tu, awalnya saya kata tak mampu pergi. 

"Grup ni yang bawa Amy Search pergi dulu. Dia bakar saya dengan ayat, Amy Search yang umur 50 lebih boleh pergi, takkan abang tak boleh pergi. Saya ambil cabaran itulah sebenarnya,” imbaunya tentang pengalaman 2019 itu.


Bersama penerbit NS Star Sdn. Bhd., Darling Ngasri yang menawarkan Azhan Rani berlakon Fateema Azzahra.


Menyentuh mengenai peranannya dalam telefilem Fateema Azzahra, arahan Amor Rizan dan terbitan NS Star Sdn. Bhd., itu, kata Azhan, beliau berperanan sebagai bapa kepada Elisya Sandha.

“Sebenarnya telefilem ini bermula sewaktu saya buat drama radio dengan Darling (Ngasri). Kebetulan masa itu ada abang Jalil Hamid sekali. Saya cakap pada Darling, saya pernah kerja dengan abang Jalil tapi lepas saya tengok Bisik Kepada Langit, masa tu arwah abah baru meninggal, saya terkesan dengan lakonan dia.

“Saya rasa Jalil Hamid, banyak aura daripada arwah abah saya. Saya pernah menangis tengok cerita tu. Lepas tengok, saya terus call abang Jalil. Kalau orang tanya, dengan siapa saya nak berlakon, saya akan jawab nak berlakon dengan Jalil Hamid dan jadi anaknya. 


Impian untuk berlakon dengan Jalil Hamid dalam Fateema Azzahra tidak kesampaian.


“Tak sangka Darling ambil itu sebagai satu benda yang serius, dia kata okey dia akan cuba cari penulis skrip dan tidak lama kemudian dia mesej saya dan kata Azhan kita buat cerita ni Fateema Azzahra.

“Dia bayangkan saya jadi ahli bomba mula-mula, tapi selepas beberapa ketika dan sebagainya, bila dah ditentukan abang Jalil tak dapat buat. Darling kata, kita teruskan juga cerita ini dan aim saya masih tak tercapai dan saya tak pegang watak bomba tu. 

“Saya pegang watak yang sepatutnya dibawa oleh abang Jalil. Darling kata kita simpan dulu nanti buat projek dengan abang Jalil lagi. Dalam telefilem ini saya jadi bapa kepada Elysa Sandha,” ceritanya tentang telefilem yang bakal disiarkan di TV3 nanti.

Jelas Azhan, beliau sudah kerap menjadi bapa walaupun belum pernah berumah tagga. Malah beliau tidak ada masalah kerana lakonannya mewakili watak dan bukan dirinya yang sebenar.

“Lebih susah sebenarnya bila berlakon watak yang bukan diri sendiri kerana ia memerlukan pelakon itu lebih banyak kerja. Kalau sebagai Azhan Abdul Rani, saya tak pernah pun ada pengalaman berumah tangga, saya tak ada isteri dan anak tapi sebagai pelakon saya ambil tanggungjawab itu,” katanya tenang. - KitaReporters


Memegang watak sebagai bapa, biarpun dalam kehidupan sebenar Azhan masih menanti kehadiran suri rumah tangga.


4
0
0
1
0

Copy Link: