Pertaruhan TCH! Harimau Malaya tagih muka baharu! Tonggak JDT dihadkan! Hanya de Paula kekal!
Published bySI import Harimau Malaya, Liridon Krasniqi atau Mat Don (10) dan Mohamadou Sumareh (13) tidak dipanggil oleh Tan Cheng Hoe kali ini. - Kredit foto: FAM
BUKAN sebab kemerosotan prestasi dalam Liga Super 2021 sebaliknya lebih kepada cuba memberikan peluang kepada kumpulan pemain lain.
Malah tidak timbul atau ada kaitannya dengan rungutan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jun 2021 lalu yang turut bimbang risiko kecederaan para tonggaknya. Beliau turut hairan mengapa terlalu ramai pemain Harimau Selatan bersama Harimau Malaya pada baki pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun kali ini Safawi Rasid, Mohd. Farizal Marlias dan dua tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi (dipinjamkan ke kelab India, Odisha) tiada dalam perancangan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe apabila senarai 24 pemain negara dikeluarkan pada 23 September 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya
SAFAWI Rasid diketepikan daripada siri persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan selepas dikritik beraksi hambar di Dubai. - Kredit foto: FAM
Safawi, Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018 dan 2019 serta Farizal, penjaga gol utama JDT kerap membarisi kesebelasan Harimau Malaya ketika menentang UAE dan Vietnam di Dubai serta siri persahabatan dengan Kuwait dan Bahrain (akhir Mei 2021).
Ramai peminat turut mengkritik sumbangan yang tidak seberapa oleh pemain-pemain naturalisasi dari Gambia, Kosovo dan Brazil itu sehingga Harimau Malaya dipintas oleh Vietnam dalam pemburuan tiket Piala Dunia di Qatar.
Turut tiada daripada skuad kelayakan itu ialah lima lagi pemain JDT iaitu Adam Nor Azlin, La'Vere Corbin-Ong, Arif Aiman Hanapi, Syamer Kutty Abba dan Matthew Davies.
Senarai baharu Cheng Hoe ini bertujuan menghadapi dua perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa di Jordan, menentang tuan rumah di Stadium Raja Abdullah II, Amman pada 6 Oktober 2021 dan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Oktober 2021.
Jordan dan Uzbekistan menghuni ranking dunia yang lebih baik, ke-93 dan 84, berbanding Malaysia, ke-154.
MOHD. Farizal Marlias (1), Syamer Kutty Abba (14), La'Vere Corbin-Ong (22), Nor Azam Azih (8) dan Matthew Davies (depan, kanan) turut tiada dalam skuad 24 pemain negara ke Amman, Oktober 2021 ini. - Kredit foto: FAM
"Saya juga perlu beri peluang kepada kumpulan pemain lain. Tidak boleh hendak panggil sampai 30 atau 40 pemain sekali gus. Bukan masalah prestasi semasa dalam liga (ramai tonggak JDT diketepikan). Mereka pun sudah lama bersama pasukan negara sebelum ini.
"Selain persahabatan itu, kami akan hadapi Piala AFF (5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022) dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 (Januari atau Februari 2022). Jadi kelompok pemain yang besar memang diperlukan untuk dipilih," kata Cheng Hoe.
TIGA daripada lima tonggak Harimau Selatan ini kembali dipanggil Harimau Malaya iaitu Aidil Zafuan Radzak (7), Guilherme de Paula (16) dan Akhyar Rashid (19). - Kredit foto: FAM
Hanya 12 pemain kelayakan di Dubai yang dikekalkannya termasuk seorang lagi pemain naturalisasi, Guilherme de Paula di samping tonggak lain JDT seperti Aidil Zafuan Radzak, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad.
Turut dipanggil untuk ke Amman ialah trio yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium), Dion-Johan Cools (FC Midtjylland, Denmark) dan Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand).
BADDROL Bakhtiar yang kali terakhir menyarung jersi negara ialah persahabatan menentang Tajikistan pada 9 November 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM
Penjaring terbanyak tempatan Liga Super dari Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar yang kali terakhir menyertai skuad negara pada 2019, kembali memikat Cheng Hoe di samping penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat atau dikenali sebagai Apek mahupun tonggak Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan D. Kenny Pallraj.
Muka baharu kali ini termasuk penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Quentin Cheng dan Mohamad Al Hafiz Harun (Penang FC), Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC) serta pemain Terengganu FC, Mohamad Hakimi Abdullah.
"Baddrol menunjukkan daya kepemimpinan dengan KDA selain muncul penjaring terbanyak tempatan dalam Liga Super. Impak positifnya menonjol," kata Cheng Hoe.
TAN Cheng Hoe (kanan) dan penolong jurulatih negara, S. Balachandran. - Kredit foto: FAM
Kalamullah pula ujarnya, banyak memberikan sumbangan bernilai kepada PJ City FC dalam liga dan aksinya telah lama dipantau barisan jurulatih negara.
Ketika kem latihan pusat di Johor Bahru dari 22 hingga 30 Mac 2021 lalu dan kelayakan di Dubai, Cheng Hoe memanggil penjaga gol Penang FC, Samuel Jacob Somerville dan pemain lampai Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim serta Apek.
Senarai 24pemain Malaysia menentang Jordan dan Uzbekistan:
Penjaga gol: Khairulazhan Khalid (Selangor FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC).
Benteng: Aidil Zafuan Radzak (JDT FC), Sharul Nazeem Zulpakar, Syahmi Safari (SelangorFC), Irfan Zakaria (KL City FC), Mohamad Hakimi Abdullah, Arif Fadzilah AbuBakar (Terengganu FC), Rizal Ghazali (KDA FC), Dion-Johan Cools (FC Midtjylland, Denmark), Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand), Quentin Cheng (Penang FC).
Perantara: Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid (JDT FC), D. Kenny Pallraj, Akram Mahinan (KL City FC), Baddrol Bakhtiar (KDA FC), Mohamad Al Hafiz Harun (Penang FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC).
Penyerang: Syafiq Ahmad, Guilherme de Paula (JDT FC), Faisal Abdul Halim (Terengganu FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium).
KALAMULLAH Al-Hafiz Mat Rowi kerap menyelamatkan gawang PJ City FC dalam Liga Super 2021. - Kredit foto: PJ City FC
FAISAL Abdul Halim (depan) kembali mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe selepas kem latihan pusat di Johor Bahru, Mac 2021 lalu. - Kredit foto: MFL