Berita Terkini| Ramai tak daftar lagi sebagai penerima vaksin! KKM sedang kenal pasti puncanya

Published by
KitaReporters

KADAR pendaftaran untuk mendapatkan vaksin yang kurang memberangsangkan ketika ini berpunca daripada sikap rakyat sendiri. Kredit foto: MalaysiaGazette.


SATU kajian bagi mengenal pasti punca kegagalan mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat masa ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sehingga hari ini jumlah pendaftaran yang kita terima terlalu rendah hanya 30 peratus yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

 “Saya tak puas hati, jadi kita nak tahu adakah kempen yang kita lancarkan kurang mendapat sambutan atau orang ramai takut ataupun penduduk tak tahu bagaimana cara mahu mendaftar,” katanya selepas merasmikan program Malaysia Prihatin Vaksinasi Covid-19 Lindungi Diri, Lindungi Semua di Segamat pada Ahad 4 April 2021.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata hanya iaitu 7.6 juta daripada 26.7 juta keseluruhan penduduk di negara ini mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Dr Adham menjelaskan kadar pendaftaran untuk mendapatkan vaksin yang kurang memberangsangkan ketika ini berpunca daripada sikap tunggu dan lihat dalam kalangan rakyat.

“Ini yang kita bimbang kerana apabila pendaftaran kurang kita terpaksa pergi ke sana dan pergi ke sini. Kebimbangan berhubung kadar pendaftaran semasa akan mendatangkan kesulitan pada saat-saat akhir ketika proses pemberian suntikan tersebut.

Sehubungan itu, KKM bakal menggunakan ejen setiap daerah sebagai perantara kepada masyarakat untuk menyebarkan maklumat tepat mengenai suntikan vaksin berkenaan.

“Pendaftaran kaunter secara manual di klinik kesihatan awam dan swasta serta pejabat kesihatan telah pun dibuka bagi memudahkan urusan individu yang kurang berupaya menggunakan teknologi,”ujarnya lagi. - KitaReporters

0
0
0
2
0

Copy Link: