Video| Dua slot baharu Deen, Kesuma rai ulang tahun ke-11 TV AlHijrah! Ayuh bangkit bersama!
Published bySEMPENA ulang tahun TV AlHijrah ke-11 yang bakal disambut pada 10 Ogos 2021 ini, rangkaian stesen televisyen Islamik itu bakal melancarkan dua slot baharu, Slot Deen dan Slot Kesuma di samping mengetengahkan rancangan-rancangan istimewa untuk tontonan penonton setianya.
Selain itu, pemilihan tema meraikan sambutan ulang tahun kesebelasnya, ‘TV Kita Untuk Semua, Bangkit Bersama TV AlHijrah’ memperjelaskan harapan stesen milik AlHijrah Corporation di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini agar rakyat Malaysia tidak mudah berputus asa memerangi COVID-19 yang melanda negara sejak hampir dua tahun.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan TV AlHijrah
Tema sambutan ulang tahun kesebelas TV AlHijrah iaitu ‘TV Kita Untuk Semua, Bangkit Bersama TV AlHijrah’ jelas menyatakan harapan stesen agar rakyat Malaysia tidak mudah berputus asa memerangi COVID-19.
“Suntikan semangat untuk terus bersatu hati, berpimpin tangan dan bersoladariti memerangi COVID-19 akan diterjemah menerusi hidangan pelbagai rancangan menarik, segar dan membaja nurani bermula 4 Ogos 2021 hingga 11 September 2021,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris (gambar atas).
Menurut Namanzee, menyedari kehidupan seharian sebahagian besar rakyat terkesan, TV Al-Hijrah melakukan pelbagai usaha untuk memeluk emosi dan memberikan santapan rohani buat penonton setiap bulan menerusi penerbitan rancangan-rancangan baharunya.
Sehubungan itu, dua slot yang diperkenalkan sempena ulang tahun kali ini yang bakal disambut pada 10 Ogos 2021 bersamaan 1 Muharam 1443H, diyakini mampu menambat hati penonton di kala berada dalam tempoh PKP 3.0.
Slot Deen adalah slot kerohanian yang disiarkan setiap hari, jam 7.30 malam.
Antara rancangan yang sedia menanti meliputi Cinta Ilmu, Tawajjuh, Ngaji On The Go, Riwayat Akhir Zaman, Bila Hijab Terbuka, Kembara Masyar, Hakikat Takikat Makrifat dan E-Kaunter Netizen.
“Manakala Slot Kesuma adalah slot khas buat penggemar telefilem tempatan dan antarabangsa, disiarkan pada setiap Ahad, jam 9 malam dan sesuai dijadikan tontonan seisi keluarga di mana antaranya akan disiarkan telefilem berjudul 'Dealova', 'Iqlab' dan 'Kabut Semalam,” jelas Namanzee.
Beliau turut mengumumkan antara rancangan menarik lain yang disediakan khas buat penonton adalah program seperti 'Solidariti Yasin 2.0', 'Siaran Langsung Istimewa Ulang Tahun TV AlHijrah', 'Assalamualaikum', 'Pada Hari Ini 11 Tahun Yang Lalu' dan '#Merisik Khabar'.
Solidariti Yasin 2.0' merupakan kesinambungan kepada kejayaan 'Solidariti Yasin 1.0' yang telah disiarkan secara langsung melalui platform digital (Facebook live) dan televisyen dengan siaran terbaharunya disiarkan pada Isnin, 9 Ogos 2021 bermula jam 6.30 petang.
Istimewanya, azan Maghrib akan dilaungkan secara langsung pada hari tersebut.
Dan pada hari ulang tahun TV Al-Hijrah keesokan harinya (10 Ogos 2021), penonton dibawa menyaksikan siaran langsung Istimewa meraikan hari tersebut bermula seawal 7 pagi dengan program ‘Assalamualaikum’ hingga 10 pagi.
Pada hari berkenaan, dijangka seorang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menjadi tetamu jemputan khas sekali gus melancarkan Kempen Sambutan Ulang Tahun Kesebelas TV AlHijrah..
Selain itu, antara yang menarik di dalam rancangan 'Assalamualaikum' adalah pelancaran bantuan buat usahawan-usahawan tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menerusi program ‘Bincang Niaga Bangkit Bersama’.
Mengikuti seterusnya pada 11 pagi disiarkan pula program bertajuk ‘Pada Hari Ini 11 Tahun Yang Lalu’, sebuah rancangan yang mengimbas suka duka serta pahit jerih sepanjang sebelas tahun rangkaian televisyen itu bersiaran.
Dihoskan oleh Amin Idris bersama Irma Hasmie, mereka akan ditemani personaliti-personaliti yang pernah mewarnai program-program di TV AlHijrah seperti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Amna Faizal, Ustaz Syed Shahrizan Daud Al-Turabi dan Cef Iskandar Ishak.
“Program ini akan diselitkan dengan alunan selawat yang akan dipimpin oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Jalal Zaiki,” tambah Namanzee.
Tidak berhenti di situ sehingga jam 4 petang, ia disusuli pula oleh program yang judulnya mengingatkan kita kepada ‘the singing lawyer’ Allahyarham Dato Sudirman Hj Arshad, iaitu ‘Merisik Khabar’.
Siaran yang akan bermula jam 2 petang, 10 Ogos 2021 itu bakal menyaksikan gandingan Abu Talib Husin dan Farah Diana Annuar sebagai hos #Merisik Khabar.
Fokus perbincangan lebih tertumpu kepada pengorbanan yang dilakukan oleh frontliners dan golongan-golongan seperti anak seni serta masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini.
Antara tetamu yang akan berkongsi ilmu dan pengetahuan terdiri daripada para asatizah yang tidak asing lagi seperti Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa, Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang, Ustaz Dr. Farid Ravi, Ustaz Wadi Anuar, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi dan Ustaz Abdullah Khairi manakala selawat pula akan dialunkan oleh Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Amir Rahman dan Ustaz Dr. Anuar Hasin.
Mengakhiri hari istimewa itu, TV AlHijrah turut menyajikan kandungan lain seperti kapsul Kebangkitan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal menyerikan lagi sambutan ulang tahun TV AlHijrah dan bulan Kemerdekaan negara.
Jadi, jangan lupa untuk terus kekal bersama TV AlHijrah, TV Kita Untuk Semua. - KitaReporters