Lapang dada Cheng Hoe! Trio Covid-19 kembali mengaum! Harimau Malaya luka dibakar Naga Emas!
Published byPENJAGA gol Khairulazhan Khalid (dari kiri), sayap kiri Faisal Abdul Halim dan bek kanan Quentin Cheng dibenarkan menyertai kem Harimau Malaya selepas diberi pelepasan oleh Kementerian Kesihatan Singapura. - Kredit foto: FAM
TAN Cheng Hoe boleh menghela nafas panjang dengan keputusan Kementerian Kesihatan Singapura pada 12 Disember 2021!
Tentu dada ketua jurulatih negara ini juga sekarang ‘selapang’ venue bola sepak Piala AFF 2020 (2021) di Singapura apabila tiga anak buahnya iaitu Khairulazhan Khalid, Faisal Abdul Halim dan Quentin Cheng boleh menyertai kem Harimau Malaya semula.
Mereka baru sahaja mendapat surat pelepasan kementerian itu selepas menjalani pengasingan 10 hari akibat diuji positif Covid-19 pada 3 dan 9 Disember 2021 lalu.
Khairulazhan atau Yan dan Mickey (julukan Faisal) positif setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura namun Quentin, bek kanan negara, mendapat pelepasan lebih awal selepas hanya berkuarantin tujuh hari.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala AFF
AKHYAR Rashid masih memerlukan pengasingan beberapa hari lagi sebelum kembali ke pangkuan pasukan negara. - Kredit foto: AFF
Hanya sayap kiri lincah penjaring satu gol ketika Malaysia menewaskan Kemboja 3-1, Akhyar Abdul Rashid yang perlu melengkapkan tempoh pengasingan berkenaan sebelum boleh bersama 22 rakannya itu untuk mengharungi baki kempen Piala AFF.
Tempoh perintah pengasingan atau kuarantin itu dikenakan berdasarkan keputusan ujian reaksi berantai polymerase (PCR) yang dijalankan.
TAN Cheng Hoe (dua dari kanan) kini bergelut untuk memastikan kemaraan Harimau Malaya dari Kumpulan B Piala AFF seterusnya ke final seperti sasaran FAM. - Kredit foto: FAM
"Ketiga-tiga pemain ini telah memulakan aktiviti bersama pasukan dengan aktiviti pertama ialah di gimnasium ini memandangkan hari ini (13 Disember) merupakan hari pemulihan selepas kita menentang Vietnam (12 Disember 2021).
“Mereka selepas ini akan dapat turut kembali menyertai sesi latihan penuh kita di padang bagi persiapan menghadapi Indonesia pada perlawanan terakhir kita dalam Kumpulan B Piala AFF, pada 19 Disember 2021 di Stadium Nasional, Singapura,” kata Cheng Hoe dalam laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
SHAHRUL Saad atau digelar Badak (kiri) dan Dominic Tan yang dibolosi Vietnam tiga kali di Stadium Bishan selepas Aidil Zafuan Abd. Radzak terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan. - Kredit foto: AFF
Mengenai status kecederaan terbaharu yang menimpa dua bek tengah, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang juga ketua pasukan dan Shahrul Saad, katanya, “mereka tercedera urat pelipat lutut dan terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan dengan Vietnam.”
Langkah Harimau Malaya ke separuh akhir lebih awal ditangguhkan oleh Si Naga Emas yang menang 3-0 di Stadium Bishan pada 12 Disember 2021 setelah pasukan kita mengutip enam mata dengan menumpaskan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 pada 6 dan 9 Disember.
ARIF Aiman Hanapi, sayap kanan negara (13) disekat penjaga gol Vietnam, Tran Nguyen Manh. - Kredit foto: AFF
"Doktor dan fisioterapis pasukan akan terus memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain ini dari semasa ke semasa sebelum kami membuat penilaian sama ada mereka sempat pulih atau tidak menjelang menentang Indonesia nanti,” kata Cheng Hoe.
Pengendali itu tidak begitu risau dengan calon pengganti mereka kerana masih memiliki Dominic Tan Jun Jin yang masuk menggantikan Aidil pada minit ke-24 menentang Vietnam malah bebas daripada sebarang kecederaan.
Sekalipun seorang lagi bek tengah, Junior Eldstal masih tercedera otot perut sejak dikeluarkan pada minit ke-27 melawan Kemboja, Cheng Hoe kini akan menyambut ketibaan bek kanan atau tengah FC Midtjylland Denmark, Dion-Johan Cools pada 16 Disember 2021.
"Bagi posisi benteng tengah ini,
kami masih memiliki Dominic yang bebas kecederaan manakala Junior Eldstal masih
dalam proses pemulihan otot abdomennya.
"Namun, kita bakal memiliki Cools yang dijangka tiba di Singapura untuk mengisi posisi tersebut sekiranya Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih menjelang perlawanan Ahad nanti," katanya.
DION-JOHAN Cools (kiri) bermain di bek kanan FC Midtjylland tetapi beralih ke bek tengah apabila menyrtai Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM
Cools yang berdarah kacukan Malaysia-Belgium, perlu menghabiskan tugasnya dengan kelab Liga Denmark itu kerana Piala AFF bukan berlangsung dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mewajibkan pelepasan.
Bek berusia 25 tahun kelahiran Kuching, Sarawak
ini membuat penampilan sulung dengan Harimau Malaya ketika kalah 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia
2022/Piala Asia 2023 di Dubai, 3 Jun 2021.
Dia berdepan Vietnam yang menewaskan kita 2-1 namun mengalahkan Thailand 1-0 dalam baki kelayakan itu pada 10 dan 15 Jun 2021, namun tidak dapat menyertai skuad negara yang dibelasah Jordan 4-0 dan Uzbekistan 5-1 dalam siri persahabataan tahap 1 antarabangsa di Amman tanggal 6 dan 9 Oktober 2021. - KitaReporters
SKUAD negara mesti memastikan kemenangan terhadap Indonesia untuk mara ke separuh akhir 23 dan 26 Disember 2021. - Kredit foto: FAM