Solat tarawih maksimum 20 rakaat di Selangor! Baca surah lazim! Patuhi SOP seperti solat Jumaat
Published bySolat tarawih di Selangor dilaksanakan maksimum 20 rakaat dan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti solat Jumaat . - Kredit foto: Bernama,Selangorkini dan FB.
SELANGOR membenarkan solat tarawih bagi Ramadan tahun 2021 ini dengan maksimum 20 rakaat dan bacaan surah pendek (surah lazim) serta tazkirah dengan syarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mana solat Jumaat. Bagaimanapun, iftar di masjid dan surau tidak dibenarkan.
Juga kanak-kanak di bawah 15 tahun dan warga emas yang sakit atau uzur tidak dibenarkan solat tarawih berjemaah di masjid serta surau.
SOP Ramadan 1442 Hijrah memang tidak disebarkan kepada umum sebaliknya taklimat mengenainya diberikan kepada Nazir dan Pengerusi Masjid yang merupakan individu bertanggung jawab mengenai protokol kesihatan di kawasan masing-masing.
Cerita-cerita menarik berkaitan Ramadan
Tazkirah Ramadan di Selangor boleh dilakukan sama ada selepas maghrib atau setelah selesai solat tarawih.
"Tujuannya untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan orang ramai selain penyalahgunaan oleh individu tertentu mengenai SOP Ramadan ini," kata Pengerusi Tetap Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Antara SOP yang perlu dipatuhi itu termasuklah membawa sejadah sendiri, pemeriksaan suhu badan, pakai pelitup muka, mengambil wuduk dari rumah dan penjarakan fizikal semasa solat. Jumlah jemaah pula bergantung kepada saiz keluasan sesebuah masjid atau surau.
Beliau memberitahu, Sultan Selangor ada menitahkan solat tarawih kali ini bacaan surahnya perlu pendek (surah lazim) kerana sebelum ini ada masjid atau surau yang menggunakan khidmat imam hafiz membaca ayat panjang, mungkin hingga mengambil masa satu jam, lapor TV Selangor pada Jumaat 9 April 2021.
Sesuai dengan keadaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang masih dilaksanakan di Selangor ,solat tarawih perlu selesai dalam masa yang ditetapkan.
Manakala tazkirah Ramadan pula, pihak pengurusan masjid atau surau boleh melakukannya sama ada selepas maghrib atau setelah selesai solat Tarawih.
Dalam pada itu, kapasiti jemaah untuk solat tarawih bagi Masjid Negeri, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam ialah 1,500 lelaki dan 250 orang jemaah wanita. Manakala Masjid Bukit Jelutong dan Masjid Fi Sabilillah 1,000 jemaah lelaki dan 250 wanita.
Bagi Masjid Pengurusan, Masjid Kariah dan Masjid Institutsi, jumlah jemaah ditetapkan 450 jemaah lelaki dan 100 jemaah wanita. Manakala Surau Solat Jumaat 250 jemaah lelaki dan 50 wanita. - KitaReporters
Untuk musim Ramadan 1442 Hijrah, tidak ada Iftar di masjid atau surau seperti tahun-tahun sebelum ini.