Nora Danish anggap pelantikannya sebagai wajah kempen tudung bawal Minaz sebagai rezeki.


KATALAH apa saja kepada Nora Danish, dia sudah lali dengan komen-komen negatif daripada netizen! Bagi Nora, dia lebih senang mengambil sikap tak peduli kerana dengan cara itu saja pemikirannya tak sesak.

Begitu juga dengan perihal pelantikannya sebagai wajah kempen untuk tudung bawal jenama Minaz yang dikatakan tidak sesuai dengan penampilan dirinya yang sering bergaya seksi itu.

Isteri kepada Mohamad Nedim Nazri itu mengakui sudah imun dan kebal dengan segala kecaman daripada warganet.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Nora Danish


Personaliti Nora Danish yang ceria sesuai dengan kempen Blossom 2.0. - Kredit foto: minaz.my


"Menjayakan kempen tudung itu atau sebaliknya, saya percaya itu dinamakan rezeki. Saya percaya membuat sesuatu yang baik termasuk menjayakan jenama yang memerlukan pemakaian tudung ini tidak pernah ada salahnya.

"Mungkin suatu hari nanti, siapa tahu akan dibukakan hati saya ke arah itu (bertudung). Semua ini sama seperti kita mendoakan sesuatu yang diharapkan. Ini juga bukan kali pertama saya ditawarkan tugasan mempromosikan jenama tudung.

"Jadi saya sudah terbiasa dengan situasi sebegitu. Kecaman demi kecaman itu lumrah kehidupan manusia. Ia boleh terjadi bukan saja kepada artis tetapi semua golongan termasuk pendakwah dan ahli politik," katanya yang menjadi wajah kempen jenama tudung itu sejak Oktober 2021 lalu.



Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, bagaimanapun mengakui tidak mahu 'larut' dengan hal yang negatif kerana baginya seksi itu bersifat subjektif.

"Saya memang kebal bab kecaman ini. Saya tak baca mana-mana komen atau blog yang menghentam atau cari silap. Kalau saya tahu pun cerita ini daripada kawan atau rakan media yang mengajukan soalan berkaitan. Tapi tak apalah, tak perlu saya ambil peduli. Ia seperti menghabiskan tenaga untuk perkara tak perlu.

"Malah saya pada satu tahap tak menyekat pun akses atau memadamkan komen negatif ditinggalkan warganet. Kadang kadang tak perasan pun sebab terlalu banyak komen. 


Nora bersama suami di samping anak lelaki sulungnya yang sentiasa menjadi penguat dalam meneruskan kerjaya seninya.


"Bagi saya seksi atau sebaliknya, ia terletak atau bergantung kepada mata yang memandangnya. Kalau baik yang dilihatnya... maka baiklah jadinya. Kalau gatal pandangannya, maka gatallah.

"Yang penting, saya hanya ingin menjadi diri sendiri. Tetapi, saya nak ucap terima kasih kepada netizen yang memberi komen membina. Saya sayang anda semua. Insya-Allah, doa baik-baik. 

"Bagi kelompok netizen yang tahu dan asyik nak kecam saja, hentikanlah. Perbuatan buli siber tidak baik sebenarnya," kata ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 12, dan Mohamed Neqayl Nedim, 3 tahun. 


Bagi Nora seksi itu bersifat subjektif menurut pandangan individu.


Sementara itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif jenama Minaz, Hafiza Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Pija Minaz menyatakan keputusannya memilih Nora mempromosikan kempen Blossom 2.0 adalah tepat.

"Hari pertama ketika Nora didedahkan sebagai wajah kempen di media sosial termasuk Instagram rasmi pun memang ramai yang beri maklum balas berbaur positif dan negatif.

"Ada dalam kalangan peminat bertanyakan kenapa saya perlu pilih Nora kerana tak sesuai penampilan sebenarnya dengan tudung dipakai.

Pija Minaz yakin beliau tak salah memilih Nora Danish sebagai model memperagakan koleksi tudung bawal keluaran Minaz.


"Saya dimaklumkan oleh kakitangan, ada yang nak boikot dan tidak mahu menyokong lagi keluaran produk kami. Pada saya, lebih gemar untuk memandang sesuatu perkara itu pada sudut yang positif. Ada juga yang suka dengan pemilihannya sebagai wajah kempen. Stokis dan ejen pun suka sebab Nora sendiri punyai ramai pengikut dalam Instagram," katanya.

Lulusa Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, UiTM Shah Alam bertukar ke dunia fesyen itu berkata, pemilihan Nora yang berwajah lembut dan manis sekali gus kena dengan konsep bunga pada rekaan tudung.



"Personaliti Nora ceria dan mudah didekati. Saya yakin boleh pengaruh ramai lagi wanita mengenali jenama kami dan sertai keluarga Minaz Hijab. Semua maklum balas baik yang positif atau negatif kami terima dengan hati yang terbuka.

"Tapi siapa tahu suatu hari nanti, usaha ini membuka hatinya untuk bertudung dan memilih jenama ini untuk menyuntik semangat. Malah kurang satu jam ketika dibuka untuk pratempahan 25 Oktober (2021) lalu, sebanyak 150,000 helai tudung bawal kempen membabitkannya terjual.

"Ia sekali gus buka ruang untuk bantu lebih 4,000 ejen dan stokis seluruh Malaysia jana pendapatan dari rumah pada era pandemik Covid-19. Kempen ini telah dilancarkan pada 8 November 2021 ini," katanya. - KitaReporters


Pija Minaz yakin populariti Nora Danish dapat menarik perhatian ramai.

14
17
1
10
0

Copy Link: