NOTIS kompaun yang dikeluarkan kepada Masjid Sri Maulana, Pekan, Pahang yang tular dalam laman Facebook. - Kredit Foto Utusan Malaysia


JABATAN Kesihatan Pahang mengesahkan ada mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada Masjid Sri Maulana, Taman Sri Maulana, Pekan di Pahang kerana gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, notis kompaun itu dikeluarkan berikutan pihak masjid gagal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya dimaklumkan masjid tersebut tidak mematuhi SOP kerana gagal menyediakan ​pengimbas kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.

"Jadi, kompaun dikeluarkan agar masjid lain ambil iktibar. Bayaran boleh dibuat oleh pihak masjid dengan pengurangan sebanyak 50 peratus," katanya di Kuantan seperti dipetik oleh Sinar Harian pada Rabu, 21 April 2021.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang dipetik Utusan Malaysia berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan berterusan di masjid dan surau di negeri Pahang.

“Kita telah meminta penguat kuasa JAIP memastikan kod QR dapat dipamerkan dan diguna setiap individu yang datang ke masjid. Mungkin ada berlaku kekhilafan oleh ahli jemaah atau oleh pengurusan itu di luar jangkaan kita,” ujarnya.

Pada Selasa, 20 April 2021 tular satu notis kompaun yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan pada jam 11 pagi atas nama Pengerusi Jawatankuasa Masjid di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Kejadian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang meninggalkan komen dan pandangan masing-masing dalam satu entri dalam Facebook. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

MASJID Sri Maulan di Pekan yang dikenakan kompaun RM10,000 berikutan gagal mematuhi SOP yang ditetapkan. - Kredit Foto my.worldorg.com

1
1
2
0
0

Copy Link: