Masuk fasa akhir Ramadan! Program gotong royong penduduk masak, agih bubur lambuk kian rancak!
Published byMASUK sahaja fasa akhir Ramadan al-Mubarak di sana sini semakin rancak program gotong royong memasak bubur lambuk semacam tradisi tahunan untuk agihan warga setempat dan mereka yang memerlukan terutama golongan asnaf, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan sebagainya.
Di sekitar kawasan Seri Kembangan, Puchong, Kinrara dan Subang Jaya sekurang-kurangnya 11 program gotong royong memasak dan mengedarkan lebih 4, 000 pek bubur lambuk yang melibatkan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ pada Sabtu 24 April dan Ahad 25 April 2021 merupakan cuti hujung minggu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan MBSJ
Kaum wanita dari Pangsapuri Angkat Majlis Bandaraya Subang Jaya, Pangsapuri Angsana dalam proses memasak bubur lambuk untuk agihan penduduk dan orang ramai. Kredit foto: FB JPM MBSJ.
Program yang diadakan dengan kerjasama komuniti setempat melibatkan Persatuan Penduduk, Komuniti Rukun Tetangga (KRT), Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP), Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Jawatankuasa Sutau atau Masjid, Perkumpulan Wanita, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN), Pejabat Ahli Parlimen serta NGO lainnya.
Juga turut diadakan beberapa aktiviti masyarakat lainnya seperti agihan barangan keperluan asas kepada yang terkesan akibat COVID-19, sumbangan tong kitar semula untuk program masjid, jualan barangan keperluan harian bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), program pemeriksaan mata percuma dan bantuan subsidi pembelian cermin mata bagi mereka B40 dan beberapa aktiviti lagi.
Sekalipun semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan keadaan ekonomi yang agak terkesan sekarang tetapi usaha penganjurannya telah berjalan dengan rancak dan menepati matlamat dalam menggerakan komuniti ke arah mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan.
Kerja-kerja terakhir menyiapkan pembungkusan 2,000 pek bubur lambuk untuk agihan kepada sembilan buah kampung sekitar Majlis Permufakatan Penduduk (MPP) Zon 12.
MPP Zon 13 dengan kerjasama Surau Al-Mashitah, Puchong Indah mengadakan program gotong royong memasak bubur lambuk untuk agihan 300 penerima penduduk setempat diadakan di pekarangan surau tersebut antara jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Di Balai Masyarakat kampung Seri Aman sejumlah 2,000 pek bubur untuk agihan ke sembilan buah kampung dalam kawasan MPP Zon 12 berjaya dihasilkan dengan diketuai Jaafar Mat Akid ( Ahli Majlis MBSJ Zon 12) dan Ketua Kampung Seri Aman Khairuddin Mohd Raus. Turut membantu menjayakan program sukarela, NGO ARIF terdiri dari anak-anak muda bergotong royong masak dan edar bubur lambuk bersama semangat Ramadan.
Video kredit : Mohd Hazril Harun.
Di Surau Al Huda Subang Jaya, Subang program yang bermula sejak jam 10.00 pagi menghasilkan 300 pek untuk edaran kepada petugas di Balai Bomba SS17 dan Balai Polis Sunway selain penduduk setempat.
Pangsapuri Angkat MBSJ, Pangsapuri Court 1 Puchong Utama dengan kerjasama Persatuan Penduduk, KRT dan Jawatankuasa Bersama (MC) pangsapuri berkenaan mengadakan gotong royong memasak tiga periuk besar bubur manis iaitu bubur jagung, bubur pulut hitam dan bubur kacang hijau untuk edaran penduduk setempat dan kawasan sekitar pangsapuri yang terkesan dengan pandemik COVID-19 serta memeriahkan lagi suasana pada bulan Ramadan kali ini.
KRT Taman Seri Serdang dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Serdang pula mengadakan program memasak dan agihan bubur lambuk serta sumbangan barangan keperluan asas kepada 20 keluarga asnaf yang diadakan di Pusat Rukun Tetangga Seri Serdang turut dihadiri Ahli Parlimen Puchong, Govid Singh Deo, Pengerusi Tetap Kesihatan Awam , Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor yang juga ADUN Seri Serdang dan Ahli Dewan Negara Senator R. Suresh Singh.
Para petugas memasukkan bahan rencah ke dalam bekas bubur lambuk sebelum diagihkan kepada penduduk selepas siap gotong royong memasaknya di Surau Al-Huda, Subang jaya.
Dalam pada itu MPP Zon 14 dengan kerjasama komuniti Pangsapuri F1 hingga F4 mengadakan agihan 200 pek bubur lambuk di Padang Blok F pangsapuri berkenaan yang dilakukan Ahli Majlis MBSJ Aniza Jamaluddin bersama Ahli Jawatankuasanya jam 5.00 petang.
Persatuan Penduduk Taman Lestari Putra juga mengagihkan lebih 300 pek bubur lambuk Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada orang ramai dan penduduk setempat di Bazar Ramadan taman berkenaan yang turut disampaikan oleh Dr Siti Mariah Mahmud.
Pada Bazar Ramadan Taman Lestari Putra turut diadakan kaunter kutipan zakat fitrah dan derma wakaf pembinaan masjid, kata Yang Dipertuan Persatuan Penduduk taman berkenaan Datuk Abdul Wahab Khalid.
Masjid Al-Siddiq SS19 Subang Jaya bersama MPP Zon 4 menagihkan 200 pek bubur lambuk kepada petugas di Balai Bomba SS17 dan Balai Polis Subang Jaya SS 17 serta penduduk di Rumah Pangsa SS 19.
Pangsapuri Angsana, pangsapuri angkat MBSJ menyediakan 500 pek bubur untuk penduduk di pangsapuri berkenaan yang dimasak secara bergotong royong.
MPP Zon 24 MBSJ pula mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk, wakil empat pangsapuri berlainan dan petugas di Balai Polis Sungai Besi Indah antara jam 5.00 petang hingga 7.00 malam yang disampaikan oleh Ahli Majlis MBSJ Zon 24, Tamilarasu. - KitaReporters
Sambil menyiapkan kerja bahan-bahan untuk bubur lambuk kaum wanita dari Pangsapuri Angsana masih sempat bergurau sesama mereka.
Majlis Permuafakatan Penduduk Zon 4 Subang Jaya dengan kerjasama Masjid Al-Siddiq SS 19 bersiap sedia untuk mengagihkan bubur lambuk yang siap dimasak melalui kerja gotong royong.
Salah seorang penduduk Taman Seri Serdang menerima sumbangan bubur lambuk daripada Dr Siti Mariah Mahmud di Pusat Rukun Tetangga taman berkenaan.