Mulanya dituduh bunuh 2 wanita! Kemudian 14 rangka mayat ditemukan! Bekas polis pembunuh bersiri!

Published by
KitaReporters

POLIS menggali kubur mangsa pembunuhan Hugo Osorio Chavez di kawasan kediamannya di Chalchuapa, El Salvador.-Kredit foto: BBC


INI bukan kisah dalam filem atau drama, tetapi kejadian yang benar-benar berlaku di bandar Chalchuapa, El Salvador, Amerika Tengah. Polis menemukan 14 mayat ditanam dalam kawasan kediaman seorang bekas pegawai polis, Hugo Osorio Chavez, 51 tahun. Kesemuanya adalah mangsa pembunuhan Chavez.

Polis menyifatkan penemuan ini sebagai membongkar satu sindiket pembunuhan yang telah bergerak sejak 10 tahun lalu. Memetik laporan abcNews pada 21 Mei 2021, walaupun sehingga ini polis berjaya menemukan 14 mayat, bekas polis itu disyaki membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan kebanyakan daripada mereka adalah wanita.


Lagi cerita-cerita drama berkaitan pembunuhan

KEDUDUKAN Chalchuapa di El Salvador, berhampiran Santa Ana dan Sonsonate. - Kredit foto: Encyclopedia Britannica.


SEPANDAi-PANDAI tupai melompat... HUGO Osorio Chavez (tengah) ditangkap polis setelah jenayah kejamnya membunuh terbongkar. - Kredit foto: Reuters


Kesemua ini mula terbongkar apabila Chavez ditangkap pada awal Mei 2021 dan dituduh membunuh seorang wanita berusia 57 tahun dan anak perempuannya yang berusia 26 tahun. Sebelum itu dia pernah disiasat atas kesalahan seksual.

Chavez mengaku membunuh ibu dan anak tersebut. Selepas penangkapannya, polis melancarkan gerakan menyiasat dan memeriksa rumah kediamannya yang terletak di bahagian timur bandar Chalchuapa.

Ini kerana pengakuan Chavez membunuh dua beranak itu menimbulkan syak polis bahawa dia juga melakukan pembunuhan lain dengan mengambil kira laporan mengenai orang hilang sejak beberapa tahun sebelumnya.


ANGGOTA polis mengawal ketat kawasan kerja-kerja penggalian kubur mangsa pembunuhan Chavez di Chalchuapa. -Kredit foto: AP


Pemeriksaan polis di rumah Chavez menemukan 14 buah kubur. Setelah penggalian dilakukan, polis menemukan rangka 14 mayat di dalam setiap kubur berkenaan. Menurut pihak pendakwa, ada antara mayat tersebut dipercayai ditanam sejak dua tahun lalu.

Dalam usaha mengenal pasti mayat-mayat tersebut, rangka yang ditemui akan dikumpul dan disusun semula. Selepas itu ujian DNA akan dijalankan.

Menteri Keadilan El Salvador, Gustavo Villatoro memberitahu, berdasarkan kedalaman kubur-kubur yang ditemui, adalah dipercayai lebih seorang terlibat menanam mayat-mayat berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang diterima oleh polis berhubung kes berkenaan, pihak pendakwa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap 10 orang yang disyaki menjadi rakan sejenayah Chavez dalam pembunuhan 14 orang, termasuk sembilan wanita.

Malah lebih menyedihkan, pejabat pendakwa raya mengesyaki antara mangsa bunuh Chavez adalah budak perempuan yang masih kecil, iaitu dalam lingkungan umur dua (2), tujuh (7) dan sembilan (9) tahun.


PASUKAN polis mengangkat keranda yang mengandungi rangka mayat yang ditemukan di kawasan kediaman Chavez. - Kredit foto: AD.nl


Pengarah Polis El-Salvador, Mauricio Arriaza Chicas memberitahu, Chavez dibuang daripada pasukan polis pada 2005, namun tidak dinyatakan puncanya. Dia dipercayai menjadi pembunuh sejak satu dekad lalu.

Chicas memberitahu, Chavez mengaku dia mengenali mangsa melalui media sosial dan memujuk mereka supaya keluar bersama. Selepas puas berfoya-foya dia bertindak membunuh mereka.

Chicas gembira kerana pembunuh bersiri yang disifatkannya sebagai gila itu telah berjaya ditangkap dan misteri kehilangan dan pembunuhan ramai wanita telah terungkai. Chavez pula kini menunggu nasib yang bakal menimpanya selepas jenayah kejamnya terbongkar.

Untuk rekod, El Salvador ialah sebuah negara di Amerika Tengah yang bersempadan dengan Guatemala dan Honduras. Ibu negaranya ialah San Salvador. - KitaReporters.com


KAWASAN kediaman Chavez di Chalchuapa di mana rangka 14 mayat ditemukan, kesemuanya mangsa pembunuhan Chavez. - Kredit foto: The Guardian.

 

12
4
6
3
25

Copy Link: