Basmi Covid-19, denggi! KRT guna kaedah lama! Poster, risalah
Published byPELBAGAI inisiatif boleh dilakukan oleh penduduk di kawasan perumahan bagi membendung masalah yang berlaku jika sentiasa bersikap terbuka dan mempunyai kesedaran untuk sedia memberi kerjasama kepada satu-satu organisasi. Malangnya, kita sering meletakkan kesalahan pada pihak lain. : KitaReporters
Salah seorang ahli KRT mengedarkan risalah mengenai bahaya Covid-19 dan denggi kepada penduduk. - Kredit photo KRT
Lagi cerita-cerita berkaitan Rukun Tetangga:
https://kitareporters.com/search?search=rukun+tetangga
Sikap menyerahkan perkara itu untuk diselesaikan oleh pihak berkuasa semata-mata seharusnya dikikis, sedangkan di kawasan perumahan penduduk mampu bersatu dalam semangat kejiranan yang wajar dipraktikkan untuk kesejahteraan.
Sehubungan dengan itu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 1C, Alam Megah Seksyen 28, Shah Alam, Selangor mengambil inisiatif mengedarkan risalah dan poster dalam usaha memutuskan rantai Covid-19 dan denggi bermula 9 hingga 11 Disember 2020 lalu.
Langkah itu yang dianggap sebagai pendekatan secara konvensional kepada komuniti kawasan KRT berkenaan juga diharapkan dapat meningkatkan lagi kesedaran betapa pentingnya membendung wabak Covid-19 dan denggi.
Muhd Fakhri Alias mengedarkan risalah berkaitan Covid-19 dan denggi kepada seorang penduduk.
Setiausaha KRT itu, Muhd Fakhri Alias, berkata pendekatan itu dilakukan sebagai impak yang berbeza daripada pesanan secara virtual supaya komuniti sentiasa peka terhadap Covid-19 dan denggi yang merupakan antara ancaman utama negara.
Menurutnya, KRT memilih cara itu kerana pesanan atau ingatan yang dilakukan secara virtual sebelum ini sudah menjadi terlalu biasa sehingga ada yang tidak mengendahkannya kerana menganggap sebagai perkara remeh-temeh.
Ahli KRT menyusun risalah dan poster yang akan diedarkan kepada penduduk serta premis perniagaan.
“Mereka yang bersikap begitu sebenarnya
lupa akan tanggungjawab hidup bermasyarakat untuk sama-sama memikul tugas
membendung wabak yang berbahaya itu supaya tidak menjadi bertambah buruk.
“Melalui edaran risalah dan poster akan menimbulkan lagi kesedaran dalam kalangan komuniti bahawa dua wabak ini masih menjadi ancaman dalam kehidupan kita yang berada dalam persekitaran kejiranan,” katanya ketika dihubungi melalui pesanan WhatsApp.
Ahli KRT memasukkan risalah ke dalam peti surat rumah penduduk.
Muhd Fakhri berkata, KRT itu mendapat kerjasama serta sokongan dari Pejabat Penerangan dan Jabatan Kesihatan daerah untuk melakukan hebahan bergerak menggunakan kenderaan yang membabitkan kira-kira 800 rumah penduduk dan 100 premis perniagaan sekitar Fasa 1C itu.
Menurutnya, enam ahli KRT turut berjalan kaki membuat edaran risalah ke setiap rumah penduduk dan menampal poster di premis perniagaan yang berada dalam kawasan kejiranan itu yang sering menjadi tumpuan orang ramai termasuk mereka dari luar perumahan berkenaan.
Poster turut ditampal di restoran dan premis menjual barangan runcit dan basah.
“Edaran risalah itu juga memberi peluang
kepada ahli KRT untuk menerangkan secara ringkas tujuan langkah itu dibuat
kepada penduduk yang ditemui sambil mengingati mereka untuk meningkatkan
penjagaan kesihatan diri dan keluarga, di samping kebersihan persekitaran.
“Poster yang ditampal pada dinding premis perniagaan pula antara langkah terbaik memberi kesedaran kepada orang ramai melihat poster itu apabila berkunjung ke premis berkenaan untuk membeli-belah dan sebagainya,” katanya. - KitaReporters