Sayur percuma untuk Keluarga Malaysia! Lebih 500 penduduk di Labis serbu Pusat Khidmat ADUN Tenang!
Published byADUN Tenang, Haslinda Salleh (tiga dari kiri) ketika mengagihkan sayur percuma kepada penduduk Labis di pekarangan Pusat Khidmat ADUN Tenang pada 16 November 2022.
PUSAT Khidmat ADUN Tenang bertukar menjadi 'pasar tani' apabila diserbu lebih 500 penduduk Labis, Johor yang datang untuk mendapatkan sayur-sayuran ketika Program Agihan Sayur Percuma yang menyediakan hampir satu tan pelbagai jenis sayur-sayuran untuk diagihkan secara percuma kepada penduduk di sini pada 16 November 2022 lalu.
ADUN Tenang, Haslinda Salleh berkata, antara sayur yang diagihkan adalah kangkong, bayam, timun, terung, kobis dan tomato bertujuan meringankan beban penduduk berikutan peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sayur percuma
"Saya tidak menjangka program ini mendapat sambutan yang begitu menggalakan daripada penduduk di Labis di mana tidak sampai satu jam kesemua sayur yang disediakan habis diagihkan kepada orang ramai yang datang sendiri untuk mengambilnya di pekarangan Pusat Khidmat ADUN Tenang.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita datang seawal tujuh pagi bagi membantu melancarkan proses pembungkusan serta pengagihan kepada penduduk yang hadir untuk mendapatkan sayur-sayuran yang disediakan," katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Kangkung dan bayam antara sayuran yang diagihkan secara percuma kepada penduduk di Labis, Johor melalui Program Agihan Sayur Percuma anjuran Pusat Khidmat ADUN Tenang.
Menurutnya, program tersebut merupakan pertama kali dianjurkan untuk mengagihkan barangan basah sementara barangan keperluan harian kering lain sudah kerap diagihkan kepada penduduk melalui program Ziarah Prihatin yang diadakan secara berkala.
Katanya, pihaknya maklum dengan situasi semasa yang dihadapi penduduk di Labis yang kebanyakannya menjalankan aktiviti pertanian yang terjejas berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain kejatuhan harga komoditi getah serta peningkatan harga baja dan racun ditambah dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
"Bantuan yang dihukurkan mungkin tidak seberapa dan tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah yang dihadapi mereka yang terjejas, namun saya harap bantuan tersebut mampu meringankan beban mereka yang terjejas pendapatan berikutan musim tengkujuh ketika ini.
"Dalam masa sama saya harap oenduduk faham bahawa kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya dengan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk menganjurkan program seumpama ini kerana peruntukan sedia ada perlu juga disalurkan bagi tujuan lain seperti pembangunan yang mampu memberi kesejahteraan rakyat," katanya
Menurutnya, penglibatan badan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menjayakan sebarang program menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan pada masa akan datang amatlah diperlukan bagi memastikan konsep perkongsian kemakmuran dalam kalangan rakyat dapat direalisasikan. - KitaReporters