TV AlHijrah buat julung kalinya akan menerbit dan menyiar secara langsung Anugerah Carta 114, pada hari Sabtu ini, 13 Januari 2024, tepat jam 9 malam, dibawakan dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah.

Anugerah Carta 114 merupakan sebuah platform pengiktirafan yang memberikan penghormatan kepada bakat penggiat seni terbaik dalam industri nasyid dan lagu ketuhanan Malaysia.

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, Anugerah Carta 114 (AC114) musim pertama ini dibuat bagi menghargai karya para penasyid, penulis lagu, pemuzik video serta para penonton setia stesen kami.



"Enam kategori utama telah dipertanding sepanjang rancangan Carta 114 mula disiarkan setahun yang lalu. 

"Kategori tersebut adalah Artis Solo Pilihan, Artis Kumpulan Pilihan, Lirik Terbaik, Muzik Video Terbaik, Susunan Muzik Terbaik dan Lagu Pilihan Peminat.

"Penonton diberi kuasa penuh untuk memilih pemenang mingguan menerusi undian kod QR dan pautan yang dikongsi pada kaca televisyen pada setiap episod siaran rancangan ini. 

"Pada minggu ke-39 siaran, Jalal Zaiki selaku hos rancangan telah mengumumkan pemenang 6 kategori utama yang layak berentap pada pentas akhir AC114,” jelasnya.



Menurut Zulkarnaen, undian penonton telah memuktamadkan Shidee Khayran yang menyampaikan lagu Hadirmu sebagai pemenang kategori Artis Solo Pilihan. 

Artis Kumpulan Pilihan pula dimenangi oleh InTeam dengan lagu Selimut Putih. Manakala Ustaz Tiga Beradik yang menyampaikan lagu Si Bujur Sireh menjuarai kategori Lirik Terbaik. 



Tiga kategori berbaki iaitu Muzik Video Terbaik, Susunan Muzik Terbaik dan Lagu Pilihan Peminat Lagu digondol oleh Fitri Haris dengan lagu Hanya Kamu, One Path dengan penampilan Nazrey Johani menerusi lagu Laila Majnun, dan Darwish dengan lagu Linangan Laduni.

“Kemuncak pada Sabtu (13 Januari 2024) ini, kesemua juara enam kategori ini akan berentap membuat persembahan terbaik bagi memenangi tiga kategori anugerah utama. 

"Juara Anugerah Carta 114 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000 berserta trofi.

“Bagi pemenang vokal terbaik dan pemenang persembahan terbaik pula, masing-masing bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 berserta trofi. Manakala pemenang Anugerah Khas Carta 114 akan membawa pulang RM5,000 dan trofi.



“Kami berusaha untuk pastikan AC114 menjadi acara tahunan di TV AlHijrah. Ini adalah permulaan. 

"Ini juga merupakan cara stesen kami menghargai penonton dan pemuzik nasyid yang banyak membantu dalam memacu pertumbuhan industri muzik nasyid tempatan.

"Kesemua finalis akan diadili juri profesional iaitu Farihin Abdul Fatah selaku ketua juri dan dibantu oleh Amran Omar dan Lah Ahmad. Semestinya, mereka mencari juara yang berbakat, berilmu, versatil dan relevan,” ujarnya.



Fitri Haris, penyanyi dan anggota kumpulan nasyid UNIC, ternyata teruja apabila lagu Hanya Kamu dendangannya diundi poleh enonton bagi kategori Muzik Video Terbaik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat. Saya tidak menjangkakan langsung. 

"Namun, jika dilihat dari segi kualiti muzik video sepanjang 22 tahun saya berkecimpung di dalam industri ini, muzik video Hanya Kamu adalah yang terbaik pernah saya hasilkan. Lagu ini juga dijadikan runut bunyi untuk drama di Nurflix.

“Persiapan semuanya berjalan lancar baik walau saya kini berada di Lubnan untuk misi kemanusiaan. Saya akan sampai di Malaysia sehari sebelum AC114. 

"Tetapi, dari segi kesihatan, konsep dan lain-lain, kita berhubung secara dalam talian untuk pastikan semua berjalan seperti yang dirancang. Ada kejutan untuk peminat pada malam persembahan nanti.

“Harapan saya agar lagu ciptaan saya dan Awi Rafael ini dapat diterima semua penonton dan juri pada malam tersebut Saya akan buat yang terbaik. 

"Saya akan sampaikan mesej daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Hablum Minallah dan Hablum Minannas, insya-Allah,” jelasnya.

Anugerah Carta 114 turut dimeriahkan dengan persembahan madley oleh Aris Ariwatan, Amir Ukays dan Syafiq Farhain. Kumpulan nasyid terkemuka Raihan turut membuat persembahan. - KitaReporters/Kenyataan Media


20
9
0
12
0

Copy Link: