BERSILA beramai-ramai dengan berbumbungkan langit terbuka dan kerlipan bintang menjadikan suasana sungguh indah ketika bersantai sambil telinga menikmati halwa muzik daripada pelbagai persembahan menarik sempena program Singgah Seni di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

Singgah Seni diadakan setiap Sabtu bermula jam 6.30 petang hingga jam 11 malam. Kebiasaannya ia diwarnai dengan persembahan kesenian dan kebudayaan yang lebih santai dan sesuai untuk seisi keluarga dalam usaha menggalakkan program-program berbentuk kesenian di Putrajaya.

Ia adalah tarikan terbaharu pelancongan kebudayaan di Putrajaya dan sesuai menikmati keindahan pusat pentadbiran negara di waktu malam sambil merehatkan otak menikmati pelbagai persembahan bersama keluarga atau kawan-kawan, yang pasti ia adalah percuma.   

Orang ramai bersantai bersama keluarga sambil menikmati persembahan di program Singgah Seni Putrajaya.


Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, berkata program yang berteraskan persembahan seni dan budaya itu mengetengahkan konsep santai dan sesuai untuk seisi keluarga. Ia memberi peluang warga Putrajaya dan kawasan di sekitarnya untuk berhibur malah menjadi lokasi sesuai untuk pelancong.

Beliau berkata, matlamat Perbadanan Putrajaya menganjurkan Program Singgah Seni ini adalah untuk mempelbagai dan menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan. 

Sebelum ini penganjur pernah menjemput tokoh Sasterawan Negara antaranya Datuk Dr. Zurinah Hassan, Prof Datuk Seri Dr  Awang Sariyan, Datuk  Rahman Shaari dan Datin Seri Haryani Haron.

“Usaha berterusan PPj dalam mempelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan bertujuan menceriakan suasana indah di waktu malam apatah lagi pusat pentadbiran negara ini sentiasa sibuk dengan aktiviti sihat yang berunsur kekeluargaan bagi merapatkan ukhwah dalam kalangan komuniti Putrajaya dan kawasan sekitar. 

Fadlun Mak Ujud


Fadlun berkata edisi penganjuran kali kedua pada tahun 2024 ini dengan membawakan tema kenegaraan dan mengambil kehadiran bulan kemerdekaan bersempena Ogos ini.

“Ia diwarnai dengan persembahan kesenian dan kebudayaan yang lebih santai dan sesuai untuk seisi keluarga dalam usaha menggalakkan program-program berbentuk kesenian di Putrajaya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata ianya turut dapat mempromosi Wilayah Persekutuan Putrajaya melalui muzik, tarian-tarian tradisional Malaysia dan aktiviti seni budaya Malaysia secara amnya.  

“Selain itu, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan PPj sebagai pentadbir kawasan Putrajaya melalui muzik, tarian dan aktiviti seni selain budaya,” katanya lagi. 


Program Singgah Seni bertujuan menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan.


Singgah Seni merupakan program dianjurkan oleh pihak PPj yang diadakan pada setiap Sabtu bermula jam lewat petang hingga jam 11 malam. Ia juga bagi mewujudkan suasana aspirasi budaya dalam suasana perbandaran mesra kepadawarga Putrajaya dan pengunjung lain.

Teras pengisian program tersebut termasuklah persembahan pentas oleh selebriti tanah air antaranya ialah Baggio (Damasutra) dan Eira Milpan diiringi kombo PPj yang tidak asing lagi iaitu Precinct Notes.

Pelbagai program sisipan menceriakan Singgah Seni Putrajaya antaranya gerai menjual barangan kering, makanan dan minuman serta carboot sale.


Sebelum ini, program Singgah Seni pernah menampilkan artis terkenal termasuk Datuk Ramli Sarip bersama kombo Perbadanan Putrajaya.

Lebih menarik, turut ditampilkan demonstrasi persembahan seni mempertahan diri (silat dan silambam) serta penerangan tentang busana Melayu.

Di samping itu, pelbagai program sisipan bakal menceriakan edisi pada kali ini antaranya jualan buku, beca bercahaya, buskers, aktiviti giant bubbles, penjualan barangan kering, makanan dan minuman serta carboot sale.

Ia sekali gus memberi peluang ekonomi kepada penjaja-penjaja kecil yang berniaga di Dataran Putrajaya dan menambah pendapatan kepada penggiat industri seni kreatif. - KitaReporters

Kanak-kanak adalah pengunjung paling seronok kerana mendapat layanan badut dengan belon percuma.  

_______________________________________________

13
6
0
6
0

Copy Link: