Pilih yang terulung sahaja, MOM! Ambil tahap saing lebih tinggi! Olimpian Sukan Asia atau Komanwel!

Published by
KitaReporters

SETELAH lima tahun menyepi, Malam Anugerah MOM kembali dalam edisi ke-27 di ibu negara yang menghimpunkan sehingga 11 pemenang lelaki dan wanita daripada kitaran empat tahun Sukan Olimpik. - Kredit foto: MOM


SUDAH tiba masanya penganugerahan Olimpian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya perlu mengambil kira yang terbaik dan terulung pada tahun genap tertentu penilaiannya, terutama yang berlangsung Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Tidak perlu dibuat sampai untuk dua pasang (lelaki dan wanita) pemenang berasingan bagi kedua-dua temasya aneka sukan yang hadir setiap empat tahun sekali itu.  

Yang terbaik sepatutnya hanya berlandaskan tahap daya saing sukan yang mencalonkan atlet-atletnya bagi anugerah berkenaan.

Umpamanya taraf angkat berat dan badminton yang lebih rendah pada Sukan Komanwel berbanding Sukan Asia, maka abaikan sahaja walaupun calonnya memenangi pingat emas sedangkan ada yang hanya menang pingat gangsa peringkat benua itu. 

Juga kena buat hanya satu pilihan pasangan untuk atlet lelaki dan wanita!

Penganjur Malam Anugerah MOM juga patut mencontohi Anugerah Sukan Negara Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menilai dan mengiktiraf pencapaian tahunan atlet-atlet kebangsaan demi menjaga prestij dan kecemerlangan kejayaan bergelar Si Olimpian MOM.


SEBAHAGIAN Olimpian MOM 2020/2021 hingga 2024 yang hadir menerima anugerah itu daripada Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Norza Zakaria dan Hannah Yeoh (empat, lima dan enam dari kiri) termasuk Mohd. Azizulhasni Awang (kanan) atau digelar 'Si Roket Saku'. - Kredit foto: MOM 


Edisi Ke-27 Anugerah MOM di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 11 Disember 2024 lalu menampilkan keunikan penyampaiannya dengan menghimpunkan sehingga enam pasangan Olimpian serentak gara-gara tidak dapat dilangsungkan pada tahun temasya berlangsung dek penularan pandemik Covid-19.

Pencapaian 11 atlet pemenang ini dirangkumkan dari Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) dan 2024, Sukan SEA 2021 (2022) Vietnam dan Kemboja 2023 serta Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Mereka ialah Datuk Mohd. Azizulhasni Awang (berbasikal) 2020/2021, Juwaidi Marzuki (memanah); Nur Dhabitah Sabri (akuatik terjun) 2021/2022, Aniq Kasdan (angkat berat); Ng Joe Ee (gimnastik) 2022, Ng Eain Yow (skuasy); S. Sivasangari (skuasy) 2022, Khiew Hoe Yan (akuatik renang); Tan Cheong Min (wusyu) 2023, Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik (badminton) 2024.

“Kali akhir Anugerah Olimpian MOM diadakan ialah pada 2019 namun majlis penyampaiannya dianjurkan semula dengan menunggu selesainya kitaran Olimpik empat tahun sekali (2020-2024).

“Tahun 2024 juga seiring dengan ulang tahun ke-70 MOM diiktiraf sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Malaysia oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),” lapor satu siaran media MOM.


ANTARA penerima keahlian baharu Dewan Kemasyhuran MOM iaitu skuad hoki wanita Sukan Asia 1982 bergambar dengan Mohamad Norza Zakaria dan Naib Presiden MOM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (tujuh dan lapan dari kiri). - Kredit foto: MOM


Dua tahun selepas menyertai IOC sebagai Majlis Olimpik Persekutuan Tanah Melayu (FMOC), muncul kontinjen pertama Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya ke Sukan Olimpik pada 1956 di Melbourne, Australia.

Kontinjen pimpinan Herman Marie De Souza yang mengandungi 33 atlet dan 10 pegawai itu menyertai sukan olahraga, hoki, menembak, renang dan angkat berat pada temasya ke-16 itu dari 22 November hingga 8 Disember 1956.   

Malam Olimpian MOM 2024 itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; dan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Anugerah, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad.

Dua pegawai dan dua atlet diberikan Keahlian Dewan Kemasyhuran MOM baharu iaitu Datuk S. Vegiyathuman (olahraga) dan Datuk Abu Samah Abd. Wahab (berbasikal), Khoo Chong Beng (olahraga) dan V. Nellan (golf).

Turut menyertai mereka ialah 16 pemain skuad pemenang pingat gangsa hoki wanita Sukan Asia New Delhi 1982 iaitu Mary Soo, K. Maheswari, Mary Lim, The Siew Bee, Elizabeth Gomez, Aninie Yew, Rawiyah Rawi, Asma Amin, Halimathon Yaacob, Norizan Abd. Majid, Noorlaila Senawi, Christina Chin, Yuen Lai Heng, Lum Sau Foong, Daphne Boudville dan Goh Joo Phaik. - KitaReporters


ANTARA pegawai persatuan sukan kebangsaan yang menerima penghargaan membantu kontinjen Malaysia meraih pingat emas temasya aneka sukan bergambar dengan Nur Azmi Ahmad dan Mohamad Norza Zakaria (tujuh dan enam dari kanan). - Kredit foto: MOM


SENARAI OLIMPIAN MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA (MOM):

1993: M. Ramachandran (olahraga); P. Jayanthi (olahraga)

1994: Pasukan Sepak Takraw Sukan Asia Hiroshima (Ahmad Jais Baharun, Iskandar Arshad, Zabidi Shariff & Malik Samsudin); Shalin Zulkifli (boling tenpin)

1995: Chong Tin Sam (billiard & snuker); Sharon Low Su Lin (boling tenpin)

1996: Cheah Soon Kit & Yap Kim Hock (badminton); Annastasia Karen Raj (olahraga)

1997: Mohd. Zaki Sadri (olahraga); Au Li Yen (gimnastik)

1998: G. Saravanan (olahraga); Nurul Huda Baharin (menembak)

1998: Alex Lim Keng Liat (akuatik renang); Nicol Ann David (skuasy)

1999: Elvin Chia Tshun Thau (akuatik renang); Shalin Zulkifli (boling tenpin)

2000: Choong Tan Fook & Lee Wan Wah (badminton); Yuan Yu Fang (olahraga)

2001: Mohd. Qabil Ambak (ekuestrian); Leong Mun Yee (akuatik terjun)

2002: Ho Ro Bin (wusyu); Siti Zalna Ahmad (boling padang)

2003: Nazmizan Muhammad (olahraga); Wong Mew Choo (badminton)

2004: Josiah Ng Onn Lam (berbasikal)

2005: Ng Shu Wai (gimnastik); Wong Pei Tty & Chin Ee Hui (badminton)

2006: Koo Kien Keat & Tan Boon Heong (badminton); Esther Cheah (boling tenpin)

2007: Daniel William Henry Bego (akuatik renang); Khoo Cai Lin (akuatik renang)

2008: Datuk Lee Chong Wei (badminton); Siow Yi Ting (akuatik renang)

2009: Daniel William Henry Bego (akuatik renang); Pasukan Badminton Wanita Sukan SEA Laos

2010: R. Puvaneswaran (karate); Datuk Nicol Ann David (skuasy)

2011: Cheng Chu Sian (memanah); Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak)

2012: Datuk Lee Chong Wei (badminton); Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)

2013: Mohd. Jironi Riduan (olahraga); Christina Loh (akuatik renang)

2014: Goh V Shem & Tan Wee Kiong (badminton); Datuk Nicol Ann David (skuasy)

2015: Ooi Tze Liang (akuatik terjun); Fatin Nurfatehah Mat Salleh (memanah)

2016: Datuk Lee Chong Wei (badminton); Pandelela Rinong Pamg & Cheong Jun Hoong (akuatik terjun)

2017: Welson Sim (akuatik renang); Fatehah Mustapa (berbasikal)

2018: Mohd. Azizulhasni Awang (berbasikal); Amy Kwan Dict Weng (gimnastik)

2019: Loh Choon How (wusyu); Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik)

2020/2021: Datuk Mohd. Azizulhasni Awang (berbasikal)

2021/2022:  Juwaidi Marzuki (memanah); Nur Dhabitah Sabri (akuatik terjun)

2022: Aniq Kasdan (angkat berat); Ng Joe Ee (gimnastik)

2022: Ng Eain Yow (skuasy); S. Sivasangari (skuasy)

2023: Khiew Hoe Yan (akuatik renang); Tan Cheong Min (wusyu)

2024: Aaron Chia Teng Fong & Soh Wooi Yik (badminton)


ANTARA pegawai persatuan sukan kebangsaan yang menerima penghargaan membantu kontinjen Malaysia meraih pingat emas temasya aneka sukan bergambar dengan Nur Azmi Ahmad dan Mohamad Norza Zakaria (empat dan lima dari kiri). - Kredit foto: MOM

16
13
0
9
0

Copy Link: