Video| Ahmad Nawab lebih hebat daripada P Ramlee! Dalam bidang muzik! Lebih 2,000 lagu, 200 album!
Published byDalam tempoh lapan hari, negara kehilangan dua maestro muzik tanah air iaitu Datuk S Atan pada 16 November 2024 dan Tan Sri Dr Ahmad Nawab pada 24 November 2024.
Kepergian Ahmad Nawab bererti berakhirlah legasi keluarga Khan dalam industri muzik tanah air setelah kematian adik keduanya Akbar Nawab pada 30 Ogos 2024 dan sebelum itu adik bongsunya Omar Nawab pada tahun 2009.
Tan Sri P Ramlee dianugerah Seniman Agung Negara pada 1990 kerana mempunyai bakat luar biasa dalam pelbagai bidang seni. Anugerah itu diberikan setelah 17 tahun Seniman Agung itu meninggal pada 29 Mei 1973.
Namun dalam bidang muzik meliputi susunan muzik dan penciptaan lagu, tidak boleh dinafi sumbangan dan kejayaan Ahmad Nawab lebih besar berbanding P Ramlee.
Pemilik nama sebenar Ahmad Khan Nawab Khan yang lahir pada 6 April 1932 telah mencipta hampir 2,000 lagu, menerbitkan kira-kira 200 album dan mempopularkan puluhan artis rakaman.
Anak jati Pulau Pinang ini menerima anugerah Tan Sri pada 2023, Datuk Seri dan Doktor Falsafah (PHD) pada April 2001 ketika masih hidup.
Kematian Ahmad Nawab pada Ahad, 24 November 2024 pada usia 92 tahun dianggap kehilangan besar permata seni negara.
Dengan 75 tahun penglibatan dalam muzik sejak berusia 16 tahun, Ahmad Nawab mempunyai pengalaman luas dalam muzik terutama dalam susunan muzik dan penciptaan lagu.
Gambar kenangan... Ahmad Nawab (kanan) bersama ayahnya Nawab Khan (tengah) dan adiknya Akbar
Bermula dengan ciptaan pertamanya ‘Bintang Malam’ nyanyian Zaharah Agus pada 1948, Ahmad Nawab terus bergiat dalam ciptaan lagu. Lagu ‘Bintang Malam’ dinyanyikan semula oleh Saloma dan dimuatkan dalam filem ‘Do Re Mi’ pada pertengahan 1960-an.
P Ramlee yang tertarik dengan ciptaan Ahmad Nawab mengambil dua lagu ciptaannya ‘Taman Firdaus’ dan ‘Ilham Tiba’ dalam filem ‘Nasib Do Re Mi’.
Penyanyi terkenal Indonesia, Broery Marantika pernah menyanyikan lagu ciptaan Ahmad Nawab iaitu ‘Hapuslah Air Matamu’ berduet dengan Sharifah Aini dan ‘Sabarlah Menanti’ daripada filem ‘Hapuslah Air Matamu’ keluaran Sabah Film.
Ahmad Nawab bersama Broery Marantika
Lagu ‘Mengemis Rindu’ asalnya untuk album Noraniza Idris. Namun Ahmad Nawab yang cerewet ketika rakaman.
Setelah album Noraniza dipasarkan dia kemudian memberi lagu itu untuk dirakam semula dan dinyanyi oleh Hetty Koes Endang yang sama-sama di bawah syarikat rakaman yang sama iaitu Life Rekod pada akhir 1980-an.
Hetty yang kebetulan berada di Kuala Lumpur turut menghadiri majlis pengkebumian Ahmad Nawab.
Ahmad Nawab bersama produser, pengarah dan pelakon filem 'Nasib Si Badul'
Selepas meninggalkan Orkestra RTM pada akhir 1970-an, Ahmad Nawab memberi tumpuan dalam bidang penciptaan lagu, membuat susunan muzik dan mencari penyanyi rakaman baharu bermula dengan berkhidmat dengan syarikat rakaman EMI.
Bersama EMI, Ahmad Nawab berjaya membantu mempopularkan sejumlah penyanyi melalui lagu ciptaannya. Antaranya Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman, Datuk Hail Amir, Uji Rashid dan DJ Dave.
Kemudian dia berhijrah ke Warner Music (WEA) dan mempopularkan penyanyi adik beradik Khatijah Ibrahim dan Latiff Ibrahim.
Ahmad Nawab diwawancara dalam program 'Tribute Seniman Negara Datuk Ahmad Nawab' di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Julai 2022.
Jamal Abdillah setelah menjuarai Bintang RTM 79, terus dilamar Ahmad Nawab dalam beberapa album bermula dengan album pertama ‘Perpisahan Tanpa Relamu’ sehingga beberapa album seterusnya.
Ramlah Ram adalah penyanyi yang cukup memberi tuah kepada Ahmad Nawab dari segi pendapatan.
Dua album Ramlah Ram. ‘Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu)’ (1988) dan ‘Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (1989)’ masing-masing terjual 300 ribu unit.
Lagu ‘Kau Kunci Cintaku’ ciptaan Ahmad Nawab turut dinobat sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke-3 (AJL3) pada 1998.
Pencapaian Ahmad Nawab ke peringkar global menjadi kenyataan melalui lagu ‘Malaysia Truly Asia’ dalam Bahasa Inggeris disampaikan oleh Khatijah Ibrahim. Lagu itu dicipta pada 1989 untuk Kementerian Pelancongan Malaysia bagi mempromosi Malaysia secara global.
Ia turut ditukar lirik kepada beberapa bahasa utama dunia. Lagu ini merupakan salah satu masterpiece Ahmad Nawab. Selain berbentuk pop ia turut diselit unsur tradisi dan alat muzik Melayu.
Nasir Khan menabur bunga di kubur ayahnya Ahmad Nawab
Ahmad Nawab memperolehi pencapaian cemerlang. Dia telah mengahasilkan hampir 2000 lagu dengan menerbitkan kira-kira 200 album dan membantu mempopularkan sejumlah artis.
Sementara itu Nasir Khan, 62, selaku anak keempat daripada lima beradik bercadang untuk menerbitkan buku muzik mengenai arwah bapanya dalam masa terdekat.
Walaupun Ahmad Nawab sudah tiada, namun sumbangan dalam bidang seni akan abadi.
Hasil karya ciptaannya yang malar segar termasuk yang bertema hari raya akan terus dimenikmati di stesen radio atau secara digital dan dalam media sosial seperti dalam YouTube. - KitaReporters