BARISAN pemain SMK Dengkil dan Kolej Vokasional Sepang bergambar kenangan dengan para tetamu kehormat dan guru-guru sebelum perlawanan akhir B-18 Kejohanan Sepak Takraw MSSD Sepang 2024 di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong. - Kredit foto: HW


SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil (SMKD) mempamerkan penguasaan kategori kemuncak apabila menjuarai Bawah 18 Tahun (B-18) Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sepang 2024 pada 16 Julai 2024.

Mereka yang membariskan Shah Farhan Amir Hashim (tekong), Khyril Sahkir Kamarudin (apit kanan) dan Jonathan Joyce Hasin (apit kiri) mengalahkan Kolej Vokasional Sepang (KVS) 30-22 dalam perlawanan akhir di Dewan Komuniti Perdana, Puchong, Selangor.

KVS diwakili Syamir Hakim, Putra Adam Haleq Wahab dan Afiq Irfan Soiful dengan 13 regu bertanding bagi kategori kemuncak kejohanan selama empat hari ini.


TEKONG KVS, Syamir Hakim bersedia melepaskan servis deras ke kawasan SMK Dengkil dalam final B-18. - Kredit foto: CKG


Sistem kiraan 30 mata tanpa set dengan servis satu persatu digunakan Kejohanan MSSD Sepang dan kedua-dua regu bertukar kawasan gelanggang apabila mencapai mata ke-15.

SMK Putra Perdana A dan B pula memenangi tempat ketiga bersama setelah ditewaskan oleh SMKD dan KVS pada separuh akhir.

Namun Hanif Mohd. Jamil mengubati kehampaan SMK Putra Perdana apabila diumumkan sebagai Tekong Terbaik B-18 manakala Apit Kanan dan Kiri Terbaik menjadi milik Khyril dan Jonathan. 


AKSI perlawanan akhir B-18 yang dimenangi SMKD mengalahkan KVS (kiri). - Kredit fotoL CKG 


SMKD A walau bagaimanapun terlepas mengaut kejuaraan berganda setelah ditumpaskan SMK Putra Perdana A 30-21 dalam perlawanan akhir kategori Bawah 15 Tahun (B-15) yang turut membabitkan 13 regu pada 15 Julai 2024.

Selain bergelar juara, tekong dan apit kiri SMK Putra Perdana A, Haikal Akil Zafar dan Luqman Haris Mowardi turut diumumkan sebagai Pemain Terbaik bagi kedua-dua posisi berkenaan manakala Fariz Haikal Azri (SMKD) muncul Apit Kanan Terbaik.

Pemenang tempat ketiga bersama B-15 ialah SMK Seri Sepang A dan SMK Putra Perdana B.


REGU SMK Putra Perdana A memperagakan pingat juara B-15 Kejohanan Sepak Takraw MSSD Sepang 2024 di samping Naharanuar Ayob (empat dari kanan). - Kredit foto: HW 


Kategori B-12 pula dimenangi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Putra Perdana (SKTPP) 2 C setelah menewaskan SK Kampung Baru Lanjut B 30-16 dalam perlawanan akhir 18 Julai 2024.

SKTPP 2 C turut beroleh bonus apabila ketiga-tiga pemainnya iaitu Ammar, Zafran dan Aqid Iman dipilih Tekong, Apit Kanan dan Apit Kiri Terbaik B-12 MSSD Sepang.

SK Desa Pinggiran Putra B dan SK Sungai Merab Luar A yang tumpas pada separuh akhir, meraih tempat ketiga bersama dalam kategori yang disertai 31 regu ini.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Majlis Zon Putra Perdana, Naharanuar Ayob. - KitaReporters


HAIKAL Akil Zafar (tiga dari kanan), Luqman Haris Mowardi (kiri) dan Fariz Haikal Azri (tiga dari kiri) dipilih sebagai Tekong, Apit Kiri dan Apit Kanan Terbaik B-15 Kejohanan Sepak Takraw MSSD Sepang 2024.   


BARISAN pemain dan pegawai urus setia serta guru-guru sekolah yang bertanding dalam kategori B-15 Kejohanan Sepak Takraw MSSD Sepang 2024 bergambar kenangan sebelum pertandingan. - Kredit foto: HW

9
15
0
9
0

Copy Link: