Video| JDT tewas kerana bomoh Siam? Pemilik Buriram manderam di padang? Penyokong kecewa, TMJ akur!
Published by.
PADA ketika pemilik kelab Johor Darul Ta”zim (JDT) FC, Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah mampu bergerak ke hadapan ekoran kekalahan 0-1 JDT kepada Buriram United pada perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, penyokong-penyokong kelab itu ternyata masih sukar menerima keputusan berkenaan.
Ada kalangan penyokong melampiaskan kekecewaan dengan menuduh Buriram menggunakan bomoh untuk menewaskan JDT FC. Ia ekoran tersebar video yang menunjukkan ‘gelagat mencurigakan’ pemilik kelab dari Thailand itu, Newin Chidchob sebelum perlawanan bermula.
Menerusi video berdurasi satu minit 28 saat itu, Chidchob dilihat berjalan-jalan mengelilingi Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri Johor, sambil mulutnya kumat-kamit yang ditafsirkan oleh penyokong sebagai membaca mantera atau jampi atau "manderam".
GELAGAT pemilik kelab Buriram United, Newin Chidchob sebelum perlawanan mencuri tumpuan. Gambar tangkap layar daripada video.
Perlawanan yang diadakan di SSI pada Selasa, 11 Mac, 2025 itu berakhir dengan jaringan tunggal bintang pelawat, Suphanat Mueanta pada minit ke-58, memberi kemenangan agreagat 1-0, sekali gus memusnahkan Impian JDT untuk ke suku akhir.
Pada perlawanan pusingan 16 pertama yang berlangsung di Stadium Chang Arena, Thailand pada Rabu, 5 Mac, 2025 lalu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Mengulas dakwaan penyokong JDT itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Subadron Aziz berkata, sama ada ia benar atau tidak bergantung kepada kepercayaan masing-masing.
SUBADRON AZIZ
“Kalau benar bomoh boleh mempengaruhi sesuatu perlawanan, sudah banyak pasukan layak ke Piala Dunia, tidaklah asyik pasukan yang sama. Cerita penggunaan khidmat bomoh ini sudah kita dengar dari zaman dahulu lagi.
“Zaman saya main dulu pun timbul cerita sebegini tapi sebagai pemain apa yang penting adalah kita membuat persiapan secara fizikal dan spiritual (kerohanian) untuk menghadapi perlawanan,” katanya.
Mengenai kekalahan JDT FC, Subadron berkata, ia berpunca daripada kelekaaan pasukan yang membolehkan Buriram menjaringkan gol.
“Saya lihat perlawanan seimbang, seronok melihat persembahan
kedua-dua pasukan. Dalam perlawanan yang mempertemu dua pasukan hebat, hanya
kesilapan kecil atau kealpaan seketika boleh membawa padah. Itulah yang terjadi
kepada JDT.
“Tapi, secara keseluruhannya persembahan JDT tidak mengecewakan. Mereka kalah melawan,” ujar Subadron lagi.
Sementara itu, Tunku Ismail akur dengan kekalahan itu malah mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
“Ia sentiasa menjadi satu penghormatan dan keistimewaan bagi Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) FC untuk beraksi dalam kejohanan elit Asia. Saya berbangga dengan kelab ini yang berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
“Namun, kami tidak bernasib baik untuk tersingkir dengan cara sebegini dalam perlawanan malam tadi, termasuk beberapa keputusan.
"Apa-apapun saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya keputusan malam tadi. Saya bertekad untuk meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia serta komited untuk terus membuat pelaburan bagi memperkukuh JDT di dalam dan luar padang.
“Kami telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pasukan dan sudahpun mempunyai perancangan baharu sejak beberapa bulan yang lepas. Kami sedang menunggu jendela perpindahan dibuka semula sebelum musim hadapan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong JDT atas sokongan luar biasa di Stadium Sultan Ibrahim. Ia sekali lagi mencatat kehadiran tertinggi di laman sendiri. Kepada Buriram United, tahniah dan semoga berjaya pada pusingan seterusnya,” tulis Tunku Ismail menerusi media sosialnya. - KitaReporters
PERGERAKAN Arif Aiman dikawal oleh dua pemain Buriram United. - Kredit foto: Johor Southern Tigers.